Aznil tegaskan soal jawab politik haknya sebagai rakyat

Aznil tegaskan soal jawab politik haknya sebagai rakyat

Aznil Nawawi mengakui dia hanya bercakap di pihak rakyat dan tidak sewajarnya dilabelkan dengan mana-mana parti politik.

aznil
fmt-ohsem-inside-article1Sebaik sahaja artis atau selebriti hiburan terkenal memberi kenyataan mengenai politik, maka pelbagai pihak akan mula melabelkan diri mereka berkaitan parti tertentu.

Perkara ini semakin “rancak” di Malaysia, namun ia tidak menghalang sesetengah penghibur untuk melunaskan tanggungjawab mereka sama ada secara profesional menerusi saluran betul atau secara bersahaja menggunakan media sosial.

Terbaru, pada pertemuan eksklusif dengan pengacara dan pelakon terkenal, Datuk Aznil Nawawi bersama FMT Ohsem beliau mendedahkan keterbukaanya untuk bercakap mengenai politik, tetapi selaku rakyat marhaen dan tidak lebih daripada itu.

“Saya sudah tua, sudah 4 kali mengundi, maknanya 20 tahun, mungkin lebih. Saya melalui dan menyaksikan perjalanan politik dari zaman ’13 Mei’, waktu itu saya baru berusia 7 tahun, zaman kegawatan, Umno berpecah 2, Datuk Anwar Ibrahim ditangkap… semuanya saya lalui.

“Dan apabila saya bertanyakan soalan kepada pemimpin, saya bertanya bagi pihak rakyat,” kata Aznil atau lebih mesra digelar Pak Nil.

“Saya pemerhati rakyat. Daripada zaman kegawatan mata wang, semua saya ada di negara ini. Saya tak pernah duduk di luar negara, belajar pun di Universiti Malaya sahaja. Jadi saya bertanya secara jujur, sama macam rakyat,” kata pelakon yang terkenal dengan watak Profesor Klon dalam filem Cicakman 2.

Ia merujuk kepada soalan Aznil kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada program “Bicara 4 Mata” yang disiarkan di portal theRakyat, portal rasmi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

Ekoran persoalannya, rata-rata membabitkan kos sara hidup rakyat, rumah mampu milik yang masih tidak mampu dimiliki rakyat, tambatan wang ringgit, harga minyak, TN50 sebagai mengganti Wawasan 2020 dan sebagainya, Aznil dilabel berpaksi kepada parti politik tertentu oleh netizen mahupun ahli politik.

Menepis dakwaan itu, Aznil akui tiada sesiapa pun layak melabel beliau kerana segala persoalan dan jawapan yang diterima adalah secara jujur selaku rakyat yang tidak mewakili mana-mana parti politik.

“Saya jujur sebagai rakyat. Kalau saya terkesan dengan kesedihan rakyat, kesedihanlah saya keluarkan. Kalau bangga dengan kejayaan kerajaan, banggalah intonasi yang saya keluarkan apabila saya tanya soalan,” katanya.

Pak Nil juga akui peluang diberikan untuk bertanya soalan kepada pemimpin politik, sebagai kemuncak kerjaya beliau selaku “orang hiburan”.

Pak Nil memulakan kerjaya sebagai wartawan siaran di sebuah stesen televisyem tidak berbayar namun berubah haluan menjadi pengacara dalam rancangan berunsur permainan, Pop Kuiz dan rancangan berunsur hiburan seperti Melodi, Tom Tom Bak, juruhebah radio, serta berlakon dalam filem.

Kredit gambar: Instagram AznilNawawi

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.