
Pasangan dari UAE tertinggal anak perempuan mereka berusia 3 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB) dan hanya mendapat tahu selepas dihubungi pihak polis.Ibu bapa itu dikatakan terlupa mengenai anak perempuan mereka dan tidak menyedari kehilangannya sehinggalah dihubungi polis untuk menjemputnya.
Pengarah Jabatan Keselamatan Lapangan Terbang Balai Polis Dubai, Brigadier Ali Atiq Lahej berkata pihaknya menemui kanak-kanak kecil itu di Terminal 2 lapangan terbang tersebut.
“Kami memeriksa kamera litar keselamatan dan mengesan langkahnya serta mengenal pasti keluarganya.
“Kami mendapatkan butiran ibu bapa dan menghubungi mereka untuk menjemput anak kecil itu.
“Ayahnya ternyata terkejut apabila kami memberitahu dia tertinggal anak perempuannya di lapangan terbang. Dia berganggapan anaknya berada di kereta satu lagi,” kata Ali kepada Gulf News.
Keluarga kanak-kanak itu segera kembali ke lapangan terbang untuk mendapatkan anak mereka.
Menurut laporan portal itu, kejadian kanak-kanak tertinggal di lapangan terbang bukanlah pertama kali berlaku.
Ali berkata, tahun lepas sebuah keluarga Iraq melupakan anak perempuan mereka semasa meninggalkan Dubai. Kanak-kanak itu juga berjaya ditemukan dengan ibu bapanya selepas pegawai lapangan terbang berjaya menghubungi mereka sebelum pesawat berlepas.
Ekoran insiden terbaru itu, pegawai polis juga akui berdepan beberapa kejadian serupa di mana kanak-kanak tertinggal kerana ibu bapa terlalu sibuk untuk menaiki pesawat mereka sehingga terlupa tentang anak mereka.
Pihak berkuasa lapangan terbang menggesa ibu bapa sentiasa awasi kanak-kanak kecil apabila melalui lapangan terbang.