Pelawaan untuk KJ

Pelawaan untuk KJ

Beberapa pilihan politik dan bukan politik ada di hadapan Khairy Jamaluddin.

Ini bukan pasal politik. Oleh itu bukan mengenai pelawaan parti politik kepada Khairy Jamaluddin untuk menyertai mereka setelah dipecat Umno. Ini pasal tawaran kerja.

Baru-baru ini Tengku Mahkota Johor memuat naik di Instagram gambarnya bersama Khairy dengan kapsyen “Future JDTFC CEO and Johor Youth adviser” (CEO kelab bola sepak JDT dan penasihat belia Johor masa akan datang).

Agak ramai yang membaca itu sebagai tawaran pemilik JDTFC kepada Khairy atau memberi bayangan sesuatu yang mungkin atau bakal terjadi. TMJ kemudian “tweet” berkata “experienced, proven, why not” atau “berpengalaman, terbukti, mengapa tidak”.

Respon Khairy menerusi Instagram beliau: “One door closes, others will open” (satu pintu tutup yang lain terbuka). Rezeki di tangan Allah. Kita faham apa yang dikatakannya. Khairy kita tahu pernah memegang jawatan menteri belia dan sukan. Ketika itu Program Pembangunan Bolasepak Nasional diwujudkan. Menerusinya Akademi Mokhtar Dahari didirikan di Gambang. Sebelum itu KJ juga pernah bergabung dengan beberapa rakan menerbitkan siri realiti TV berasas bola sepak, MyTeam.

Sesungguhnya beliau minat bola sepak. Malah tempoh hari pada temubual BFM Radio, The Breakfast Grille, Khairy menggunakan analogi bola sepak khususnya yang membabitkan proses pemindahan pemain apabila ditanya langkah polikal seterusnya.

“Saya sangat cintakan bola sepak, saya ‘free transfer’ sekarang ini. Saya mencari kelab dan meneliti setiap pilihan tersebut yang sesuai untuk saya bergerak ke hadapan. Bagaimanapun ia bukan keputusan yang boleh dibuat secara ringan,” kata beliau.

Dua hari lalu Malay Mail melaporkan saluran radio Hot FM menawarkan jawatan juruhebah kepada Khairy, bertujuan memberi ‘nafas segar’ kepada radio berkenaan. Ya, KJ boleh membawa “ratings” untuk rancangan yang dikendalikan tetapi pada hemat saya tentulah rancangan beliau berlainan dengan apa yang dibawa oleh DJ sedia ada. Tetapi jika rancangan kendalian Khairy sarat dengan isu serius terutama soal politik, beliau akan sukar menepis persepsi “bias” dan memihak kepada politik alirannya dan sekutu. Ikut adat, orang media mesti tidak partisan. Sekurang-kurangnya dilihat begitu.

Apa pun, KJ ada apa yang perlu – “have what it takes” – untuk menjadi orang radio berjaya. Mungkin pemilik Hot FM yang juga punyai rangkaian televisyen juga boleh atau mahu memujuk Khairy menerbit dan mengendali “talk show” TV?

Sekali lagi perspesi “bias” akan timbul tetapi Khairy ada pengalaman menjadi hos rancangan bicara televisyen. Ketika itu beliau belum menceburi bidang politik. Pada lewat 1998 awal 1999, Khairy menjadi hos Dateline Malaysia siaran NTV7 yang waktu itu beroperasi bawah pengurusan lamanya. Perbincangan mengenai isu politik, ekonomi, dan sosial. Ia dikendali Khairy dalam Bahasa Inggeris, seingat saya.

Rancangan dalam Bahasa Melayu diberi nama Lidah Pengarang, dikendalikan Azalina Othman Said yang ketika itu seorang peguam muda yang baharu mengukir nama. Beliau juga masa itu belum menceburi politik. Satu topik yang dibincang oleh Azalina ialah soal kebebasan berdemonstrasi. Tetamunya aktivis Hishamuddin Rais. Semasa rancangan itu ke udara, demonstrasi jalanan kerap berlaku di Kuala Lumpur oleh kumpulan pro-Anwar Ibrahim dan anti-Mahathir Mohamad. Itu era Reformasi. Panas rancangan Azalina. Maaf saya terlari topik.

Berbalik kepada Khairy dan tawaran Hot FM. Menurut laporan, saluran radio itu menjemput Khairy untuk ‘memanaskan’ segmen pagi, Bekpes Hot, bersama juruhebah sedia ada. Diberitakan juga perbincangan dengan pasukan Khairy masih berjalan. Adakah tawaran dibuat atas perasaan ‘kesian’, bak kata Rafi watak orang setia Abang Jamil bin Abu dalam filem Madu Tiga arahan P Ramlee? Ertinya pihak yang menawarkan terasa kasihan kerana Khairy kini ‘menganggur’?

Adakah pihak yang membuat tawaran merasa Khairy hilang pekerjaan selepas dipecat Umno tempoh hari? Sebenarnya Khairy hilang jawatan menteri kesihatan apabila Parlimen bubar untuk PRU15 diadakan. Apabila beliau tewas kerusi Parlimen Sungai Buloh Khairy terus (maaf sekali lagi) ‘menganggur’, apatah lagi beliau tidak dilantik sebagai senator untuk membolehkannya diangkat sebagai menteri (tidak seperti seorang calon Umno yang juga tewas PRU15).

Tidaklah saya pertikai mengapa tawaran kepada KJ dibuat hanya selepas pemecatan Umno pada hal beliau hilang pekerjaan lebih awal daripada itu, jika pelawaan atau tawaran dibuat atas rasa mahu tolong beliau mendapat pekerjaan. Seperti dikatakan tadi saya tidak pertikai kerana bila dan mengapa adalah hak si pemberi.

Cuma bermain di fikiran saya – adakah tawaran kerja kepada Khairy berkaitan langkah penganalisis politik yang memandang dingin hasrat beliau membuat “comeback” secepat mungkin, yakni pada PRN Selangor yang dijadual diadakan tidak lama lagi.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura memberitahu FMT 31 Jan lalu bahawa penglibatan dalam PRN Selangor terlalu tergesa-gesa buat Khairy memandangkan banyak kerja lapangan perlu dilakukan terlebih dahulu. Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya juga berpandangan sama sambil menyatakan Khairy tidak boleh sekadar bergantung kepada kekuatan sendiri sekiranya ingin menempa kejayaan.

OK artikel ini ada juga kaitan dengan politik sedikit sebanyak, tidak seperti saya nyatakan pada awal penulisan. Jadi apa langkah Khairy seterusnya?

Beberapa pilihan politik dan bukan politik ada di hadapannya. Di depan mata, kata orang. Terpulang kepada beliau pilih yang mana satu. Menggunakan istilah bola sepak, sukan kesayangan Khairy sendiri – bola di kaki anda.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.