Agihan kerusi belum selesai, PH Selangor kunci mulut

Agihan kerusi belum selesai, PH Selangor kunci mulut

Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim, berkata pimpinan pusat PH akan campur tangan dalam pembahagian kerusi DUN negeri itu kerana 4 parti terbabit enggan berganjak daripada tuntutan masing-masing.

PH-1
PETALING JAYA:
Rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kalangan Pakatan Harapan (PH) Selangor belum selesai menjelang tarikh akhir yang diberikan pimpinan pusat gabungan pembangkang itu pada Isnin depan.

Beberapa pemimpin parti komponen PH yang dihubungi juga enggan memberitahu perkembangan rundingan yang nampaknya menemui jalan buntu.

Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Kerusi PH Selangor, Dr Xavier Jayakumar mengesahkan pembahagian kerusi DUN negeri itu belum selesai.

“Belum Selesai, sudah selesai saya beritahu,” katanya yang juga naib presiden PKR kepada FMT.

Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo juga enggan mengulas perkembangan pengagihan kerusi DUN Selangor itu.

“Saya tidak boleh komen lagi,” katanya.

Khamis lalu, Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, Majlis Presiden PH akan campur tangan jika PH Selangor gagal menyelesaikan isu itu esok.

Sebelum ini, rundingan kerusi PH di Selangor yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali gagal dimuktamadkan kerana wujud pertindihan tuntutan kerusi antara PPBM dan PKR berhubung 12 kerusi dimenangi BN.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR bagaimanapun yakin PH Selangor mampu mencapai kata sepakat mengenai soal pengagihan kerusi DUN, tanpa campur tangan Majlis Presiden PH.

Rundingan pengagihan kerusi DUN Selangor sepatutnya selesai pada 31 Januari lalu, namun dilanjutkan ke 7 Februari disebabkan pertikaian antara 4 parti komponen PH itu.

Sementara itu, Datuk Rais Hussin yang mengetuai Biro Strategi dan Dasar PPBM, berkata PH Selangor diberi tempoh sehingga Isnin untuk menyelesaikan pembahagian kerusi DUN.

“Jika tidak, kita akan bawa ke pimpinan pusat PH,” katanya.

Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim, berkata pimpinan pusat PH akan campur tangan dalam pembahagian kerusi DUN negeri itu kerana 4 parti terbabit enggan berganjak daripada tuntutan masing-masing.

“Pembahagian kerusi DUN Selangor akan diselesaikan minggu depan dan akan dibawa ke peringkat pimpinan pusat PH.

“Ini kerana tidak ada penyelesaian sebab masing-masing tidak boleh berganjak daripada tuntutan,” katanya kepada FMT.

“Keempat-empat parti dalam PH Selangor setuju dan menganggap itu jalan terkahir selepas melihat Johor dan Negeri Sembilan yang sudah selesai pembahagian kerusi DUN apabila pimpinan pusat campur tangan.”

Katanya, PH Pusat akan mula bermesyuarat esok dan menyelesaikan isu itu minggu depan seperti diarahkan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Selasa lalu, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata pembahagian kerusi di 4 negeri sudah selesai dan baki 7 negeri diberi tempoh sehingga hujung minggu ini untuk menyelesaikannya.

Katanya, selepas tempoh itu, Majlis Presiden akan menentukan pembahagian kerusi dan semua parti komponen perlu menerima keputusan itu.

Pada 12 Februari lalu, mesyuarat PH Selangor selama 2 jam gagal mencapai sebarang keputusan berhubung pengagihan 21 kerusi DUN.

Xavier dilaporkan berkata, rundingan pembahagian kerusi itu akan diteruskan selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Pada 7 Februari lalu, Gobind dilaporkan berkata, PH Selangor berjaya menyelesaikan rundingan 35 daripada 56 kerusi DUN, melibatkan kerusi asal yang ditandingi PKR, DAP dan wakil rakyat Amanah pada pilihan raya umum lalu.

Pada pilihan raya umum ke-13, PKR memenangi 14 kerusi, DAP (15) dan Amanah (2). Bilangan kerusi PKR dan DAP berkurangan satu apabila Tan Sri Khalid Ibrahim dan Loh Chee Heng keluar parti. PAS dan BN masing-masing mempunyai 13 dan 12 kerusi DUN Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.