Oleh Abdar Rahman Koya
Dalam lambakan doktor sarjana falsafah (PhD) di muka bumi ini, terdapat seorang pemuda yang tugasnya imam besar UMNO menjaga hal ehwal Islam dan umat Islam, Dr Fathul Bari Mat Jahya.
Baru-baru ini, dia mengeluarkan sebuah lagi fatwa yang tidak masuk akal dalam posting di Facebook, mengharamkan Datin Mastura Yazid, balu yang dilantik sebagai calon BN di Kuala Kangsar, daripada keluar rumah berkempen.
Ini kerana menurut Fathul, Mastura masih dalam tempoh idah selepas kematian suaminya sebulan lalu, maka haram baginya keluar rumah untuk tiga bulan lagi.
Biar betul! Apakah ini ajaran Islam, atau budaya Hindu kuno yang dijenamakan semula dalam istilah Wahabi?
Tidak perlu berpangkat sarjana Islam bagi menyimpulkan betapa tidak masuk akal kenyataan Fathul, yang terkenal dengan fahaman Islamnya yang ala-Saudi, fahaman yang kini menjadi ikutan UMNO. Parti Melayu ini juga dijangkiti penyakit sama yang menular di kalangan umat Islam negara ini: suka terikut-ikut dengan cakap orang muda berkopiah yang tidak putus-putus menyajikan ayat Al-Quran sambil diselangi lawak berunsur seks.
Idah sebenarnya tidak bertujuan melarang seseorang balu keluar rumah, berjumpa kawan, membeli barangan keperluan; tidak juga melarangnya menghadiri program ceramah agama yang disampaikan Fathul dan orang sepertinya dengan kejahilan mereka mengenai Islam.
Idah juga bukan bermakna berkabung. Lebih-lebih lagi bagi sebuah agama yang menggalakkan penganutnya cepat reda dan menerima kematian orang tersayang. Lihat saja bagaimana mudahnya urusan jenazah orang Islam, yang dimasukkan ke dalam liang lahad kurang 24 jam selepas kematian. Tiada acara mempamerkan jenazah atau pesta kesedihan sehingga seminggu lamanya. Lainlah kalau dia mati dalam keadaan mayatnya dijumpai di atas bumbung bangunan dan disyaki ditolak ke bawah dari tingkat atas bangunan berdekatan.
Idah hanyalah peraturan melarang seseorang balu yang baru saja kematian suami daripada terus berkahwin – disusuli dengan hubungan seks bersama suami baharunya – untuk mengelak sebarang keraguan yang anak hasil perhubungan baharu itu mungkin daripada arwah suaminya.
Tempoh empat bulan larangan berkahwin merupakan sesuatu yang wajar dan boleh diterima daripada segi saintifiknya, kerana tidak mungkin sperma kepunyaan arwah suami boleh aktif selepas 4 bulan! Dengan penemuan sains yang terkini, peraturan idah juga mungkin boleh diubah, tetapi itu soal lain di bawah topik ijtihad dan penggunaan akal, dua perkara yang menjadi musuh golongan Wahabi.
Dalam soal idah dan tempoh empat bulan pula, ia terpakai apabila seseorang wanita itu bercerai atau kehilangan suami, itu pun kalau bernasib baik (atau bernasib buruk) bertemu jodoh yang dapat menggantikan arwah suaminya beberapa minggu selepas menitiskan air mata di pusaranya. Idah menjadi tidak relevan sekiranya seseorang janda atau balu tidak mahu bersuami lagi.
Dalam tempoh tersebut, seorang balu bebas meneruskan hidupnya seperti dulu. Ini termasuklah memandu kereta – ya, aksi terlampau yang diharamkan si Penjaga Dua Kota Suci (Khadim al-Haramain) yang keluarganya terkenal dengan sifat maha pemurah terhadap seorang rakyat Malaysia tidak lama dulu.
Dengan tersebarnya kekayaan minyak, tersebarlah aliran Islam literal, iaitu pemahaman nas Al-Quran secara harfiah tanpa penggunaan akal yang mendalam. Dengan perkembangan ini, pemahaman mengenai idah juga disalahtafsirkan, sehingga mewarisi kepercayaan yang tidak masuk akal dan asing bagi Islam.
