Antara mahasiswa kita dan Jalil Ibrahim, syahid rasuah 1983

Antara mahasiswa kita dan Jalil Ibrahim, syahid rasuah 1983

Semalam, diumumkan kajian mengenai sikap mahasiswa terhadap rasuah. Semalam juga, genap 34 tahun pegawai Bank Bumiputera dibunuh, mayatnya disumbat dalam beg dan dibuang di pedalaman Hong Kong.

bribery-jalil-duit-ringgit
Semalam, Institut Integriti Malaysia (Integriti) mengumumkan suatu dapatan yang tidak menyenangkan, meski tidaklah mengejutkan. Bahawa generasi muda, khususnya mahasiswa di universiti kita, dapat dianggap jahil, atau tidak endah mengenai perbuatan rasuah.

Laporan menyebut sepertiga daripada mereka tidak menganggap perbuatan memberi “hadiah” sebagai kesalahan. Kajian tersebut tidak menganggap beberapa perkara umum yang dikenali sebagai rasuah sebagai kesalahan.

Presiden Integriti, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff amat resah dengan gejala ini dan menyeru agar dilakukan penilaian semula pendidikan.

Profesor Syed Hussein Alatas suatu ketika dahulu banyak menulis mengenai gejala negatif ini. Antara tulisan beliau yang sangat bernilai adalah Corruption and the Destiny of Asia (terbit 1999), The Problem of Corruption (1986) dan The Sociology of Corruption (1968).

Buku beliau Corruption: Its Nature, Causes and Functions (1990) kemudian diterjemah sebagai Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi, yang terbit pada 2009 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, menjadi teks di banyak universiti luar negara. Akan tetapi, rasanya, tidak di negara ini.

Jika buku Syed Hussein yang sedemikian masyhur dan bersifat kanun gagal dihadami, tentu buku yang lebih mutakhir seperti Memerangi Rasuah di Malaysia: Cukupkah Usaha Kita?, susunan Anis Yusal Yusoff, Jenny Gryzelius dan Sri Murniati yang terbit 2014, kurang dipedulikan.

Menurut buku tersebut, kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad berusaha membentuk Akta Pencegahan Rasuah pada 1997 yang memberi lebih banyak kuasa kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR); sementara di zaman Tun Abdullah Badawi, BPR dinaik taraf sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan harapan dapat mengekang rasuah menjadi kanser dalam kepimpinan negara dan masyarakat.

Anis yang pada 2015 merupakan presiden Integriti, telah menulis mengenai ketidakpedulian generasi muda terhadap isu rasuah dan integriti ini.

Pembunuhan Julai 1983

Beliau malah menyebutkan kejadian tragis iaitu pembunuhan Jalil Ibrahim yang baru berusia 34 tahun pada ketika beliau dibunuh pada 19 Julai 1983.

Allahyarham merupakan mangsa tertindas yang meninggalkan seorang balu dan 4 anak berusia antara 6 bulan ke 6 tahun. Hari ini, sudah 34 tahun Jalil terkorban. Angka itu adalah usia waktu Jalil dibunuh secara misteri demi menutup skandal rasuah perbankan yang dahsyat.

Pembunuhan Jalil menentang rasuah sangat dahsyat dan menggegarkan dunia kewangan; dicekik dengan tali jubah mandi hotel, disumbat dalam beg dan dibuang dalam kebun pisang di kawasan pedalaman Hong Kong. Ia adalah seperti adegan mafia dan samseng dalam filem Hollywood atau Hong Kong. Saya menyarankan pembaca generasi muda mencari dan membaca hayat pejuang tempatan yang terbunuh syahid ini. Beliau adalah Melayu terbilang.

Skandal BMF menyebabkan kerajaan Malaysia tampil dengan Kertas Putih yang dibentangkan di Parlimen bertajuk “Laporan Akhir Jawatankuasa Penyiasat Bumiputra Malaysia Finance Limited (Hong Kong)” pada 1986. Siasatan menuding jari punca skandal BMF adalah penyelewengan dan salah urus serta perbuatan tidak mengendahkan peraturan perbankan oleh ahli Lembaga Pengarah serta pegawai tinggi BBMB dan BMF yang mengutamakan kepentingan diri.

Pembunuhan Jalil mendorong rakan sekolahnya, Profesor Jomo Kwame Sundaram, menumpukan penyelidikan akademik beliau mensasarkan hubungan politik kronisme dengan wang.

