
Pemimpin Paloh ini akui masalah kesihatannya cukup untuk tidak membolehkan beliau bertanding, dan akan memujuk para penyokongnya yang dilaporkan menutup bilik gerakan dan menurunkan bendera Umno di Gua Musang.
“Saya akur tidak dicalonkan sebab sudah tahu keadaan diri saya sendiri. Kelemahan saya sudah dinilai dan saya akan memberi sokongan kepada calon baru,” katanya.
Mengenai tunjuk perasaan oleh para penyokongnya, Nozula berkata pihaknya sedang menyelesaikan masalah itu dan beliau sendiri akan turun padang menenangkan ahli supaya kembali bekerja.
“Sebenarnya kerana berlaku pergeseran. Sepatutnya Amran Arifin bertanding di DUN Nenggiri dan sekarang di Paloh. Kita merasakan banyak komen dan protes mengharapkan saya bertanding,” katanya.
“Tapi apabila kita mendapat mandat daripada pucuk pimpinan supaya kita berganding bahu dengan calon baru, akar umbi akur dan saya memberi sokongan kepada Amran,” katanya.
Pengguguran Nozula, selepas 28 tahun menjadi wakil rakyat Paloh diumumkan BN Kelantan Isnin lalu. Percaturan kali ini menyaksikan Amran digerakkan ke Paloh, Ab Aziz Yusof ke Nenggiri, dan Mohd Syahbuddin Hashim ke Galas.
Pengumuman itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan para penyokongnya, yang turut menyalahkan Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai punca percaturan ini.