Jangan elak sarapan kalau nak kekal langsing

Jangan elak sarapan kalau nak kekal langsing

Pagi tanpa sarapan menyebabkan tahap metabolisme rendah, kadar gula dalam darah menurun, hormon stress meningkat dan dengupan jantung lebih pantas.

sarapan01
fmt-ohsem-inside-article1Tanggapan sarapan pagi dan makan malam boleh menambahkan berat badan seseorang hanyalah mitos semata-mata.

Sebenarnya, fahaman itu tidak berasas malah ikutkan syarat, kita kena makan 3 kali sehari, selagi makanan tersebut daripada pilihan diet yang sihat.

Menurut laporan jurnal kesihatan, Journal of the American College of Nutrition, sarapan pagi mampu mengawal berat badan malah mereka yang bersarapan memiliki berat badan yang lebih langsing dibandingkan mereka yang tidak suka bersarapan.

Ini kerana sarapan yang sihat mengurangkan rasa lapar dan membantu memilih menu makanan lain yang sihat pada hari berkenaan.

Saintifiknya, tanpa sarapan, tahap metabolisme anda rendah, kadar gula dalam darah menurun, hormon stress meningkat dan dengupan jantung lebih pantas.

Manakala dari segi logiknya, apabila tidak bersarapan, kita cenderung makan banyak sewaktu tengah hari malah sepanjag masa kerana kelaparan yang dibawa sejak pagi.

Tambahan pula, sarapan pagi juga membekalkan tenaga, meningkatkan konsentrasi dan menjaga ketahanan tubuh di samping amat berguna dalam menurunkan kadar kolesterol.

Jadi apa lagi alasan anda untuk tidak bersarapan?

Namun, ingatkan diri untuk mengelak daripada memilih sarapan yang tidak sihat.

Makanlah sarapan yang mengandungi protein seperti roti dan telur atau makanan berasaskan bijiran yang membantu dalam penurunan berat badan.

Sarapan yang kaya protein dan serat serta tinggi indeks glisemik juga akan membuatkan kita rasa kenyang lebih lama dan nafsu makan terjaga.

Tidak dilupakan juga buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya vitamin dan mineral.

Berbalik kepada makan malam, kalau ia juga dinafikan mampu menambahkan berat badan apa bukti dan sokongan faktanya?

Ikutkan, anda boleh sahaja mengambil makan malam tetapi dalam kuantiti yang kecil, kurangkan amaun pengambilan, itu sahaja.

Ingat, satu lagi peraturan makan malam yang perlu diingatkan ialah tiada “supper” atau makan lewat malam. Ia ternyata menjadi penyumbang besar kepada saiz badan anda.

FMT Ohsem juga berkongsi beberapa tip dan panduan memilih sarapan pagi yang sihat. Apa kata kita mulakan tahun 2018 dengan pilihan sarapan sihat ini!

Amaran, panduan di bawah tidak mengambil kira faktor berkaitan allergen seperti allergi gluten, soya, laktosa dan sebagainya.

  1. Nasi lemak – Ya, anda tak perlu rasa bersalah makan nasi lemak setiap pagi, cuma kurangkan jumlah nasi kerana kandungan lemaknya. Majalah Time mengiktiraf nasi lemak sebagai hidangan seimbang kerana kandungan galian mangan, protein dan karbohidrat. Malah kegunaan cili dalam sambal juga dikatakan membantu meningkatkan kadar metabolisme.
  2. Bijiran oat – Bubur oat yang dimasak dengan susu, ditabur gula merah, kismis, dan bijirin atau biji benih boleh dimakan dan digalakkan sebagai sarapan pagi yang sihat.
  3. Upma – Ialah sarapan pagi yang lazim dijual di restoran India. Bancuhan pekat daripada gandum semonila kering yang digoreng tanpa, kemudian digoreng dengan jintan, cili hijau, ketumbar dan kunyit. Boleh direnjiskan dengan air gula untuk sedikit perasa. Makanan ini juga disenarai sebagai sarapan sihat oleh majalah Times.
  4. Sandwich – Makanan berasaskan roti ini boleh dipelbagai mengikut citarasa. Sama ada berintikan telur, tuna, sardin, ayam atau sayur-sayuran, sekeping sandwic memberi tenaga mencukupi di pagi hari. Tambahan pula, kalorinya juga rendah.
  5. Pisang – Buah pisang adalah sarapan yang paling ideal kerana ia sumber kanji, karbohidrat yang terbaik membuat anda berasa sempurna tatkala memulakan hari. Sama ada makan pisang itu atau ditambahkan dalam makanan seperti bijirin oat, elektrolit dalam pisang membantu menurunkan tekanan darah secara semula jadi.
  6. Telur – Telur setengah masak membekalkan anda dengan protein dan tenaga yang mencukupi. Apatah lagi jika anda menggunakan lebih banyak kudrat dan banyak bergerak dalam aktiviti seharian.
  7. Kopi – Kopi dikaitkan dengan risiko rendah bagi beberapa penyakit seperti kencing manis dan kanser prostat dan ia juga boleh membantu anda hidup lebih lama. Penyelidik mengesyaki gabungan kafein dan antioksidan untuk memberi banyak manfaat pada kesihatan. Satu kajian 2005 mendapati kopi adalah sumber nombor satu antioksidan dalam diet AS.
  8. Teh – Kalau tak suka kopi, minuman teh juga satu lagi pilihan minum pagi yang ada khasiatnya. Selain kurang kandungan kafein, teh mampu menghidrat secara lebih berkesan berbanding kopi. Teh juga kaya dengan imuniti – meningkatkan antioksidan dikenali sebagai catechin. Semua teh (hitam, hijau, atau putih) menyediakan antioksidan, tetapi teh hijau pastinya pilihan yang lebih sihat.
  9. Kekacang – Walaupun berbunyi simple, tetapi percayalah ia boleh dijadikan sumber makanan pagi yang sihat. Kekacang mengandungi vitamin D dan kalsium yang tinggi justeru menguatkan tulang dan gigi. Kandungan kalori yang terdapat pada kekacang ini sangat rendah dan sangat baik diambil oleh anda yang sedang berdiet.
  10. Dadih – Dadih adalah makanan olahan daripada susu. Proses fermentasi susu menyebabkan dadih memiliki protein 2 kali lebih daripada bahan asal dan lemak pula mengalami penurunan. Dadih memberikan manfaat bagi kesihatan pencernaan dan sumber makanan ulung untuk bakteria baik yang hidup di usus kita.
  11. Salad – Ia merupakan jenis makanan yang kaya dengan serat dan oleh kerana ia tidak melalui proses memasak, ia mengekalkan segala kandungan vitamin pada bahan-bahannya. Boleh disediakan dengan kombinasi sayur dan buah.
  12. Epal hijau – Kalau anda sedang mengamalkan diet ketat, ambil epal hijau sebagai sebahagian daripada sarapan pagi. Epal memiliki pektin yang mampu memperlambatkan proses pencernaan dalam tubuh sehingga anda merasa kenyang lebih lama. Selain itu epal juga kaya antioksidan yang membantu terhadap radikal bebas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.