
Bagaimanapun, BN kini lebih yakin kerusi itu akan kembali kepadanya, berikutan ketiadaan PAS dalam gabungan pembangkang.
Pada pilihan raya 2008, PAS bersama PKR dan DAP menubuhkan kerajaan campuran di Selangor. Kali ini, parti Islam itu bukan merupakan komponen Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan PKR, DAP, dan 2 parti serpihan Umno dan PAS, iaitu PPBM dan Amanah.
“PH seperti DAP dan PKR mana ada kekuatan jentera?” kata Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail, ketika dihubungi FMT baru-baru ini.
“Senario kini berbeza. PH kini dalam keadaan kelam kabut, hanya bersifat retorik,” katanya.
Subang merupakan antara kerusi kawasan bandar yang dilihat sukar beralih semula kepada BN.
Pada PRU lalu, peguam PKR, Sivarasa Rasiah berjaya menambah majoritinya, dengan memperoleh 26,719 undi majoriti dalam PRU lepas.
Sejak 2008, calon dari MIC mewakili BN untuk merampas Subang, walaupun jumlah pengundi India di kawasan itu tidak melebihi suku daripada 128,543 pengundi berdaftar, setakat senarai pengundi pada 2013.
Tetapi keyakinan yang sama tidak diluahkan PAS, yang kini menguasai Paya Jaras, salah sebuah daripada 3 kerusi di bawah Subang.
Bagi Adun Paya Jeras, Khairuddin Othman, tugas PAS tidak mudah, dan mengakui partinya mengalami kesukaran di kerusi campuran.
“Saya kira, mana-mana kawasan campuran tidak selamat untuk semua parti. Perlu ada keseragaman antara parti pembangkang untuk hadapi BN”, katanya.
Sebelum ini, PAS bertegas tidak akan mengadakan persefahaman pilihan raya dengan PH. Ia bermakna kebanyakan kerusi yang menyaksikan satu-lawan-satu pada PRU lalu, akan kini menyaksikan pertandingan 3 penjuru.
Ia bagaimanapun tidak dibimbangi Sivarasa.
“Dalam pertandingan banyak penjuru, pengundi sudah sedar dan faham bahawa dalam PRU 14, hanya ada 2 calon yang relevan dan penting,” katanya, merujuk BN dan PH.