Tiada perang yang berlaku di tanah sama rata

Tiada perang yang berlaku di tanah sama rata

Kepada penyokong parti politik, terimalah hakikat padang tidak akan sama rata. Nak meratakan tanah itu payah, lebih elok fikir bagaimana nak sekat kelebihan musuh dan mengurangkan ruang kelemahan diri.

BN-flag
Sejak dahulu kala sehingga hari ini, tiada satu pun yang sebenarnya berlaku di tanah yang sama rata, sama ada perang bersenjata mahupun dalam perang demokrasi meraih undi.

Di zaman dulu, geografi sesuatu kawasan adalah antara faktor yang menentukan kemenangan. Contohnya sekiranya ada sungai, sungai itu bakal dijadikan pertahanan semula jadi terhadap musuh yang datang menyerang. Ini adalah satu “disadvantage” kepada musuh, dan satu kelebihan kepada pihak yang bertahan.

Begitu juga dengan kota yang ada benteng pertahanan, bukit, tasik, gaung, jalan yang sempit serta hutan – semua ini menyebabkan perang berlaku dalam keadaan tiada sama rata.

Mana-mana pakar strategi yang tidak tahu menggunakan kelebihan yang ada pada mereka dan mengeksplotasi kelemahan musuh akan menempah kekalahan. Mana-mana pakar strategi yang tidak tahu menyekat musuh menggunakan kelebihan mereka juga akan menempah kekalahan.

Seperti dalam permainan catur, putih mempunyai kelebihan untuk bergerak dulu, tapi sekiranya ia gagal mengambil inisiatif untuk menyerang dan mengelirukan hitam akan menempah kekalahan. Hitam yang mempunyai kelebihan untuk membaca gerakan putih terlebih dahulu sebelum bergerak, tapi sekiranya ia mudah ditipu oleh gerakan mengelirukan putih juga akan menempah kekalahan.

Berbalik kepada politik Malaysia, parti kerajaan mempunyai kelebihan yang banyak berbanding pembangkang daripada sudut demokrasi Malaysia.

Pertama, parti kerajaan berkuasa penuh untuk memilih satu tarikh pilihan raya yang memberikan kelebihan kepadanya.

Kedua, parti kerajaan menguasai Parlimen dan membolehkan banyak akta yang memihak kepadanya diluluskan tanpa persetujuan dua pertiga Parlimen.

Ketiga, parti kerajaan boleh menggerakkan dana kerajaan yang banyak kepada rakyat, tapi dari sudut optiknya, ia kelihatan seperti pemberian oleh parti kerajaan dan bukannya oleh kerajaan.

Dengan kelebihan di atas, parti kerajaan di Malaysia memang amat susah ditewaskan. Seperti mana-mana perang, kelebihan pasti akan digunakan sepenuhnya tanpa segan silu untuk mengekalkan kemenangan yang ada untuk parti kerajaan.

Namun, ini tidak bermakna pembangkang tidak boleh mengurangkan kelebihan yang ada pada parti kerajaan. Dan setakat ini, ketiga-tiga kelebihan yang ada pada BN semakin menipis.

Kerana isu 1MDB dan Felda, BN terpaksa menangguhkan pilihan raya umum ke-14 kerana masih dicari-carinya tarikh yang selamat. Namun secara tidak sedar, ruang yang luas untuk memilih tarikh PRU14 kini hanya tinggal 4.5 bulan.

Pada waktu ini, tiba-tiba dunia digegarkan kejatuhan pasaran saham teruk yang turut menjejaskan bursa saham tempatan. Kelebihan BN untuk memilih tarikh PRU14 nampaknya kini bertukar menjadi satu tekanan.

Ada teori juga menyatakan BN sedang menunggu persempadanan baru diluluskan di sesi Parlimen akan datang sebelum membubarkan Parlimen.

Kelebihan parti kerajaan untuk membuat persempadanan baru merupakan senjata BN yang sangat mujarab setakat ini. Rekod BN bertambah baik setiap kali adanya persempadanan semula.

Namun, bantahan bertubi-tubi yang dilakukan di mahkamah terhadap cadangan persempadanan semula sejak SPR melakukan cadangan persempadanan semula ini sedikit sebanyak melewatkan perancangan ini.

Apakah ada kejutan yang bakal berlaku lagi yang membantutkan usaha persempadanan semula ini daripada diluluskan di peringkat Parlimen? Contohnya, apakah cadangan mewujudkan DUN baru ini diterima baik sultan yang memerintah negeri masing-masing?

Kini, tekanan beralih kepada SPR kerana ia hanya ada lebih kurang masa 2 bulan untuk mendengar semua bantahan, menyelesaikan semua proses mahkamah, meluluskan persempadanan semula di Parlimen dan Kabinet untuk digunakan PRU14.

Kelebihan ketiga BN, iaitu penyaluran dana bantuan kepada rakyat juga sudah dapat ditandingi pembangkang di 2 negeri, iaitu Selangor dan Pulau Pinang. Namun, kelebihan ini masih memihak kepada BN di negeri bawah BN.

Dengan kelebihan yang semakin merosot ini, sudah tentu BN perlu memikirkan cara lain untuk menguatkan diri dan melemahkan pembangkang. Jadi, sebagai rakyat Malaysia, tiada perlulah kita terasa pelik apabila berlakunya benda yang tiba-tiba sensasi menjelang PRU14 ini.

Dan kepada penyokong parti politik, terimalah hakikat padang tidak akan sama rata. Nak meratakan tanah itu payah, lebih elok fikir bagaimana nak sekat kelebihan musuh dan mengurangkan ruang kelemahan diri.

Minggu depan kita berbicara pula bagaimana BN mengurangkan kelebihan pembangkang.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.