
Peletakan jawatan beberapa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) baru-baru ini membuatkan saya tertanya-tanya jika wujud kod perlakuan atau etika untuk mengekang amalan rasuah di kalangan pegawai atasan termasuk diri mereka sendiri.
Kebanyakan CEO yang meletak jawatan atau diarahkan supaya bersara adalah kalangan mereka yang antara lain didapati ada kaitan atau menyokong parti politik tertentu.
Malaysia sebagai sebuah negara yang agak muda sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi negara maju. Kita menunda tahun sasaran mencapai matlamat itu dari 2020 ke 2025. Tiada gunanya berbuat demikian jika tindakan kita masih seperti dalam zaman kegelapan. Jika sasarannya pada 2025, kita masih mempunyai 7 tahun untuk mencapainya. Namun adakah kita sudah bersedia?
Terdapat banyak isu berkaitan pengurusan syarikat senaraian awam, organisasi sukan, institusi pendidikan dan GLC.
Menurut data Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam tempoh 5 tahun sejak 2010, terdapat lebih daripada 60 kes rasuah yang melibatkan CEO, ketua-ketua setiausaha kementerian, naib canselor universiti dan pegawai kanan beberapa syarikat.
Jumlah 60 mungkin dianggap kecil tetapi impaknya terhadap pasaran saham serta reputasi dan integriti syarikat, kementerian, universiti atau organisasi sukan yang terbabit, boleh memudaratkan dan menyebabkan kemusnahan.
Kita tidak boleh sentiasa menukar CEO setiap kali kerajaan berubah. Perlu ada proses yang teliti dan ketat dalam proses melantik CEO. Perlantikan CEO tidak sepatutnya melalui lantikan politik. CEO mestilah seorang yang profesional dan memiliki kualiti serta kelayakan yang dikehendaki untuk mengurus GLC.
Sudah banyak berlaku kes penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa. Kebanyakan CEO sering tampil pada sidang akhbar yang mengumumkan pencapaian mereka dan mendakwa mereka membawa berjuta-juta atau berbilion-bilion ringgit ke dalam negara. Saya tertanya-tanya siapa yang mengaudit pencapaian mereka.
Sesebuah GLC perlu diaudit! Gaji CEO hendaklah ditetapkan pada tahap dan tidak mengikut kehendak atau untuk kepuasan CEO berkenaan atau lembaga pengarah yang sentiasa sehaluan dengan CEO.
Cuba lawati mana-mana pejabat CEO itu. Kebanyakannya luas dan mewah, malah ada yang mengambil keseluruhan ruang pada satu tingkat bangunan. Ini adalah pembaziran dan keterlaluan. Malah, kebanyakannya pula dihiasi dengan pelbagai anugerah negeri dan gelaran. Hampir setiap CEO memiliki BMW 5 siri atau rangkaian mewah Mercedes Benz, dengan pelbagai faedah daripada syarikat, setiausaha dan pakej perjalanan kelas pertama. Saya bukanlah hendak merungut tetapi amalan atau pakej seumpama inilah yang membuatkan CEO merasakan diri mereka luar biasa.
Oleh yang demikian, baik sekali sekiranya ada kod perlakuan dan etika bagi mengawal CEO dan memastikan mereka tidak boleh menyeleweng atau menyalahgunakan kuasa. Walaupun sebahagian besar GLC mempunyai jawatankuasa audit dalaman sendiri dan garis panduan mekanisme tadbir urus dalaman yang baik, persoalannya, apakah ada yang mematuhi sepenuhnya?
Mereka harus bertindak dengan jujur dan berintegriti, mengelakkan sebarang konflik kepentingan dalam hubungan peribadi dan profesional dan mendedahkan jika terdapat konflik seumpama itu. Mereka hendaklah memberikan maklumat yang tepat, lengkap, objektif, relevan, tepat pada masanya dan difahami bagi memastikan pendedahan penuh, adil, tepat, tepat pada masanya dan mudah difahami dalam laporan dan dokumen yang difailkan kepada Suruhanjaya Sekuriti atau Bursa Malaysia.
GLC hendaklah:
– Mematuhi semua peraturan dan undang-undang, termasuk di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan.
– Bertindak dengan jujur, penuh tanggungjawab dengan cekap dan berhati-hati tanpa memutarbelitkan fakta atau membenarkan penghakiman bebas.
