‘Kedunguan Melayu’ menurut Allahyarham Kemala

‘Kedunguan Melayu’ menurut Allahyarham Kemala

"...‘Tak Melayu hilang di dunia’ hanya klise, toksid terbuang pabila kalian tidak belajar dari cermin kesilapan sejarah semalam..."

Sasterawan Negara ke-11, Ahmad Kamal Abdullah, atau lebih dikenali dengan nama penanya, Kemala, meninggal dunia dalam tidur siangnya, semalam di usia 80 tahun. Beliau, mungkin, antara sasterawan dengan sandangan ‘Negara’ yang kurang dikenali oleh pembaca bangsa bukan Melayu. Tentu, beliau tidak dapat dipersalahkan sepenuhnya. Nasib kerja sastera kita memang dikasta-kastakan di negara ini.

Kemala bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka dalam tahun 1968 sebagai penolong penyunting, sebelum menjadi editor majalah-majalah sastera. Beliau bersara pada 1996 sebagai ketua Bahagian Kesusasteraan Bandingan.

Kemala pernah memimpin Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia dan kemudiannya Sasterawan Nusantara Melayu Raya (NUMERA) yang mana beliau merupakan arkitek dan penggerak utamanya.

Kemala, lahir pada 30 Januari 1941 di Gombak, Selangor dalam keluarga elit Melayu. Ayah beliau misalnya lulusan Junior Cambridge dari Malay College Kuala Kangsar, Perak, sebuah sekolah elit yang dibangunkan oleh penjajah untuk mendidik anak raja-raja dan elit baru Melayu.

Justeru, dengan didikan keluarga, Kemala beruntung kerana mendapat pendedahan membaca karya-karya sastera yang penting seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, dan pelbagai lagi naskah besar kesusasteraan Inggeris.

Kemala juga pernah menjadi guru, di mana sempat mengajar di Sekolah Melayu Jeram, Kuala Selangor; Sekolah Melayu Tiram Buruk, Tanjong Karang; dan di Sekolah Teluk Gong, Kelang pada 1968. Di Teluk Gong, Kemala dapat merasai derita peneroka yang dinafikan hak bercucuk-tanam. Rasa itu diterjemahkan dalam bentuk kumpulan sajak yang diberi judul Timbang Terima (1970). Teluk Gong untuk generasi hari ini mungkin tidak pernah didengari, cukup saya sebutkan di sini, di teluk itu ada gong yang meledak api penentangan murbawan terhadap kaum kuasawan.

Kemala kemudian melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak, sebuah lagi institusi pengajian tinggi elit Melayu. Kesungguhan beliau membolehkannya beroleh Ijazah Sarjana Muda Sastera Kepujian (Universiti Sains Malaysia, 1980), Sarjana Sastera (Universiti Sains Malaysia,1985), dan Doktor Falsafah (Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000). Kemala juga salah seorang sasterawan negara yang sempat mencelup diri sampai basah dengan menyertai International Writing Program, Universiti Iowa, Iowa City, di Amerika Syarikat pada 1993.

Ketika Kemala memimpin Sasterawan Nusantara Melayu Raya (NUMERA) yang menggabungkan penyair dan sasterawan ‘terpilih’ dari Indonesia, Darman Moenir, pengarang novel Andika Cahaya, dari Indonesia pernah dengan tajamnya menegur sikap seniman negara kita: “…apa yang dilakukan sastrawan dan bangsa Malaysia terhadap Indonesia? Kualitas sastra soal lain, namun bukankah beberapa Tenaga Kerja Indonesia tersiksa lahir-batin, babak belur, (maaf) mati anjing di negara tetangga itu? Sastrawan dan bangsa Malaysia tutup mulut, bukan? Bukankah di dunia maya dan di dunia nyata Indonesia diejek dan diolok-olok antara lain dengan kata ‘Indon’ yang menyakitkan?”

Tidak saya tahu apa respon Kemala oleh kata-kata keras seperti itu.

Terlepas dari sanggahan di atas, Kemala ikut bersuara dalam hal-hal politik tanahair secara tersendiri. Sebagai misalan, ketika Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kemudian politik negara ini tergusur dalam satu era yang disebut-sebut sebagai ‘era reformasi’, Kemala tidak juga mensenyapkan diri. Barangkali, cuma kerana formula Kemala dalam politik itu adalah ‘Melayu-Islam’, beliau tidak begitu tersohor dalam kalangan pembaca sastera bukan Melayu.

