Orang kita sensitif bila seni di’perkaum’kan

Orang kita sensitif bila seni di’perkaum’kan

Kesilapan FINAS memaparkan kategori pemilikan penerbit filem menerima pelbagai reaksi daripada orang seni yang tidak berpuas hati.

finas_6

Satu kesilapan tetapi banyak reaksi, banyak ketidak puasan, banyak kecaman dan justeru itu satu pengajaran.

Itulah yang berlaku dalam kes kesilapan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) baru-baru ini apabila memaparkan kategori pemilikan penerbit filem dalam laman webnya.

Tahu sahajalah, emosi dan tindakan lanjut orang-orang kita, printscreen dan terus sebar. Yang menjadi kebimbangan ialah klasifikasi ‘Bumiputera’ dan ‘Bukan Bumiputera’ kerana ia dianggap bermotif perkauman.

Memang benar, saya sendiri berpendapat sama. Kalau bukan selepas diterangkan oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Kamil Othman dalam satu laporan berita semalam, saya pun pasti berpendapat perkara itu sengaja diwujudkan untuk mematikan kelangsungan kreativiti ‘Bukan Bumiputera’.

Bukan apa, kerana rata-rata perniagaan yang diiklankan sekarang, semacam trend untuk menggunakan label Bumiputera. Ini kerana label tersebut menarik pelanggan yang majoritinya adalah Bumiputera.

Tak salah, memang tak salah untuk mempromosi produk keluaran Bumiputera, memandangkan itu adalah special ticket yang dimiliki mereka.

Tak, kami tak marah atau bengang, cuma yang menjadi isu dalam kalangan para peserta industri kreatif ialah, kalau-kalau elemen seperti itu akan melumpuhkan kualiti seni dan kebangkitan filem-filem segar dan baharu hasil Bukan-Bumiputera.

Apapun, secepat klasifikasi itu dipapar, secepat itu juga orang ramai khususnya netizen, tak kiralah dalam dunia seni atau luar bangkit menentangnya. Menariknya, ia termasuk daripada golongan Bumiputera itu sendiri. Terima kasih, anda adalah sebab Malaysia masih milik semua!

Walau bagaimanapun, saya sendiri tidak pasti jika elemen klasifikasi itu berpotensi mematikan sesuatu filem, filem yang baik maksud saya. Kalau ya sekalipun, mungkin ia menjarakkan sedikit sesetengah orang yang kuat elemen ‘kaum’nya. Tapi itu bukan kes kebanyakan.

Sesedar saya, bagi penonton, kalau filem itu bagus dan rasional, mantap, ada kualiti, menghibur sambil menjana minda, mereka akan tetap menontonnya. Itulah kelebihan orang seni!

Seni itu melampaui bahasa, budaya, warna kulit dan latar belakang. Sebab itu kita seronok menonton karya dari Korea, Latin Amerika, Jepun, Tamil, Hindi, Indonesia dan sebagainya. Itulah keunikan orang yang bijak menghayati seni dan ya, saya tumpang bangga jadi orang seni!

Kembali kepada isu asal kita, tindakan FINAS segera menarik balik klasifikasi pemilikan dalam laman web satu langkah yang wajar mengambil kira sensitiviti semua.

Menurut mereka, ia dilakukan atas tujuan pengumpulan maklumat dan analisis, bukannya atas motif perkauman.

Malah, FINAS dikatakan mengumpul pelbagai statistik tentang industri perfileman tempatan antaranya untuk mengetahui bagaimana industri bergerak, serta jenis filem yang digemari penonton.

Lagi satu, Kamil Othman juga menegaskan pemilikan yang dipaparkan senarai pecah panggung iaitu selepas filem habis ditayangkan, maka tidak timbul soal nakkan penonton hanya memilih filem tertentu sahaja.

Apapun Datuk, kita ni orang Timur, kita memang sensitif, lebih-lebih lagi apabila elemen perkauman dikaitkan dengan orang seni. Harap kesilapan ‘human error’ ini tidak akan berulang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.