Didik mengenai seks perlu serius, ikut trend

Didik mengenai seks perlu serius, ikut trend

Guru hendaklah menyampaikan informasi yang tepat dalam kelas pendidikan seksual. Contohnya, kemaluan lelaki tidak boleh disebut 'burung' atau 'anu', tetapi 'zakar'.

Pendidikan-seks

Oleh Mohd Fadhli Othman dan Nurul Zakiah Ahmad Tajulddin

November lalu, seorang wanita dicabul 3 remaja yang mengekorinya semasa pulang ke rumah. Sebelum itu pada 25 Oktober, seorang pelajar junior Maahad Tahfiz di Pasir Puteh menjadi mangsa seks oral kepada seorang pelajar senior berusia 13 tahun dengan upah RM3. Pada 13 Oktober, 2 lelaki berusia 60-an dan 30-an ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam kes rogol dan cabul pelajar Tingkatan 1 sebuah sekolah di Batu Berendam.

Saban hari, helaian akhbar pasti mencoretkan kisah gangguan seksual yang berlaku di kalangan masyarakat kita. Lebih membimbangkan, mangsanya terdiri daripada mereka yang masih bersekolah rendah dan awal sekolah menengah.

Apa yang mengejutkan lagi, pemangsanya ialah datuk, bapa saudara, bapa sendiri dan kaum kerabat yang ada pertalian persaudaraan.

Masalah ini perlu dipandang serius agar keharmonian masyarakat dapat dipelihara dan institusi kekeluargaan dapat diperkukuhkan.

Pendidikan seks

Masalah ini diambil peduli oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mana Pendidikan Jasmani Kesihatan dijadikan subjek wajib di sekolah menengah dan rendah.

KPM melaksanakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) sejak 1989 di sekolah menengah dan sejak 1994 di sekolah rendah, khususnya melalui mata pelajaran Pendidikan Kesihatan dan secara merentas kurikulum mata pelajaran lain seperti Bahasa, Sains, Biologi, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.

Istilah “pendidikan seks” tidak digunakan sama sekali dalam konteks pendidikan di Malaysia kerana ia memberi konotasi negatif dalam kalangan masyarakat kita.

Sebaliknya, istilah “Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial” digunakan susulan kelulusan Kabinet pada 20 Disember 2006 untuk menggantikan nama “Pendidikan Kesihatan Keluarga” (1989-2002) dan “Pendidikan Seksualiti” (2003–2005) yang digunakan sebelum ini.

Kurikulum Pendidikan Kesihatan terdiri daripada elemen PEERS (75%), pemakanan (15%) dan pertolongan cemas (10%). Kandungan PEERS dalam Pendidikan Kesihatan digubal berdasarkan kepada tahap perkembangan kognitif dan kesesuaian peringkat umur kumpulan sasaran.

Setiap individu perlu dilengkapi dengan kemahiran membuat keputusan konstruktif, bijak dan bertanggungjawab dalam menangani situasi berisiko.

PEERS wajib diajar di sekolah bagi tujuan membentuk peribadi manusia bagi mencapai matlamat falsafah pendidikan, mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

PEERS perlu diajar dengan penuh kejelasan dan ketelusan. Segala istilah yang digunakan wajib difahami oleh semua murid baik diperingkat prasekolah hinggalah menengah.

Tanpa kefahaman yang jelas murid akan keliru dalam setiap aspek perubahan diri dan sekelilingnya. Hal ini akan membawa kepada sifat ingin tahu yang akan mereka lakukan sendiri di rumah atau di luar rumah bersama rakan-rakan.

Tuduhan Puteri Umno

Ramai masyarakat di luar sana masih lagi tertanya-tanya, bagaimana bentuk pengajaran guru di sekolah dalam menerapkan ilmu ini kepada murid. Sehinggakan ada di antara mereka cepat menyanggah dan menyalahkan guru apabila berlakunya masalah yang tidak diingini.

Tambahan lagi, baru-baru ini di pentas Perhimpunan Agung Umno 2016, perwakilan Puteri Umno Norrulhuda Marsidin menyatakan pendidikan seks tidak diajar secara serius.

