Oleh Ismail Nasaruddin
Kenyataan baru yang dilemparkan oleh CEO Malaysia Airlines Berhad (MAB) telah membawa lebih kemarahan kepada pekerja yang telah dibuang oleh syarikat tersebut. Ia ibarat sudah jatuh, ditimpa tangga pula.
NUFAM menyelar kata kata CEO Christoph Mueller dan menganggap kenyataan beliau itu sebagai “egoistic”, alasan atas angin dan sama sekali tidak boleh pakai.
Masalah dengan beliau ialah beliau adalah orang luar dan mungkin tidak faham budaya pekerja-pekerja kita di dalam negara. Bila seseorang pekerja itu tidur, mungkin ada sebabnya mereka tidur. Tidakkah tidur itu pun penting untuk mendapatkan kembali tenaga buat pekerja tersebut?
Beliau kena faham pekerja di operasi ramai bekerja dalam lingkungan 24 jam dan ada yang buat overtime sehingga mereka penat. Tidak mungkin seorang pekerja itu akan datang ke kawasan kerja mereka untuk tidur. Buat apa nak tidur di pejabat, baik tidur kat rumah lagi selesa atau pekerja boleh saja ambil cuti jika tak cukup rehat.
Muller juga mengambil sikap terburu-buru dengan membuang 6,000 pekerja sekali gus dimana ramai antara mereka juga telah berkhidmat lebih lama dari pihak pengurusan yang keluar dan masuk di MAS. Diantara yang lama bekerja juga adalah mereka daripada golongan Kru Kabin. Adakah beliau juga berkata pekerja ini semua tidur juga dan sebab itu mereka dibuang? Kalau semua tidur, siapa yang pula menyediakan makan minum penumpang di dalam pesawat? Hantu? Kru Kabin pun kena tidur sebab ia amat penting buat mereka kerana ia akan menyegarkan mereka dalam perjalanan penerbangan yang jauh.
Tidur tidak boleh dijadikan sebagai alasan mengapa sebuah syarikat seperti MAS membuang pekerja mereka! Ia lebih kepada sikap pengurusan yang sudah tidak mampu menjaga kebajikan pekerja mereka. Jadi dengan menggunakan alasan pekerja tidur, adakah pihak pengurusan mengambil jalan pantas untuk membuang 6,000 pekerja mereka terus? Ramai di antara pekerja yang dihentikan adalah juga berpangkat Pengurus dan Eksekutif dan adakah Muller juga berkata pihak pengurusan tinggi di MAS pun tidur semasa waktu kerja?
Jangan Muller lupa bahawa pengurusan syarikat penerbangan Virgin pula mengalakkan pekerja mereka tidur jika penat. Ini adalah satu daripada sifat perikemanusiaan yang ada pada syarikat penerbangan yang bertaraf tinggi. Mereka lebih bersikap memahami keadaan pekerja daripada menjadikan mereka sebagai “spare part” atau alat ganti.
Kami percaya Muller dengan jadual ketat juga akan merasa mengantuk juga akan mengambil kesempatan untuk tidor jika beliau ada peluang.
Ismail Nasaruddin adalah Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM)
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT