Seni membebaskan politik

Seni membebaskan politik

Sejak beberapa penggal lalu sehingga PRN kali ini kita melihat ramai selebriti atau penggiat seni terjun ke dalam bidang politik dan turut bertanding di dalam pilihan raya.

Petang selepas selesainya penamaan calon pilihan raya negeri Sabtu lalu, saya bertolak menuju ke Tanjung Karang kerana malamnya saya baca sajak di sebuah program seni rakyat berunsur politik di sana. Kami sebagai penggiat seni membuat persembahan di pentas anjuran parti politik yang agenda sebenarnya bertujuan untuk memperkenalkan calon DUN di kawasan tersebut. Dalam siri rombongan yang bernama Ito & Superfriends, saya bersama lejen seperti Ito Blues Gang, Andy Flop Poppy, Pyanhabib, Nasir Jani, dan Sani Sudin akan membuat kerja kami iaitu baca sajak, main muzik, berceloteh komedi, dan menyanyi. Isi persembahan kami, kami tentukan sendiri.

Trend artis membuat persembahan di pentas politik ketika pilihan raya bukan perkara asing. Di mana-mana negara dalam dunia ini sudah biasa. Persoalan kita di sini dalam konteks politik nasional ialah kita ini gemar label-melabel. Adakah kehadiran penggiat seni di pentas politik boleh menggambarkan di pihak mana pendirian mereka? Atau paling patut ditanya – wajarkah seniman/karyawan/artis mengisytiharkan kepada umum yang mereka ini sokong parti apa? Ramai artis menyembunyikan sokongan terhadap mana-mana parti politik tetapi ada juga di antara mereka jelas menyatakan pendirian politik dan memberikan sokongan secara terang-terangan. Di atas pentas sebaik sahaja selesai membuat persembahan mereka selamba sahaja ‘berkempen’ kepada penonton agar mengundi parti sekian-sekian. Jelas.

Sejak beberapa penggal lalu sehingga PRN kali ini kita melihat ramai selebriti atau penggiat seni terjun ke dalam bidang politik dan turut bertanding di dalam pilihan raya. Kita sedia maklum ragam politik kita masih begini sejak dahulu, tidak pernah berubah malah semakin memburuk. Kutuk-mengutuk dan caci-mencaci yang diajar oleh politikus kepada rakyat menjadi suatu budaya. Kalau ada pun perdebatan yang dikatakan bermutu pun ia hanya berpaksikan isu pembangunan ekonomi, KDNK, pelabur bla..bla..bla.. sampai kadangkala naik geli telinga mendengarnya. Politik bukan hanya berkisar tentang ekonomi semata-mata tapi itulah… itu baik sedikitlah daripada ceramah kutuk-mengutuk dan sindir-menyindir. Politik demagogue beginilah yang membuatkan politik itu sendiri dikaitkan dengan kekotoran. Jadi, bila artis masuk politik dan mula berpihak maka mereka akan dilihat kotor oleh penyokong-penyokong parti yang tak sehaluan.

Ini kerana golongan artis itu dianggap sebagai buah hati masyarakat. Dipuja ramai. Jadi apabila seseorang artis itu memilih untuk berada di pentas politik yang mereka tidak sokong, ini membuatkan mereka kecewa. Akibatnya, masaklah kau kena kecam!

Sepanjang kempen PRN ini, rombongan Ito & Superfriends akan berkeliling sekitar Selangor membuat persembahan. Kami menyatakan pendirian dalam bentuk karya sama ada sajak, muzik, dan juga lagu. Itu cara kami berekspresi. Penghargaan terhadap seni itu memang berbagai. Jika ada yang melihat ia sebagai hiburan semata-mata maka itulah sahaja. Tak ada apa-apalah menurut mereka melainkan hiburan kosong sekadar enjoy-enjoy. Jika ada yang menikmatinya lebih dari sekadar hiburan, itu pun betul jugalah. Pendek kata, pandai-pandailah kamu!

Ada yang berpandangan, terutama dalam kalangan seniman itu sendiri mengatakan bahawa seniman seharusnya bebas. Seniman mesti bebas dari politik kepartian kerana jika seniman masuk politik mereka akan terjebak ke dalam kancah seni bodek (wow! Membodek pun ada seni). Sebab kata mereka lagi peranan seniman adalah untuk mengangkat suara rakyat terutama membela warga yang terpinggir, seniman itu wajar berani dan lantang mengkritik salah laku penguasa yang korup, yang mengabaikan tata..ta..er… tatakelola (istilah yang cukup popular dewasa ini, kan?).

Secara peribadi, saya amat bersetuju benar dengan pandangan tersebut. Saya mengaku ia cukup-cukup benar apabila membahaskan tentang pendirian seniman seharusnya bebas. Tetapi untuk menyatakan seniman tidak sewajarnya menyertai parti politik secara tidak langsung membuatkan kebebasan yang anda sarankan itu sendiri menjadi tidak bebas. Apa salahnya kebebasan yang disarankan itu memberi kebenaran untuk mereka bebas berpihak? Mengapa kebebasan yang disarankan itu membuatkan mereka menjadi terbatas? Saya jelas. Saya bersetuju maksud kebebasan ialah tidak sesekali menghalang seseorang selebriti – artis – seniman – karyawan menyertai mana-mana parti politik. Masuk belah mana pun, saya tak bantah. Bawalah pemikiran seni itu ke dalam politik kerana politik itu sendiri pun ada seninya. Saya kreditkan slogan “Basuh politik dengan seni!” yang pernah dilaungkan oleh Kolektif Frinjan, satu kumpulan anak-anak muda penggiat seni alternatif dalam program seni jalanan sekitar Lembah Klang lebih kurang lima belas tahun lalu.

Ya! Saya dan kawan-kawan akan menggunakan pentas politik untuk berekspresi. Kalau di pilihan raya umum pentasnya besar, artis-artis yang membuat persembahan pun pasti yang ngetop-ngetop. Kami ini hanya ‘kutu-kutu’ yang sudah laaaaamaa membebel di pentas, di tepi jalan dengan karya-karya kami. Ada yang suka, ada yang tidak. Juga ada yang ternganga sebab tak pernah menonton persembahan ‘macam ini’. Ada yang melabel kami menyokong pembangkang bila nada kami menibai kerajaan sama nadanya macam pembangkang. Ada juga yang kata kami dah menjilat kerajaan pula apabila kami melibas pembangkang. Pada hemat saya, tak perlu saya buang masa untuk menjawab kami sokong siapa dan kami ini di pihak yang mana. Kami tak ada hal di pentas pemerintah dan tak ada masalah di platform pembangkang. Bukankah sejak awal lagi kami disuruh jadi bebas? Maka kami bebas berada di mana-mana pentas. Kami jalan terus!

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.