Mampukah PAS tanpa ‘Negara Islam’?

Mampukah PAS tanpa ‘Negara Islam’?

Suka atau tidak, PAS perlu kemukakan dokumentasi kejayaan Kelantan, penyelesaian isu rakyat dan strategi baharu jika ingin memenangi 40 kerusi Parlimen

pas_
Oleh Rahman Imuda

Bulan lepas saya menulis artikel bertajuk “Pas yang semakin lemas”. Tulisan itu mendapat sambutan yang agak hangat apabila tersiar di beberapa portal berita. Saya menerima banyak kritikan, ada yang membina, ramai pula yang menghina.

Hari ini saya akan menggunakan gaya penulisan yang bernada lembut agar ia lebih mudah diterima oleh segenap masyarakat, sama ada mereka adalah penyokong PAS atau tidak.

Apabila membaca berita melalui portal Harakah Daily, hasrat utama PAS untuk memenangi 40 kerusi Parlimen adalah untuk memberi kesedaran kepada Barisan Nasional supaya tidak sombong.

PAS juga berpandangan tahaluf siyasi pada Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) kerana daripada 89 kerusi yang dimenangi pembangkang, 50 daripadanya dimiliki oleh mereka yang bukan Islam. Ini salah satu faktor yang menyebabkan PAS melakukan kajian semula terhadap tahaluf siyasi, dan akhirnya Pakatan Rakyat dikuburkan.

Prestasi Pas dalam 4 PRU terakhir

Pada Pilihan Raya Umum 10 (PRU10) tahun 1999, prestasi PAS sangat baik apabila menang hampir 4 kali ganda kerusi berbanding PRU sebelumnya apabila memenangi 27 kerusi.

Pada PRU11 (2004), PAS yang membawa manifesto untuk membina sebuah “Negara Islam” kalah teruk apabila hanya memenangi 7 kerusi Parlimen. Datuk Seri Abdul Hadi Awang gagal mengekalkan kerusi Parlimen. Pada kedua-dua PRU ini PAS bertanding untuk gabungan parti yang dinamakan Barisan Alternatif.

Pada PRU12 pula, PAS berjaya menawan 24 kerusi Parlimen. Pencapaian ini sangat baik, dan PAS dan DAP ketika itu seolah-olah menerima paradigma baharu, di samping factor kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada PRU13 pula, PAS memenangi 21 kerusi Parlimen melalui Pakatan Rakyat.

Melihat prestasi PAS pada 4 PRU kebelakangan ini, kita pasti akan tertanya-tanya adakah angka 40 itu realistik untuk dicapai? Atau wajarkah PAS menumpukan perhatian untuk mengekalkan kerusi Parlimen yang mereka miliki sekarang?

Tentu sahaja ramai yang akan menjawab perlu meletak sasaran yang tinggi agar jentera bekerja keras. Sasaran tidak semestinya perlu dicapai, tapi sekurang-kurangnya hampir kepada sasaran itu sudah cukup baik. Ini membawa kepada persoalan saya yang seterusnya.

Manifesto PAS

Saya agak berteka-teki dengan manifesto utama yang ingin dibawa oleh PAS pada PRU akan datang. PAS pernah menawarkan “Negara Islam” dan “Negara Berkebajikan”, ternyata ia belum boleh diterima oleh kebanyakkan rakyat Malaysia. Pendekatan Islam PAS berjaya menarik ramai pengundi Melayu khususnya, namun untuk membina rejim teokratik, saya fikir masyarakat kita masih tidak menerimanya.

Untuk mencapai angka 40 kerusi di Parlimen, pemilihan manifesto yang baik untuk sesebuah parti adalah kritikal. Sejak kebelakangan ini, perjuangan PAS yang paling ketara adalah memperkasakan mahkamah syariah melalui kempen ‘RUU 355’.

Saya bersetuju dengan perjuangan ini walaupun saya berpandangan apa yang diusulkan oleh Presiden PAS tempoh hari agak drastik. Tambahan lagi, saya merasakan isu ini sepatutnya menjadi “sub” kepada perjuangan PAS dalam usahanya untuk memperkasakan Islam di negara ini.

Suka atau tidak, PAS perlu lebih menonjol dalam menawarkan idea yang memberi solusi kepada derita rakyat, seperti isu pengangguran, kos sara hidup, bebenan hutang dan bencana alam.

Isu-isu terkait PAS

Sejak kebelakangan ini, kita melihat hampir semua parti politik yang ada di Malaysia dibelenggu pelbagai isu. PAS tidak terkecuali. Sejak berlaku perpecahan di dalam PAS, kita harus mengakui ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kekuatan parti.

Kewujudan Amanah yang membawa imej Islam “progresif” memberi pilihan alternatif kepada mereka yang mahukan parti Islam memerintah. Tambahan pula, tokoh-tokoh yang keluar daripada PAS turut membawa keluar penyokong mereka bersama.

Baru semalam saya membaca berita berkenaan Umno Kelantan ingin menjadikan kegagalan PAS di Kelantan sebagai propaganda utama untuk memenangi negeri itu pada PRU akan datang.

Saya sudah lama menasihatkan melalui tulisan supaya kerajaan Kelantan memaparkan “dokumentasi yang jelas” tentang apa yang telah dicapai oleh mereka setelah PRU13. Isu seperti pembalakan terbuka, kemiskinan, kemunduran ekonomi dan kegagalan mengurus bencana alam pasti akan menjadi modal yang kuat untuk parti lawan mengambil kubu kuat PAS itu.

Kedudukan PAS yang buat masa ini memilih untuk “bersendirian” juga akan menjadi faktor angka 40 kerusi itu sukar untuk dicapai. Secara teori, menyertai mana-mana blok akan membantu untuk meningkatkan kadar undi dan memudahkan pembahagian kerusi.

Bersendirian akan menyebabkan kebarangkalian untuk menghadapi lawan daripada blok yang kuat adalah tinggi, sekali gus mengurangkan potensi untuk menang. Saya bersetuju dengan kenyataan presiden PAS yang mengatakan PAS mustahil memerintah Malaysia secara bersendirian buat masa ini.

Kesimpulan

PAS sudah lama bertapak dan mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Tidak keterlaluan jika saya katakan parti ini masih kuat dan menjadi rebutan untuk kedua-dua blok pembangkang dan kerajaan.

Sekiranya mereka benar-benar berhajat untuk memenangi 40 kerusi di Parlimen, mereka harus bekerja keras dan mencatur strategi dengan bijak kerana sasaran itu tidak mudah.

Rahman Imuda adalah seorang aktivis mahasiswa dan pembaca FMT

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.