RUU PSB: Pendirian PAS uji ‘ikrar’ Hamzah, kata penganalisis

RUU PSB: Pendirian PAS uji ‘ikrar’ Hamzah, kata penganalisis

James Chin dan Azmi Hassan berkata PAS akan menggunakan isu itu untuk membangkitkan kesangsian terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Hamzah Zainudin
Ketua pembangkang Hamzah Zainudin pernah berkata Perikatan Nasional bersedia menyokong RUU Pembaharuan Semula Bandar jika diperhalusi untuk menangani kebimbangan umum.
PETALING JAYA:
Penganalisis berpendapat ikrar ketua pembangkang Hamzah Zainudin untuk menyokong Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) bakal diuji, apabila rakan Perikatan Nasional (PN), PAS dilihat semakin menentangnya.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, RUU itu menjadi alat politik untuk PAS menyemarakkan sentimen Melayu.

“Ini isu sangat emotif, khususnya dalam kalangan orang Melayu yang tanah mereka bakal dibangunkan semula, jadi fakta tidak membawa makna.

“Sama ada RUU ini baik atau buruk tidak penting. Ia dipolitikkan,” katanya kepada FMT.

James Chin
James Chin.

Chin berkata, PAS mengenal pasti isu itu sangat berkesan digunakan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“RUU ini diterajui menteri Cina, jadi mereka boleh memainkan isu perkauman.”

Katanya, PAS akan menggunakannya sebagai bukti kegagalan Anwar melindungi kepentingan orang Melayu, dengan projek pembangunan semula dilihat hanya menguntungkan masyarakat Cina.

“Ia ada elemen perkauman. Tidak mungkin PAS dan PN tidak menggunakan isu ini.”

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara juga berkata, PAS mahu mengambil kesempatan terhadap kebimbangan bahawa RUU itu direka untuk “mengusir” orang Melayu dari kawasan bandar.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

“Memang ironi. PAS berusaha memansuhkan RUU ini, walaupun pengundinya pada asasnya tinggal di kawasan luar bandar, di mana impak RUU ini minimum.”

Awal bulan ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, Hamzah berjanji akan menyokong RUU itu, dengan syarat ia ditangguhkan untuk perbincangan lebih mendalam.

Hamzah dilaporkan berkata, pembangkang tidak menolak undang-undang yang dicadangkan itu.

Sebaliknya, beliau berkata, PN hanya memerlukan masa untuk berbincang lebih mendalam dan gabungan pembangkang itu sedia menyokong RUU berkenaan, asalkan ia disemak untuk menangani kebimbangan umum.

Bagaimanapun, Pemuda PAS menyuarakan pendirian sebaliknya dengan mengumumkan perhimpunan akan diadakan bagi membantah RUU itu pada 4 Okt ini sebagai tanda solidariti bersama penduduk Kampung Sungai Baru yang diusir secara paksa awal bulan ini.

Seorang lagi penganalisis percaya Hamzah mampu menggunakan pengalaman luasnya untuk menyelaras strategi PN sebelum RUU itu dibahaskan semula di Parlimen.

“Hamzah boleh memanfaatkan kedudukannya sebagai ketua pembangkang untuk berunding dengan PAS. Sebagai timbalan presiden Bersatu, beliau juga boleh mendekati akar umbi bagi meredakan kebimbangan golongan Melayu miskin dipaksa berpindah,” kata penganalisis enggan dinamakan itu.

Menurutnya, pengalaman Hamzah sebagai menteri dalam negeri dan Ahli Parlimen lama berkhidmat memberinya kelebihan untuk meneliti peruntukan RUU PSB itu secara mendalam, khususnya berkaitan kuasa pengambilan semula tanah dan mekanisme pampasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.