Gantung diri terbalik rahsia awet muda datuk ini

Gantung diri terbalik rahsia awet muda datuk ini

Hai akui hanya mengambil makanan dalam hidangan kecil selain mengamal pemakanan suplemen termasuk vitamin dan pil kolagen.

Free Malaysia Today
Hai lahir pada 1950 tetapi terkenal kerana bersikap dan beraksi seperti 20an. (Gambar Oddity Central)

Seorang warga emas dari Shanghai, China mengejutkan orang ramai dengan penampilannya yang kelihatan seperti lelaki muda.

Hu Hai yang digelar ”Datuk Paling Moden” di Shanghai, popular sejak 2 tahun lepas ekoran muncul dalam rancangan televisyen memapar bakat warga emas ketika itu.

Kelihatan bersahaja seperti orang muda dan berperasaan seperti remaja, datuk berusia 68 tahun itu muncul dalam televisyen, majalah, akhbar dan pelbagai rancangan untuk warga emas mahupun orang muda sejak itu.

Menurut Hai, rahsia di sebalik awet mudanya ialah mengamalkan yoga, meditasi dan gantung dirinya secara terbalik selama 30 minit sehari.

Katanya, amalan tersebut mengurangkan kedutan, menjaga kulitnya daripada menjadi kendur dan menghalang keguguran rambut.

Bukan itu sahaja, Hai juga aktif dalam aktiviti fizikal ketika di sekolah walaupun bukan seorang ahli sukan professional.

“Saya dibesarkan oleh ibu selepas bapa meninggal dunia. Saya bersama 6 adik-beradik lain membesar bersama dan kami sangat aktif,” katanya yang akui masih bersemangat melakukan senaman fizikal untuk sentiasa nampak muda dari segi luaran dan dalaman.

Mengenai pemakanan, Hai akui hanya mengambil makanan dalam hidangan kecil selain mengamal pemakanan suplemen termasuk vitamin dan pil kolagen.

Tetapi apa yang menawan orang ramai mengenai Hai bukan sekadar imejnya sahaja tetapi sikapnya juga.

“Saya menganggap diri saya baru 20 tahun dan akan terus berasa sama sehingga menarik nafas terakhir,” katanya lapor Oddity Central.

“Umur hanyalah nombor dan selagi saya berasa muda, angka usia tidak akan menjejaskan diri saya,” jelasnya lagi.

Hai akui perasaan tua itu tidak sepatutnya datang kepada sesiapa dan jika anda berasa demikian, tanpa mengira umur sebenar anda sememangnya tua.

Hai membahagikan usia seseorang kepada 3 iaitu usia mental, usia fisiologi dan usia fizikal.

Dakwa Hai lagi, doktor yang mengujinya memberitahu dia mempunyai badan dan fungsi tubuh seorang manusia berumur 40 tahun manakala usia mental jauh lebih rendah.

“Saya yakin umur mental saya akan sentiasa 20 tahun. Kerana itu yang saya rasakan. Saya selesa melakukan apa yang dibuat oleh orang berusia 20 tahun. Saya sentiasa bersemangat dan mempunyai rasa ingin tahu,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.