Dakwaan ini sedikit sebanyak mengguris hati guru di sekolah, seolah-olah mereka tidak memberi kefahaman terhadap isu yang sedang berlaku.

Kami mencabar Puteri Umno turun padang dan membantu guru di dalam membasmi masalah yang kian parah ini. Jangan sekadar datang ke sekolah dan melaksanakan program 2-3 jam kemudian berpuas hati dengan apa yang dilakukan. Hadir ke sekolah dan lakukan sedikit analisa serta pelan tindakan seterusnya berganding bahu dengan pihak sekolah dengan harapan, kefahaman PEERS dapat dihadamkan oleh murid dengan baiknya.

Kaedah pengajaran dan pembelajaran

Setiap tahun, guru Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) akan mengikuti kursus penambahbaikan di dalam mengajar subjek ini. Apa yang penting, objektif pengajaran dan pembelajaran perlu dicapai dalam apa jua bentuk dan teknik.

Pada permulaan setiap tajuk dan pengajaran, guru hendaklah menerang dan menjelaskan skop pelajaran yang hendak dipelajari. Setelah itu guru hendaklah memberitahu murid apa yang dikehendaki daripada mereka.

Strategi ini adalah untuk membangkitkan minat dan kesedaran terhadap apa yang hendak di ajari ketika itu. Guru pula, hendaklah sentiasa senyum, menghadap kelas dan bercakap dengan pelajar termasuk pelajar di barisan belakang semasa mengajar PEERS.

Mengapa hal ini perlu dilaksanakan? Kerana PEERS memerlukan kesediaan mental dan fizikal yang cukup. Bukan sahaja murid yang perlu menyediakannya, malah guru yang mengajar juga perlu kukuh mental dan fizikalnya. Guru hendaklah menyampaikan informasi yang tepat dan penerangan yang mantap pada setiap istilah PEERS.

Contohnya, bagi kemaluan lelaki, guru tidak boleh sama sekali membuat analogi “burung” atau “anu”, tetapi menggunakan istilah “zakar”. Guru wajib menerangkan sehingga mereka faham.

Begitu juga dengan perihal fizikal perempuan. Tanpa ada rasa selindung, guru perlu menjelaskan dengan hikmah.

Antara persembahan yang boleh dilakukan dalam mengajar PEERS ialah suara guru hendaklah kuat tetapi nada mesra. Tanpa suara yang kuat dan jelas kemungkinan murid tidak akan dapat memahami setiap pembelajaran yang dijalankan.

Kemesraan di dalam penyampaian juga hendaklah wujud semasa pengajaran dan pembelajaran berjalan agar murid-murid berasa selesa dan dapat mencapai objektif yang di rancang.

Selain itu, guru hendaklah memilih perkataan yang sesuai, menghuraikan istilah yang digunakan, bercakap dengan semua pelajar, menggunakan teknik lain seperti penyoalan, papan tulis, demonstrasi dan lain-lain.

Guru juga perlu mengulang butiran penting dan tidak ketinggalan menyelitkan unsur kecindan atau lawak jenaka.

Nampak mudah, tetapi di hadapan guru ada 1,001 macam perangai yang perlu diraikan agar pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Ikut trend

PEERS perlu disesuaikan mengikut perkembangan awal kanak-kanak hingga remaja serta trend teknologi semasa.

Hal ini kerana generasi zaman globalisasi tidak lekang daripada dunia tanpa sempadan. Mereka boleh menerokai dunia ini dengan mudah walaupun mereka hanya berdiam diri di dalam bilik atau rumah.

Maka menjadi tangunggajawab semua pihak, ibu bapa, guru, pertubuhan bukan kerajaan, parti politik dan masyarakat sekeliling berganding bahu memperkasakan PEERS di sekolah terutamanya, dengan harapan keharmonian dan kesejahteraan insan dapat dipelihara.

Mohd Fadhli mewakili kumpulan Mothers Against Pornography manakala Nurul Zakiah seorang guru pendidikan jasmani.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.