
Kerana tidak mahu beg tangan dicuri ketika proses pengimbasan mesin X-ray di terminal kereta api, seorang wanita memutuskan untuk terjun masuk sekali ke dalam mesin tersebut.Perkara itu hanya disedari anggota keselamatan dan pihak berkuasa selepas mereka terlihat imej manusia dalam mesin pengimbas X-ray, petik Daily Star.
Dalam insiden 11 Februari lalu itu di stesen kereta api Dongguan di wilayah Guangdong di selatan China mesin pengimbas itu menunjukkan imej penumpang wanita berkasut tumit tinggi, merangkak di trek barang untuk diimbas pemeriksaan.
Kejadian dirakam dalam Video Pear itu juga menunjukkan wanita berkenaan memanjat keluar dari mesin X-ray dan sekali lagi memeriksa beg tangannya dan beg lain kepunyaannya sebelum keluar dari tempat pemeriksaan.
“Dia dipercayai menyimpan sejumlah wang tunai dalam beg tangan menyebabkan rasa tidak selesa meninggalkan beg tangan, sehingga bertindak terjun masuk dalam mesin pengimbas.
“Namun, orang ramai dinasihatkan tidak berbuat perkara sama kerana kesan radioaktif mesin X-ray boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan,” pesan jurucakap dari stesen keretapi tersebut.