

Lapan puluh orang wanita, seorang demi seorang, mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual produser terkenal yang memenangi 81 anugerah Oscar, iaitu Harvey Weinstein.
Keadaan semakin rumit apabila beberapa bintang filem terkemuka seperti Gwyneth Paltrow, Angelina Jolie dan Rose McGowan turut tampil membuat pendedahan masing-masing.
Pastinya, kebenaran mengenai dakwaan-dakwaan itu hanya akan diketahui setelah selesai segala proses perundangan. Namun hakikatnya, kesemua dakwaan berkenaan sekali lagi mengalihkan perhatian masyarakat dunia terhadap kehidupan yang terpaksa diharungi oleh golongan wanita yang menjadi mangsa penindasan.
Seorang daripada 5 wanita AS mangsa seks
Mungkin ramai yang beranggapan kejadian seumpama hanyalah sesuatu yang lazim berikutan kemerosotan moral masyarakat Hollywood, yang ada kalanya menonjol dengan pelbagai skandal namun masalah itu tidak hanya terhad di Hollywood, malah di seluruh Amerika Syarikat.
Mengikut statistik, seorang dalam setiap 5 wanita di Amerika pernah menjadi mangsa serangan seksual sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka, statistik sama juga mendedahkan terdapat wanita yang dijual dan menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dan dikerah dalam industri seks.
Malah, statistik itu juga menyatakan 380,000 wanita menjadi mangsa serangan seksual setiap tahun, bererti purata seorang wanita setiap 98 saat. Namun, jika mengambil kira kalangan wanita yang tidak tampil membuat pendedahan atas sebab-sebab tertentu, jumlahnya dianggarkan mencapai satu juta.
Data berkenaan juga menunjukkan 13% daripada wanita terbabit cuba membunuh diri selepas menjadi mangsa serangan. Ringkasnya, meskipun Amerika yang terkenal dengan sistem demokrasinya, golongan wanita terpaksa hidup di bawah tekanan kaum lelaki dalam setiap aspek kehidupan.
Model sosial anti-wanita tidak sahaja eksklusif di Amerika, di dunia Barat. Jadi, bukanlah rahsia lagi kalangan wanita di Eropah Timur dieksploitasi sebagai hamba seks oleh sindiket pemerdagangan manusia.
Satu kajian ke atas 42,000 wanita di seluruh Eropah menunjukkan setiap 3 wanita dinodai sekurang-kurangnya sekali setelah mencapai usia 15 tahun, kadar serangan seksual di kalangan wanita di bawah umur 15 tahun adalah kira-kira 10%.
Ini menunjukkan, wanita dalam masyarakat Barat moden pun terpaksa menghadapi masalah sama dengan wanita lain di seluruh dunia.
Semestinya, keadaan di Timur adalah lebih buruk. Malangnya, ketaksuban dan budaya berpuak-puak menguasai masyarakat Islam, yang sepatutnya menunjukkan contoh baik kepada dunia.
Lelaki terus mendominasi wanita
Dalam sesetengah masyarakat, golongan wanita Islam dipaksa berkahwin pada usia muda, dan akhirnya terperangkap di rumah sendiri. Mereka diseksa dan dipukul, malah ada yang dibunuh oleh bapa, suami mahupun adik-beradik lelaki sendiri.
Dalam dunia hari ini, kebanyakan wanita hidup di bawah pelbagai tekanan. Dalam hampir setiap masyarakat – sama ada Islam, Kristian, Buddha, ateis, liberal, konservatif, kapitalis atau Komunis – golongan lelaki mendominasi wanita di segenap lapisan hidup.
Berbilion wanita terpaksa berhadapan pelbagai kerenah suami, bapa, adik-beradik lelaki, ketua, teman lelaki malah golongan lelaki dalam masyarakat.
Kehidupan mereka didominasi sepenuhnya sehinggakan apa yang perlu mereka makan dan pakai ditetapkan; malah adakalanya mereka diaibkan dan dituduh sebagai punca kepada segala masalah. Berbilion wanita hidup di bawah tekanan sosial yang mencengkam.
Sifat wanita yang halus, hakikat mereka baik hati dan penyabar, serta sifat lemah lembut menjadi faktor yang memberi kesan kepada ego sesetengah lelaki jahil; sehinggakan mereka cuba menguasai kehidupan wanita.
Masa untuk menamatkan segala layanan buruk terhadap kaum wanita sepatutnya sudah tiba. Lelaki tidak berhak melakukan sewenang-wenangnya terhadap wanita.
Undang-undang kena lindungi wanita
Tidak ada sesiapa pun patut menentukan kehidupan wanita. Satu-satunya kuasa yang wanita patut akur hanyalah hati nurani sendiri: Lelaki tidak berhak untuk mengutuk, memaksa, menghakimi atau menghukum wanita.
Lebih daripada itu, undang-undang perlu melindungi keselesaan wanita. Tekanan sosial hendaklah memberi tumpuan kepada usaha melindungi wanita dan menjamin keselesaan dan kehidupan mereka. Era untuk berkuasa dengan menggunakan tekanan fizikal kepada wanita perlu dihentikan.
Wanita perlu menikmati kebebasan dan keselesaan hidup sepenuhnya. Tanggungjawab utama kaum lelaki adalah untuk melindungi maruah dan kebebasan wanita. Ini pada asasnya adalah kewajipan yang diamanahkan kepada kita dalam al-Quran. Justeru, masyarakat yang sewajarnya menjadi contoh dalam hal ini adalah kalangan Islam.
Kaum wanita adalah khazanah Abad ke-21. Mereka sepatutnya bebas berpakaian, bercakap dan bergerak mengikut kemahuan sendiri. Hak kebebasan wanita hendaklah dihormati kaum lelaki. Adalah mustahil bagi masyarakat membangun dengan baik dan hidup dengan aman sekiranya kaum wanita tidak selesa atau terus dianggap sebagai warga kelas kedua.
Ini adalah masalah paling penting yang perlu ditangani oleh mereka yang ingin membina ketamadunan yang cantik untuk masa hadapan manusia sejagat. Apabila wanita dapat menikmati kebebasan dan keselesaan, masyarakat akan menghampiri masa hadapan yang cerah.
Dunia yang didiami wajah-wajah 3.5 bilion wanita ceria dengan kegembiraan setiap hari patut menjadi matlamat bagi menjamin masa hadapan lebih cerah.