Masyarakat beragama Hindu di Malaysia berkongsi rasa tidak puas hati dengan khabar angin pembinaan hotel bajet di atas bangunan yang menempatkan Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam.
Ekoran itu, kredibiliti pentadbiran Tan Sri R Nadarajah yang mengelola rumah ibadat Hindu yang paling utama (muthanmai kovil atau mother temple) di Malaysia kini dipertikaikan.
Ketika dihubungi, Nadarajah cuba menepis cakap-cakap itu dengan berkata “masih belum buat perjanjian, maka belum muktamad”.
Bagaimanapun, cadangan hotel itu nampaknya dipertimbangkan dengan bersungguh oleh Nadarajah sendiri yang dilihat bersedia menukar nama bangunan daripada ‘Bangunan Mariamman’ kepada sesuatu yang lain, sekiranya hotel itu terlaksana. Ini termasuklah menyediakan jalan masuk alternatif supaya laluan ke kuil tidak diusik orang lain, serta membandingkan kuil-kuil di India yang turut menyediakan rumah tumpangan.
“Bukankah banyak lagi perkara berkaitan agama, budaya dan pendidikan yang boleh diambil-kira?” soal seorang rakan dalam kumpulan media sosial WhatsApp.
Mengapa mesti hotel murah, tanyanya dan langsung mempertikaikan bagaimana hotel itu akan digunakan kelak.
“Kita bukan tidak sedar operasi kebanyakan hotel-hotel bajet dan murahan di sekitar jalan-jalan di belakang Jalan Tun H.S. Lee seperti Jalan Petaling? Kita semua tahu ia kawasan ‘merah’. Sekarang atas kuil pun nak buat macam itu juga ke? Walaupun operasinya bersih, ada orang nak percaya?” tambahnya.
Pada pemerhatian saya, isu ini sama sahaja dengan isu-isu seperti pembinaan kondominium 29 tingkat dekat Batu Caves beberapa tahun dahulu. Semua orang termasuk MIC melolong membantah supaya ia dihentikan kerana dikhuatiri akan menjejaskan gua dan struktur kuil.
Orang ramai dan badan-badan bukan kerajaan berbondong-bondong berkumpul di Batu Caves mendesak campur tangan kerajaan negeri dan Persekutuan supaya menghentikan pembinaan itu.
Di sebalik keriuhan itu, timbul pula berita yang menyatakan tapak projek itu sebenarnya dijual oleh pemimpin sebuah parti politik majoriti etnik India.
Tidak ketinggalan, isu Vivekanandha Ashram di Brickfields yang telah dijual kepada pemaju yang mahu membangunkan sebuah pangsapuri. Sekali lagi, orang ramai bersatu dan mengambil pelbagai langkah untuk menyelamatkan bangunan warisan itu.
Soalnya, siapa di sebalik semua urusan jual beli seperti ini? Seolah-olah ‘villain’ masyarakat Hindu ialah dalam kalangan kita sendiri. Menyakitkan, namun itulah realitinya.
Dalam isu Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam, kita masih belum terdengar atau terbaca bantahan daripada ahli politik. Mungkin mereka akan menjadi hero selepas isu ini di’didih’kan sebaiknya oleh pihak media kut…
