
Minggu lalu, rakyat Malaysia meriah dengan kisah bagaimana seorang ahli panel suatu forum yang mempersoalkan kelayakan Tun Dr Mahathir Mohamad menyandang jawatan perdana menteri ketika dalam usia 92 tahun.
Setelah ahli akademik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu mengemukakan hujah dan bukti bahawa usia Dr Mahathir itu menjadikannya tidak layak menjadi perdana menteri lagi, tiba-tiba beliau muncul hadir dalam majlis itu, mengejutkan semua pihak yang hadir.
Sememangnya kalau ada calon lebih baik daripada Dr Mahathir, tentulah Pakatan Harapan (PH) akan memilihnya. Atau ada seorang seperti Dr Mahathir tetapi lebih muda, maka tentulah beliau dipilih oleh PH untuk menjadi perdana menteri. Hakikatnya, bagi pilihan raya umum 2018, Dr Mahathir adalah calon utama pihak pembangkang.
Tetapi tidak semua kalangan pembangkang menyokong Dr Mahathir. Hanya PH menjadikan beliau sebagai calon perdana menteri. Pihak pembangkang bukan-PH seperti Gagasan Sejahtera serta parti-parti terpencil seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan parti-parti lain di Sarawak dan Sabah menolak kepimpinan Dr Mahathir.
Di kalangan pihak pembangkang, hanya PH yang berpotensi untuk menjadi kerajaan alternatif menggantikan Barisan Nasional (BN). PAS yang merupakan parti dominan Gagasan Sejahtera hanya mahu menjadi “kingmaker” atau penentu kerajaan.
Maknanya, mereka akan membuat keputusan untuk menyokong sama ada Dr Mahathir atau Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri selepas keputusan pilihan raya umum 2018 jika berlaku parlimen tergantung.
Sementara PSM, PRM dan parti-parti kecil yang tidak menyertai PH dan tidak mempunyai harapan langsung untuk menubuhkan kerajaan akan hanya menerima sesiapa pun dari PH atau BN untuk menjadi perdana menteri jika salah satunya berjaya menang.
Tetapi dengan tidak bersama PH semasa pilihan raya umum, parti-parti lain itu, sama ada PAS, PSM, PRM atau parti-parti Sarawak dan Sabah lain akan memecahkan undi yang sehariusnya dapat diraih oleh gabungan pimpinan Dr Mahathir.
Dengan mengurangkan undi dan kerusi yang sepatutnya diperolehi oleh PH, parti-parti pembangkang itu akan menyumbangkan kemenangan BN. Ia juga secara tidak langsung menyokong Najib untuk terus menjadi perdana menteri.
Namun begitu, apa yang dipersetujui oleh PH sebenarnya bukanlah Dr Mahathir menjadi perdana menteri tetapi adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lebih muda. Itulah calon asal PH sebelum penyertaan PPBM.
Tetapi secara praktikal ia tidak boleh berlaku kerana Anwar dalam penjara dan tidak boleh bertanding dalam pilihan raya. Maka seseorang lain perlu menjadi perdana menteri sementara proses dilaksanakan bagi membebaskan Anwar yang tentunya makan masa agak lama.
Sebelum kehadiran PPBM dalam PH, tidak diputuskan siapakah bakal perdana. Tetapi jika dilihat struktur parti-parti komponen iaitu PKR, DAP dan Amanah, calon perdana menteri ialah penyandang jawatan teringgi keseluruhan pakatan parti-parti itu iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Tetapi dengan kehadiran PPBM, keadaan ini berubah. Penyertaan PPBM menguatkan PH lebih-lebih lagi dengan kehadiran pengerusinya, Dr Mahathir.
Walaupun berusia lanjut, ketokohannya tidak diragukan dan dipersetujui oleh pemimpin utama PKR, DAP dan Amanah iaitu Wan Azizah, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.
Dr Mahathir juga setuju bahawa Anwar adalah calon perdana menteri. Beliau bersedia untuk melepaskan jawatan setelah kira-kira 2 tahun menjadi perdana menteri bagi Anwar mengambil alih. Dalam usianya yang sebegitu rupa, adalah jelas beliau tidak akan lama menjadi perdana menteri.
Namun buat masa ini beliau masih berupaya untuk memimpin bukan saja PH tetapi negara. Seperti katanya dalam forum itu, usia ada 2 jenis. Satu usia menurut kiraan tahun. Satu lagi usia biologi tubuh seseorang.