Ketika isu pemecatan Anwar masih merecup, Kemala misalnya membacakan sebuah sajak dengan tajuk yang tidak berselindung, ‘Langit Kelabu Kuala Lumpur, September 1998’. Saya masih ingat menonton deklamasi beliau di Malam Puisi PENA di Rumah Persatuan Penulis Nasional, pada malam Sabtu, 6 November 1998. Bait puisi Kemala dapat dikatakan berani untuk zaman tersebut. Ketika itu, barang diingat, ramai polis rahsia berkesiuran mencari pembantah.

Antara baris dari sajak beliau itu bunyinya begini:

“Langit kelabu Kuala Lumpur September 1998
suara-suara garau
antara dua planet
Alif dan Mim
musibah yang ini
antara hidup dan mati
kebenaran jangan dipersenda
kejujuran dan cakap-cakap politik
Sejarah Melayu dan amuk Melayu
Berulang kali ini?
Pawai rakyat dan dosa pemimpin
perpecahan dan perbenturan
hikmah yang tersembunyi
kalau kau tidak mengenal akumu
kalau aku tidak mengenal kaumu
maka kalian mengambil jalan singkat, ‘membunuh’
musuh politik untuk apa? Kebenaran Mutlak
atau kebenaran relatif, sementara
siapa menggugat siapa?
Selamanyakah rakyat hina-dina ini
Pandir politik, mengambil jalan diam
terkepung dalam sindrom bisu
‘the silent majority’.”

Formula ‘Melayu-Islam’ Kemala ini misalnya lebih tercermin dalam perenggan lain dari puisi beliau yang panjang tersebut. Kemala, meneruskan kritik beliau berbunyi:

“di bawah langit Kuala Lumpur yang kelabu
serigala-serigala lapar mencakar-cakar
mengoyakkan perjanjian dan harapan empat dasawarsa
mengapa cermin kemerdekaan ini retak sejuta
mengapa? Aku penyair Melayu, untuk bangsa dan
negara ini, mengambil tanggungjawab dengan sajakku
di bawah langit kelabu Kuala Lumpur ini, wahai
pemimpin kembalilah ke pangkal jalan, tindakan
gegabah lambat bangat akan meramas dan melemaskanmu
dalam taufan murka Ilahi
Mim dan Alif tak bakal sampai ke mana-mana
sejarah akan merobek kerana kalian mengambil
Nafsu-nafsi sebagai sahabat
sejuta kata yang luncur dalam marah dan dendam
ibarat lumpur terlimpar kembali
ke muka sendiri. Yang perkasa Pencipta Perdana
Yang gagah, Dia Yang Esa.”

Dapat dilihat sajak Kemala di atas mencerminkan sikap sesetengah Melayu dalam menguruskan negara ini. Demikian, Kemala sempat menyebutkan dalam puisinya – Di langit Kuala Lumpur/kota tanah airku/dunia menatap sinis ‘kedunguan Melayu’.

Dalam hal Melayu ‘dungu’ ini, Kemala mentafsirkan betapa sejarah amat penting sebagai pedoman, termasuk dalam urusan siasah:

“lambat bangat angin abad baru
akan melemaskan kalian, melenyapkan tamadun Melayu
‘Tak Melayu hilang di dunia’ hanya klise, toksid terbuang
pabila kalian tidak belajar dari cermin
kesilapan sejarah semalam
‘Yang batil tetap akan hancur
Yang benar bakal menyongsong datang’.”

Kemala di hujung-hujung kepenyairannya memperlihatkan dirinya sebagai penyair dengan puisi-puisi ketuhanan. Kemala sudah kembali bertemu Tuhan, disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara, semalam.

Selamat jalan Kemala, meninggalkan Melayu yang terus dungu.

Semoga belasungkawa mini ini dapat menjelaskan serba-sedikit peribadi Sasterawan Negara ini, khusus kepada mereka yang kurang mengenal Ahmad Kamal.

Al-Fatihah.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.