1MDB: Mengapa peguam pemerhati, bukan peguam pencelah?

1MDB: Mengapa peguam pemerhati, bukan peguam pencelah?

1MDB adalah syarikat milik negara, maka kerajaan mempunyai hak ke atas harta terlibat dalam prosiding tersebut.

Faiz-Fadzil

Oleh Faiz Fadzil

Pengumuman Jabatan Peguam Negara akan menghantar peguam pemerhati di dalam prosiding tindakan sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat adalah tidak memadai dalam usaha menangani skandal 1MDB.

Peguam pemerhati yang dikenali sebagai “watching brief” adalah pihak yang hanya dibenarkan menyertai prosiding “civil forfeiture” untuk bertanya beberapa soalan seperti mana diumumkan Peguam Negara.

Namun, kerajaan Malaysia mempunyai kepentingan secara langsung dan berhak menuntut aset di dalam prosiding tersebut.

Sepatutnya Peguam Negara menasihatkan kerajaan Malaysia memfailkan permohonan mencelah atau “intervener” di mana kerajaan akan menjadi pihak di dalam prosiding tersebut bagi melindungi dan mempertahankan hak kerajaan ke atas aset yang mahu disita dan dirampas oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat di bawah Kleptocracy Asset Recovery Initiative.

Perkara ini penting memandangkan fakta yang dibentangkan di dalam kertas kausa “civil forfeiture” tersebut melibatkan kesalahan pengubahan wang haram akibat perbuatan jenayah mencuri wang 1MDB.

Oleh kerana 1MDB adalah syarikat milik negara, maka kerajaan mempunyai hak ke atas harta terlibat dalam prosiding tersebut. Apatah lagi, nama “Malaysian Official 1” disebut sebagai individu yang terlibat dalam skandal pengubahan wang haram ini.

Jika kerajaan tidak berani menjadi pencelah, maka fakta perbuatan jenayah dalam skandal 1MDB adalah benar dan ini sekaligus bertentangan dengan dapatan Peguam Negara bahawa tiada kesalahan jenayah dalam siasatan ke atas 1MDB dan perdana menteri.

Peguam Negara seharusnya menjaga hak dan kepentingan negara dan bukannya individu berkepentingan di dalam 1MDB dan Putrajaya.

* Faiz Fadzil seorang peguam dan timbalan ketua Pemuda Amanah.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.