Walaupun beliau dari segi kiraan tahun sudah mencapai usia yang kebanyakan orang tidak boleh berfikir dan bertutur apatah lagi memimpin, kecergasan beliau berkempen di merata tempat menunjukkan keupayaannya untuk aktif berpolitik.
Usaha meyakinkan
Untuk diterima sebagai pemimpin pembangkang, beliau juga melalui proses yang rumit. Pertamanya beliau perlu diterima oleh orang Umno yang menentang Najib dan akhirnya menubuhkan PPBM.
Orang pertama yang beliau perlu yakinkan ialah bekas timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disingkirkan oleh Najib sebagai timbalan perdana menteri.
Muhyiddin bersedia menubuhkan dan memimpin PPBM dengan menyandang jawatan presiden parti itu. Barisan kepimpinan PPBM bersetuju supaya Dr Mahathir menjadi pengerusi mereka. Ia pula dipersetujui oleh keseluruhan ahli PPBM. Isunya bukan saja menyokong Dr Mahathir sebagai Pengerusi PPBM tetapi menjadikan beliau perdana menteri semula.
Kemudian masalah lebih besar ialah bagaimana hendak meyakinkan PKR, DAP dan Amanah menerima Dr Mahathir sebagai pemimpin pakatan mereka kerana bertahun-tahun kebanyakan ahli parti-parti itu menentang beliau semasa menjadi perdana menteri dahulu.
Tetapi Dr Mahathir dapat meyakinkan pemimpin-pemimpin PKR, DAP dan Amanah untuk menerima beliau sebagai pengerusi PH dan selanjutnya calon perdana menteri menggantikan Najib.
Hujah Dr Mahathir adalah mudah. Semua pihak harus fokus pada menumbangkan Najib. Sebabnya ialah bagi beliau negara ini sudah menjadi kleptokrasi. Isunya ialah skandal 1MDB.
Dalam menerima Dr Mahathir, pemimpin-pemimpin PKR, DAP dan Amanah, mereka juga perlu melakukan kerja-kerja untuk meyakinkan ahli dan penyokong mereka. Tetapi secara keseluruhan penyokong PKR, DAP dan Amanah dapat menerima kepimpinan Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara sebelum Anwar menggantikannya.
Namun Dr Mahathir tidak dapat meyakinkan PAS dan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Bukan saja PAS menolak Dr Mahathir tetapi berkempen dengan mengkritiknya. Ia juga bermakna PAS lebih rela berperdanamenterikan Najib daripada Dr Mahathir.
Tetapi perkara ini tidak menghairankan kerana Dr Mahathir sendiri gagal meyakinkan parti lamanya untuk menyingkirkan Najib. Walaupun Dr Mahathir pernah memimpin Umno selama 22 tahun dan membawa parti itu pada tahap cemerlang, malah Najib adalah asalnya perdana menteri yang dicalonkan dan disokongnya, tetapi ahli-ahli parti itu telah menolak beliau.
Penyokong-penyokong Umno masih bersama Najib walaupun beliau dirundung dengan isu 1MDB. Akibatnya Dr Mahathir dan penyokong-penyokongnya keluar Umno dan menubuhkan PPBM, menjadi pembangkang serta masuk PH.
Jika dahulu kalaulah ahli-ahli Umno dapat diyakinkan oleh Dr Mahathir, maka keadaan negara tentu berubah dengan pucuk pimpinan parti itu dipegang oleh Muhyiddin. Dalam keadaan begitu PH terus kekal dengan tiga partinya dan calon perdana menterinya masih di penjara. Dr Mahathir pula kekal menjadi ahli Umno dan penyokong Muhyiddin, tetapi bersara daripada politik.
Dalam sejarahnya, pembangkang sukar memiliki calon perdana menteri yang sesuai dan boleh dapat diterima oleh keseluruhan rakyat Malaysia.
Parti pembangkang juga sukar bersatu untuk menyokong seseorang ternama bagi calon perdana menteri mereka. Tokoh-tokoh yang pernah menjadi calon perdana menteri pihak pembamkang ialah Datuk Onn Jaafar pada ketika awal kemerdekaan dahulu.
Dalam pilihan raya umum 1990 calon perdana menteri pembangkang ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Sejak tahun 1999, calon mereka ialah Anwar. Peluang besar baginya ialah pada tahun 2008. Tetapi suasana politik sentiasa berbeza bagi sesuatu pilihan raya.