Rasuah dan jawatan tinggi

Menurut Syed Hussein Alatas dalam buku “Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi”, apabila seorang yang berjawatan tinggi seperti perdana menteri, presiden atau ketua polis melakukan rasuah, lama kelamaan mereka tidak akan lagi menunjukkan minat terhadap pekerjaan hakikinya, iaitu berkhidmat kepada orang awam atau rakyat.

Fenomena ini diistilahkan oleh Syed Hussein sebagai perkhidmatan ganti (surrogate service) di mana “kegiatannya yang lahiriah dan yang ketara hanya dilaksanakan sekadar untuk mengabsahkan kedudukannya itu”.

Rasuah juga menyuburkan jenayah, seperti mana terlihat pada pembunuhan Jalil. Syed Hussein dalam buku tersohor tersebut menjelaskan jenayah berorganisasi pernah menjadi perusahaan kedua terbesar di Amerika Syarikat selepas perusahaan petroleum.

Menurut Syed Hussein, modus operandinya ialah rasuah. Jenayah ini menumpukan kepada pelacuran. Wanita bukan sahaja dipaksa melacur, malah diseksa oleh bapa ayam. Manakala 40% daripada pendapatan mereka wajib diserahkan kepada bapa ayam tersebut. Persekongkolan ahli politik dan penjenayah menyebabkan pelacuran berkembang subur walaupun mendapat tentangan dan protes daripada masyarakat.

Hari demi hari, pengabaian terhadap rasuah oleh kepimpinan negara menyebabkan pengabaian kepada kesejahteraan rakyat selain mempengaruhi produktiviti masyarakat sehingga mengakibatkan masalah ekonomi rakyat menjadi lebih parah. Syed Hussein seterusnya menambah, rasuah menyebabkan kesan metastatik dalam masyarakat.

Tempat rasuah menyubur

Istilah kesan metastatik beliau pinjami daripada bidang karsinologi. Metastatis bertindak dengan cara “penggandaan sel-sel barah yang tidak terkawal, kemiripan dengan sel-sel asalnya, melakukan sebahagian fungsi sebagaimana sel asalnya dan penampilannya dengan ukuran yang lebih besar pada tahap perkembangan kromosom”.

Syed Hussein menyatakan kesemua yang disebutkan di atas merupakan ciri-ciri homovenalis, iaitu manusia yang korup: “Metastatis terjadi apabila rasuah menyebar ke pusat-pusat penting pentadbiran kerajaan yang mempunyai pengaruh besar terhadap masyarakat.”

Misalnya, keterlibatan penguatkuasa undang-undang seperti polis. Kesan daripada rasuah metastatis memusnahkan Empayar Romawi, menyebabkan penderitaan kepada masyarakat China Kuno, Asia dan Afrika, serta di Amerika Latin.

Di India, Hong Kong dan Pakistan, anggota polis cenderung terlibat dalam bentuk rasuah metastatis. Barang diingat, Syed Hussein turut menyatakan bahawa, “…metastatis yang paling berbahaya dalam konteks dewasa ini adalah yang muncul dari dalam kabinet. Di Malaysia, kabinet dan pejabat menteri besar boleh merupakan sumber metastatis dalam rasuah”.

Hari ini, dengan sepertiga siswa universiti tempatan tidak menganggap perbuatan memberi “hadiah” sebagai kesalahan, kita dapat mengesahkan hipotesis Syed Hussein bahawa rasuah akhirnya memberi kesan transmutasi di mana menurut beliau, “…kedurjanaan ditransmutasi menjadi penghormatan dan penerimaan masyarakat.” Seorang tokoh penjenayah rasuah yang melakukan kejahatan dahsyat tetapi tetap dipuja-puja dan dihargai oleh masyarakat.

Kesan transmutasi meletakkan pengaruh personaliti tokoh rasuah pada satu keadaan berupaya mendapat penghormatan daripada masyarakat sehingga menyelimuti kejahatan yang dilakukannya.

Pembunuhan Jalil demi menutup skandal dan rasuah wajar dikenang oleh siswa hari ini.

Dalam tradisi Islam, mengenang seseorang yang terbunuh kerana tanggungjawabnya yang amanah adalah sepertinya mengenang pembunuhan para nabi dan wali yang menyumbang untuk menegakkan kebenaran, membasmi kemungkaran dan membetulkan keadaan masyarakat.

Maka mengenang dan menghidupkan hayat manusia berjasa dan berwajah keperwiraan seperti ini akan membantu kita, yang masih tinggal untuk merenung, menghayati dan kembali di jalan lurus.

Al Fatihah untuk Jalil Ibrahim.

Faisal Tehrani ialah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia, dan penerima Anugerah Seni Negara 2006.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.