Kawal perangai anak di rumah atau dibawanya sampai ke Jepun

Kawal perangai anak di rumah atau dibawanya sampai ke Jepun

Seorang anak dibiarkan memicit-micit dan menekan pastri dan roti menggunakan jarinya.

scolded
fmt-ohsem-inside-article1Akhir-akhir ini saya sering melihat perbuatan kanak-kanak sekecil 3, 4 atau 5 tahun agak menyakitkan hati.

Ketika melawat rakan yang tinggal di sebuah flat di Bukit Jalil, seorang kanak-kanak dalam lingkungan usia 5 tahun meludah dalam lif unit pangsa yang dinaiki, di hadapan saya.

Ibu kanak-kanak yang turut sama dalam lif itu berdiam diri, seolah tidak sedari kelakuan anaknya.

Pernah juga melihat kanak-kanak yang berkelakuan menendang atau menarik beg tangan dan sebagainya. Ibu bapa mereka sekadar memesan, “Janganlah…… dah, jangan,” dalam suara manja.

Inikah cara menegur anak yang berkelakuan kurang ajar pada orang lebih tua?

Kalau ibu saya dulu, walau sekadar tidak membalas khabar atau bercakap tanpa memandang mata orang tua pun dikira sudah cukup syarat bagi melayangkan tangan atas pipi.

Inikan meludah, menendang, menconteng lif, kencing dekat kemudahan mainan di padang permainan, merosakkan harta benda awam dan sebagainya.

Tidak ketinggalan bagi kanak-kanak yang baru berusia 3 atau 4 tahun yang sudah mula menggunakan gelaran rasis atau bersifat perkauman di hadapan ibu bapa.

“Eee… keling,” kata seorang kanak-kanak yang ketika itu bersama bapanya. Saya pula yang berasa malu dengan kejahilan keluarga itu sedangkan bapanya pula hanya tersenyum.

Sabtu lalu saya terpaksa tunjuk muka terhadap seorang ibu yang tak mengerti menjaga anaknya.

Sementara si ibu sibuk memilih kek, si anaknya pula dibiarkan melayan diri sendiri. Kanak-kanak itu memicit-micit dan menekan pastri dan roti yang dipamerkan di atas rak menggunakan jarinya.

Sekarang, siapa yang nak beli roti yang jelas kelihatan dipicit itu? Siapa yang sanggup makan pastri yang dirosakkan itu?

Kalau ya pun ada orang membeli dan memakannya, adakah makanan itu dijamin bersih? Kanak-kanak kecil itu menggunakan jari yang sama mengorek hidungnya sebelum itu.

Sama juga apabila kanak-kanak itu dibawa ke rumah sanak saudara dan dibiarkan berkeliaran dan membuat sesuatu sesuka hati.

Daripada ikan dalam akuarium, pasu pokok bunga, buku-buku yang diatur di atas rak, buah-buahan atas meja makan, telefon bimbit semuanya kena kacau.

Itu pun depan mata ibu bapa.

Masalahnya jika kita tidak menjaga dan menasihat mereka sekarang, kanak-kanak inilah yang bila besar tak tahu jaga sensitiviti dan adab sehingga menganggu-gugat maruah diri, keluarga dan negara.

Terdetik untuk merujuk kepada kes 3 pemuda yang bertindak “membuang hajat” di dalam bilik mandi sebuah homestay di Osaka, Jepun.

Sampai ke Jepun dia bawa perangai buruknya itu!

Bila kanak-kanak ini tidak dikawal sikap dan perbuatan sewaktu kecil, inilah jadinya bila besar.

Tak payah pergi jauh-jauh, sedangkan di atas jalan pun tak boleh bertoleransi dan bergaduh bagai nak rak.

Kata-kata kesat melayang, segala aksi tangan lucah ditayang tanpa menghirau orang sekeliling.

Tak ketinggalan, remaja yang dengan mudah mengucapkan perkataan bersikap rasis dan tidak sopan.

Lihatlah “semangat kesukanan” yang dipamerkan anak muda di stadium Bukit Jalil minggu lalu.

Kononnya menyanyi tetapi memasukkan perkataan yang boleh menyinggung perasaan negara jiran ketika perlawanan bola sepak Sukan SEA.

Pasti mereka sudah terbiasa dengan sikap itu dari rumah, orang tua pun tak menegur maka dengan mudah perangai itu dibawa keluar sampai ke stadium atau luar negara.

Perkara yang sama juga menjadi asas kepada pelbagai perbuatan lain seperti buli, vandalisme dan lain-lain.

Mohon ibu bapa lebih peka terhadap perbuatan anak dan belajar memperbetulkannya pada usia muda.

Jangan bila dah besar tua, baru terhegeh-hegeh nak beri nasihat minta bertaubat di sel penjara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.