
Ke mana arah yang mahu dituju Khairy Jamaluddin? Masih terkenangkan Rembau atau masih mahu mencuba sekali lagi di Selangor. KJ membuat impak besar di Sungai Buloh dalam PRU lepas walaupun kalah selepas dipinggirkan Umno.
Kalau KJ memilih untuk bersama Perikatan Nasional pada PRN akan datang, tidak kira sama ada Bersatu atau PAS, PRN kali ini tentunya sedikit hangat. Sama ada PN mampu menawan Selangor dan Negeri Sembilan, ia bukan jalan mudah bagi PH, walaupun cuba dinafikan. Ramai pemimpin veteran Umno sendiri seperti Shahrir Samad merasakan PN mampu mencabar BN-PH. Jangan pandang remeh situasi politik ini.
KJ sudah sepatutnya buat keputusan. Jangan tunggu terlalu lama atau pengundi akan membuat andaian dia masih menunggu tawaran jawatan politik sebelum membuat keputusan. Itu tidak bijak dan boleh menghakis kredibilitinya. Atau KJ sudah buat keputusan cuma belum secara rasmi? Jangan sampai ada yang beranggapan KJ ini jenis “demanding” selepas ramai yang mengatakan dia ada “prime minister material”. Jangan termakan puji.
Ramai yang merasakan KJ patut menggempur Negeri Sembilan selepas ‘dibuang’ dari Rembau untuk membuktikan bahawa Umno salah congak dengan kemampuan KJ di negeri itu. Kalau KJ kembali ke Negeri Sembilan, kemungkinan besar dia menjadi “poster boy” dan menjadi teraju baharu kepimpinan negeri. Ini tanggungjawab berat sebab KJ tentu tidak mahu kalah sekali lagi. Atau meletakkannya di kerusi yang selamat – menang tapi gagal mengambil alih kerajaan negeri. Strategi itu tidak menguntungkan. KJ kena tentukan PN menang. Baharulah kedudukan KJ lebih selesa.
Ditakdirkan KJ ke Selangor, situasinya berat sedikit. Walaupun gandingan pemimpin PN kuat, takut ada yang terasa hati. Kalau ramai nakhoda, kapal boleh tenggelam. Kita ada Azmin Ali, dan Noh Omar yang dikatakan mahu menyertai PN, serta kita ada Dr Ahmad Yunus dari PAS. Siapa nak jadi “poster boy”?
Paling layak ialah Azmin Ali. Adun Bukit Antarabangsa dan bekas menteri besar. Memang pilihan paling cocok. Tetapi Noh Omar juga layak kerana pengaruhnya ke atas pengundi Melayu di Selangor. Rasanya PAS juga mahu PN mencuba Ahmad kerana fenomena Gelombang Hijau yang berlaku menjelang PRN tidak lama lagi. Kat mana nak diselitkan KJ?
Kalau dah ada “PM material”, kat mana pun boleh menang. Cuma untuk mengelakkan pergeseran, kehadiran KJ ke Selangor sepatutnya ada persetujuan mantap. Bukan di mulut sahaja, takut ada sabotaj. Itulah nanti yang jadi duri dalam daging. Tak senang duduk dibuatnya.
KJ okay jer kami rasa. Dalam “podcast” Keluar Sekejap, KJ beberapa kali berkata dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan suasana politik negeri. Teruja? Tetapi kepimpinan PH Selangor berkata PN bermimpi di siang hari. Azmin ditolak pengundi di Gombak dan KJ pun kalah di Sungai Buloh. Apa asasnya mereka boleh menang di peringkat negeri?
MB Selangor, Amirudin Shari, setuju Gelombang Hijau memang kuat di Kelantan, Terengganu, dan Kedah tetapi bukan di Selangor. Pengaruh Sanusi tidak sampai ke Shah Alam. Jadi Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang negeri yang selamat bagi PH. Kata depa, PN cuma berjaya tambah kerusi sahaja, takde lah sampai nak ambil alih kerajaan negeri. Gelombang PN tidak cukup kuat walaupun ribut ganas sudah melanda.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.