Contoh ekstrem boleh dilihat di India di mana si balu beragama Islam perlu “berkabung” ala-Hindu, biarpun penganut Hindu moden sudah mula menjauhkan diri daripada amalan tersebut.
Menurut amalan ini, wanita kematian suami bukan saja tidak boleh keluar rumah, dia juga dilarang memakai pakaian berwarna-warni dan barang kemas, seperti mana penganut Hindu konservatif, demi memperlihatkan kesedihannya dan sifat sayang dan taat terhadap arwah suaminya.
Dalil Al-Quran mengenai idah (2:234) adalah jelas dan ringkas, tanpa membataskan seorang balu dalam mengerjakan aktiviti harian seperti mana insan lain: “Dan orang yang mati di antara kamu serta meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka (isteri-isteri) menunggu empat bulan sepuluh hari”.
Bayangkan, jika ditakdirkan saya mati hari ini (minta-minta selepas artikel ini diterbitkan), para ulama makan gaji melarang isteri saya keluar rumah, sedangkan selepas kematian suamilah si isteri lebih kerap perlu keluar rumah.
Kalau tidak, bagaimana pula ibu tunggal mencari nafkah bagi anaknya?
Apakah Fathul Bari masih hidup di zaman silam Islam, di mana kota raya Islam dibanjiri kekayaan, wanita pula tutup segalanya, berjubah labuh sehingga menyapu jalan sambil wajah mereka tersorok daripada pandangan nafsu lelaki bertakwa yang cuma dapat menundukkan mata mereka ke arah capal kulit kambing yang terhias indah?
Kini wujud golongan yang membuat tafsiran agama menggunakan istilah dan cara hidup orang kaya, kerana rujukan mereka ialah amalan sesetengah umat Islam pada zaman kegemilangan khalifah, di mana gaya hidupnya mewah seperti juga di Timur Tengah kini yang kaya dengan minyak.
Hasilnya, timbullah fatwa dan peraturan menggalakkan wanita duduk rumah di samping orang gaji, wanita duduk di bahagian belakang kereta, dan wanita memakai pakaian yang menyembunyikan keseluruhan tubuh mereka kecuali sepasang mata.
Jika inilah Islam yang disampaikan satu ketika dulu kepada masyarakat nelayan di persisiran India atau petani di Indonesia, sudah tentu mereka tidak menerima Islam. Dengan Islam yang sebegini, mana mungkin wanita Jawa dapat turun ke sawah padi, kerana dia diharamkan menaikkan pakaiannya sehingga terdedah betis.
Islam literal merupakan antara musibah besar yang melanda umat Islam hari ini. Mereka yang tergolong dalam kumpulan ini menamakan diri mereka “salafi”, atau nama sindirannya “Wahabi”. Mereka inilah yang melakukan pelbagai kerosakan dalam dunia Islam, bermula dari tempat lahirnya Islam di tanah suci Makkah.
Islam literal tidak berminat mendalami ayat Al-Quran dan sering menolak pelbagai kaedah ilmu al-Quran yang menggunakan akal fikiran manusia dan konteks dalam menjelaskan makna sesuatu ayat.
Akal manusia, menurut golongan literal ini, tidak diperlukan sekiranya seseorang mahu menjadi Muslim sejati.
Bagi mereka dan orang seperti Fathul Bari, tidak terdetik pula peringatan Al-Quran, iaitu ia sebuah kitab yang ditujukan kepada “kaum yang berfikir” (li qawmin yatafakkarun), justeru mendedahkan ayat Al-Quran kepada tafsiran serta pengalaman sains dan tamadun manusia.
Ini nasihat saya kepada Datin Mastura. Biarkan saja si pemuda berkopiah itu. Keluarlah berkempen untuk parti kamu, temui pengundi, dan turunlah padang bagi menyampaikan segala apa kain sarung dan hadiah yang dibekalkan orang atas.
Dan ini pula nasihat kepada isteri Fathul Bari: andai ditakdirkan bukan kamu yang pergi dulu, pastikan si suami meninggalkan sebanyak mungkin harta yang boleh bertahan sekurang-kurangnya empat bulan, dan juga perkhidmatan jalur lebar yang terbaik di rumah, kalau-kalau dipilih menjadi calon dan terpaksa berkempen online!
Abdar Rahman Koya ialah seorang wartawan.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini ialah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT
