Perceraian Ziana Zain tertangguh

Perceraian Ziana Zain tertangguh

Armin Zaharin beritahu Hakim Syarie Mohd Nizam Mohtar beliau bersedia ceraikan Ziana, namun beliau inginkan hak untuk berjumpa dengan anak-anak mereka.

Free Malaysia Today
Ziana beritahu mahkamah beliau dinasihatkan tidak benarkan anak-anak mereka berjumpa Armin Zaharin buat masa ini.
SHAH ALAM:
Hasrat penyanyi terkenal Ziana Zain mengakhiri perkahwinannya dengan Armin Zaharin Ahmad Zambri terbantut selepas suaminya itu membangkitkan isu mengenai hak penjagaan ke atas anak-anak mereka.

Ketika kes mereka disebut di Mahkamah Rendah Syariah hari ini, Armin Zaharin memberitahu Hakim Syarie Mohd Nizam Mohtar beliau bersedia menceraikan Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, namun beliau inginkan hak untuk berjumpa dengan anak-anak mereka.

“Saya boleh lepaskan (Ziana) tetapi saya nak (mahu) dapatkan persetujuan bersama ke atas hak berjumpa anak-anak. Saya nak (mahu) dibenarkan jumpa anak-anak,” katanya.

Ziana bagaimanapun memberitahu mahkamah beliau dinasihatkan oleh peguam dan pihak polis supaya tidak membenarkan anak-anak mereka berjumpa Armin Zaharin buat masa ini kerana dibimbangi mengganggu kes jenayah yang dihadapi lelaki itu.

Armin Zaharin sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan pindaan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelaki mereka berusia 9 tahun menggunakan sebatang rotan, di rumah mereka di Denai Alam pada Februari lepas.

“Anak-anak saya adalah saksi dalam kes itu dan saya dinasihatkan kalau boleh mereka tidak dibawa berjumpa bapa mereka kerana takut akan dipengaruhi bapa mereka. Saya tiada halangan untuk mereka berjumpa selepas kes (jenayah) selesai, saya hanya ikut arahan polis,” kata Ziana.

Mohd Nizam kemudian merekodkan Armin Zaharin tidak bersetuju dengan perceraian itu dan mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 47 (5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 supaya kes tersebut dirujuk ke jawatankuasa pendamai.

Beliau menetapkan 28 Jun depan untuk sebutan semula kes itu.

“Sebarang pertikaian atau tuntutan berhubung hak penjagaan anak perlu dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah sebab saya tiada kuasa untuk mendengar atau memutuskan perkara ini,” kata Mohd Nizam.

Ziana, 50, yang popular dengan lagu Madah Berhelah, mendirikan rumah tangga dengan Armin Zaharin, 53, pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan 4 cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Armin Zaharin adalah bekas pramugara tetapi kini tidak bekerja.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah Ziana berkata beliau kini berasa tenang selepas memfailkan perceraian terhadap Armin Zaharin yang dikahwininya selama 20 tahun.

“Saya berasa tenang kerana kita tahu dia bagaimana orangnya. Sepanjang usia perkahwinan kami, saya rasakan kehidupan saya bagai dalam neraka… setiap kali selesai bekerja, saya seolah-olah trauma untuk pulang ke rumah sehingga bila saya lihat pagar rumah saya meraung.

“Anak-anak juga ‘stress’ dengan perilaku Armin sehingga seorang daripada anak saya terpaksa dirujuk ke psikiatri selepas menghidap sindrom kemurungan sejak umur 14 tahun. Saya pun tidak percaya bagaimana saya boleh bersabar sepanjang perkahwinan kami dan tindakan perceraian ini adalah kemuncak kesabaran saya,” katanya sebak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.