– Menghormati kerahsiaan maklumat.
– Berkongsi pengetahuan dan mengekalkan kemahiran yang penting dan relevan kepada pihak berkepentingan.
– Menggalakkan secara proaktif dan menjadi contoh perlakuan beretika sebagai rakan kongsi yang bertanggungjawab dalam kalangan rakan-rakan, di tempat kerja dan dalam masyarakat.
– Bertanggungjawab mengawal semua aset dan sumber yang digunakan atau diamanahkan.
– Segera laporkan kepada pihak yang berkaitan mengenai sebarang pelanggaran undang-undang atau etika perniagaan atau sebarang peruntukan kod berkenaan.
– Tidak memaksa atau menggalakkan sebarang ideologi keagamaan atau keutamaan kaum dalam mempromosi nilai-nilai syarikat atau dalam pengambilan pekerja.
– Pastikan sebarang derma politik kepada mana-mana parti politik mestilah mengikut undang-undang yang ditetapkan.
Persepsi masyarakat terhadap rasuah di Malaysia masih tidak berubah sejak tahun 2005 dan kajian Merdeka Center baru-baru ini mengenai dengan sekurang-kurangnya 77% pengundi Malaysia pada tahun ini bersetuju keadaan rasuah di negara ini serius.
Tinjauan sama juga menyaksikan majoriti, atau 56%, daripada rakyat Malaysia berpendapat masih banyak yang perlu dilakukan oleh kerajaan dalam memerangi rasuah walaupun terdapat beberapa kejayaan oleh SPRM. Pendapat itu lebih ketara di kalangan pengundi muda dan mereka yang mempunyai akses internet.
Tinjauan itu mendapati rakyat Malaysia berpecah, di mana 51% merasakan laporan Ketua Audit Negara tidak diambil serius manakala 39% merasakan sebaliknya.
Bagaimanapun, tinjauan itu juga mendapati 67% responden merasakan kemungkinan rakyat juga boleh melakukan perubahan dalam memerangi rasuah. Sentimen ini amat kuat di kalangan masyarakat luar bandar dan berpendapatan rendah. Tinjauan itu juga mendapati 41% daripada responden merasakan pemberian rasuah berlaku kerana ingin mempercepatkan sesuatu urusan, manakala 28% lagi merasakan ia adalah satu-satunya cara untuk mendapatkan perkhidmatan.
Malaysia memperoleh 47 mata daripada 100 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017 yang dilaporkan oleh Transparency International. Laporan CPI adalah berdasarkan pelbagai indeks, dan dalam kes Malaysia, ia melibatkan 13 kajian atau sumber data yang berbeza. Sekiranya ingin memperbaiki skor, sudah tiba masanya untuk kita meneliti keperluan kesemua 13 kajian, termasuk tadbir urus yang baik, kod etika, pengukuran integriti dan sukatan anti-rasuah.
Kalangan CEO dan pegawai kanan adalah penting dalam memerangi rasuah, maka mereka tidak boleh diabaikan.
Selain program Ikrar Integriti Korporat yang diperkenalkan kepada badan-badan korporat di negara ini, SPRM juga perlu melaksanakan langkah dan mekanisme yang lebih ketat, bermula dengan tadbir urus korporat sehinggalah kod etika.
Adalah penting bagi pegawai-pegawai kanan dan CEO setiap organisasi dilatih dan dibimbing menjadi pegawai “anti-rasuah”, selain menjadi pemimpin organisasi dan syarikat yang berjaya.
Saya sangat berharap agar – Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Integriti dan Pencegahan Rasuah – yang baru dibentuk akan mempertimbangkan isu yang dinyatakan itu secara komprehensif dan holistik.
Kerajaan baharu adalah harapan baharu Malaysia. Diharapkan isu kepimpinan semua organisasi di setiap sektor di negara ini akan dapat diselesaikan seawal mungkin dengan memastikan mereka mengamalkan kebertanggungjawaban dan kelestarian sepenuhnya, yang mampu meletakkan kita pada landasan ke arah menjadi sebuah negara baharu di dunia.
(Ravindran Raman Kutty, yang bukan sahaja minat menulis malah aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan pemenang anugerah pengamal komunikasi berkongsi pendapat mengenai cara GLC boleh memerangi rasuah)