
Tulisan kali ini saya minta anda melihatnya secara neutral tanpa memakai baju parti politik. Boleh? Kita cuba. Begini; apabila rumah-rumah di Kampung Sungai Baru dirobohkan, ia mengikut jejak kampung-kampung lain di Kuala Lumpur yang kini hanya tinggal nama — Kampung Kerinchi, Kampung Berembang, Kampung Chubadak, Abdullah Hukum dan lain-lain lagi. Persoalan saya mudah sahaja tuan-puan; atas nama pembangunan benarkah perkampungan tidak boleh wujud di tengah ibu kota?
Saya ingin bertanya dengan lurus-bendul tanpa main politik, apakah tercapai asas idea Urban Renewal Act (URA) atau Akta Pembangunan Semula Bandar jika setiap pembangunan hanya membawa maksud bangunan tinggi, pusat membeli-belah dan kondominium serba mewah.
Apabila suara pengumum dalam tren berkata, “Anda kini berada di Stesen Abdullah Hukum. Stesen berikutnya Kerinchi…” saya pun terjenguk-jenguk melihat luar sambil bertanya, mana kampungnya? Pemahaman saya di situ dulu namanya ada ‘kampung’. Yang ada ialah pangsapuri, kompleks beli-belah dan kondominium. Di manakah ruang untuk komuniti kampung yang menjadi sebahagian daripada sejarah Kuala Lumpur? Apakah kampung-kampung peneroka bandar yang suatu masa dahulu digalakkan oleh Perdana Menteri Tun Razak untuk membina kehidupan di pinggir ibu kota kini dianggap sebagai mencemar lanskap moden?
Secara rasmi kita faham, URA diperkenalkan dengan niat memperbaharui kawasan bandar lama, menghapuskan setinggan, dan membangunkan semula kawasan yang dianggap tidak selamat atau tidak ekonomik. Idea asasnya adalah untuk menaik taraf bandar, meningkatkan nilai tanah dan menyediakan ruang perumahan yang mendepani zaman. Saya langsung tidak menolak nawaitu akta ini. Jelas. Di atas kertas, pembangunan semula bunyinya amat positif. Namun, di peringkat pelaksanaan ia telah menimbulkan keresahan awam.
Pembangunan semula hampir selalu disamakan dengan perobohan, memperlihatkan seolah-olah tiada jalan lain selain meratakan rumah lama dan membina semula dari kosong. Kampung Sungai Baru hanyalah episod terkini dalam siri panjang penghapusan kampung bandar. Untuk saya ia bukan setakat rumah yang hilang tetapi jaringan sosial, sejarah keluarga dan memori kolektif juga lenyap. Bagi segelintir penduduk terbabit, pembangunan tidak datang dalam bentuk lif moden atau kolam renang kondominium, tetapi dalam bentuk kehilangan tempat yang mereka panggil rumah. Itu yang diperlihatkan. Berkenaan perjanjian atau kesepakatan sewaktu berurusan yang membabitkan pampasan, masyarakat di luar seperti saya tak tahu.
Yang saya lihat, lenyapnya sebuah kampung demi sebuah maksud ‘baik’, walhal satu segi kebaikan kampung di dalam bandar ini ialah ia mempunyai fungsi penting sebagai penampan bandar. Ia menyediakan perumahan mampu sewa bagi pekerja gaji kecil yang baru datang dari negeri lain. Kampung dalam bandar juga ruang interaksi sosial dengan suasana kejiranan yang jarang wujud dalam persekitaran menara konkrit. Kehilangan kampung bermakna kehilangan sesuatu yang unik.
Sebab itu saya meminta kita merenung persoalan ini tanpa bermain politik kepartian kerana jawapan orang-orang kepartian sentiasa berubah-ubah mengikut siapa yang menjadi kerajaan pelaksana dasar.
Pertanyaan saya ini juga menganjur pandangan alternatif iaitu jika URA boleh digunakan untuk meroboh dan membina semula, bolehkah ia menjadi instrumen untuk memperbaharui dan memelihara kampung yang sedia ada? Kita sebenarnya ada contoh yang baik — Kampung Morten di Melaka. Kampung tradisional ini dipulihara dan dipelihara, dinaik taraf serta disenggara sehingga kemudiannya menjadi tarikan pelancong. Ini membuktikan kampung tidak semestinya menghalang kemajuan; malah boleh menjadi aset ekonomi dan budaya.
Bolehkah model seperti ini dicuba di Kuala Lumpur? Bukankah lebih menarik jika sebuah kampung tradisional di tengah kota dijadikan pusat warisan, ruang komuniti dan tarikan pelancongan? Malangnya, kita gemar menggunakan jalan pintas: roboh, ganti dengan menara baharu, selesai.
Jika kemajuan hanya ditafsirkan sebagai bangunan tinggi, pusat membeli-belah dan kondominium eksklusif, maka kita sedang menghapuskan identiti sendiri demi mengejar rupa bandar yang seragam dengan kota-kota besar lain di seluruh dunia. Tetapi jika kemajuan difahami sebagai keseimbangan — antara moden dan tradisional, antara komuniti asal dan pembangunan baharu — maka kita boleh membina bandar yang lebih manusiawi, berakar sejarah, dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat.
URA akan dilihat sebagai alat penghapusan dan bukannya pembaharuan jika pembangunan semula dilaksanakan dengan visi ‘roboh dan bina kondo’. Namun jika digunakan untuk memulihara, menaiktaraf dan menghidupkan kembali budaya organik, ia boleh menjadi contoh bagaimana Malaysia membina kemajuan yang ada jiwa. Kampungnya sudah sedia wujud, bantulah ia menjadi indah dan tersusun. Suntik pembaharuan dan bentuk kembali suasana budayanya. Itulah keunikan yang perlu dipertahankan sebagai warisan seiring dengan arus kemodenan.
Tetapi, kalau kampung bandar dilihat menyemakkan pandangan sehingga harus dibuang semuanya bersekali dengan budayanya, adakah ia baik jika digantikan dengan pangsapuri cantik yang mengamalkan cara hidup ‘engkau-engkau, aku-aku’?
Itulah pertanyaan jujur saya tentang maksud pembangunan semula bandar. Saya tak mahu main politik. Saya bertanya dengan jujur dan mahukan penjelasan dengan lebih luas di samping mengajukan satu tindakan alternatif untuk dinilai sama ada sesuai atau tidak.
Jangan kerana nada saya tidak selari dengan usaha ini maka saya dikecam oleh para penyokongnya. Saya mahukan penjelasan yang tuntas untuk membuang kemusykilan. Saya musykil apakah suatu hari nanti memang langsung tak ada lagi rumah ‘atas tanah’ di bandaraya kita kerana kemajuan itu bermaksud hanya ada kondominium tinggi dan gedung agam?
Saya sama sekali tidak bersetuju dengan kemunduran dan sangat akur yang kita tidak seharusnya tercicir dalam mencapai kemajuan, tetapi soalan saya masih kekal sama — mesti roboh ke untuk maju?
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.