

Terletak lebih 40 batu nautika dari utara Labuan, pertama kali ditemui kira-kira 5 tahun lepas oleh seorang jurutera yang bertukar kerjaya sebagai operator bot, Ahmad Nasir Othman, 60, yang sering membawa pemancing ke situ.
Bagaimanapun, Clement Lee dan rakan-rakan penyelamnya adalah kumpulan yang meneroka terumbu semula jadi itu pada April 2017.
Lee, 65, dari Labuan, adalah Duta Pelancongan Tourism Malaysia untuk segmen menyelam (2017-2019) juga penyelam terkenal antarabangsa percaya tapak selaman itu berpotensi setanding dengan tapak selaman skuba popular lain di dunia.
“Tapak selaman baharu ini mempunyai keunikannya tersendiri dan pasti hebat untuk diterokai,” jelas beliau sambil menceritakan perbezaanya tapak ini adalah dari segi spesies marin dan lanskapnya berbanding tapak selaman lain yang sudah terkenal seperti Kepulauan Sipadan dan Mabul.
Nama Vernon Bank disebut dalam British Admiralty Charts and Publication dan ia menjadi rumah kepada beberapa spesies marin yang jarang ditemui seperti ketam porselin, serta ikan Bubble Goby dan nudibranch (sejenis siput laut tanpa cengkerang) yang berwarna-warni.
Vernon Bank, bak cincin yang melingkungi lagun
Ketika cuaca baik, perjalanan dengan menaiki bot berenjin kembar 115HP, dari jeti marin Labuan ke Vernon Banks mengambil masa kira-kira 1 setengah jam.
“Saya tidak menjumpai Vernon Bank ini tetapi kami mandapat tahu mengenainya tidak lama dulu. Pasukan menyelam kami merancang ke lokasi sejak tahun lepas dan terpaksa menangguhkan hasrat kami beberapa kali berikutan jadual yang ketat dan faktor cuaca,” katanya.
Lee dan penyelam lain termasuk pengurus besar pusat menyelam skuba, Co.Co. Dive yang berpangkalan di Miri, Ross Kelly, serta pengurus pusat menyelam itu di Labuan, Roy Jak Ngau akhirnya dapat menyelam di Vernon Bank pada 26 April dan sekali lagi pada 1 Mei.
Lee menggambarkan suasana landskap di bawah permukaan air Vernon Bank seakan-akan sebuah atol (terumbu karang berbentuk seperti cincin yang melingkungi sesuatu lagun) besar yang terbahagi kepada beberapa tingkat berbeza di mana terdapat sebuah kawah 5 meter di tengah-tengahnya.
Lee dan rakan-rakannya mengambil masa lebih 20 minit untuk bergerak dari satu tebing ke tebing lain. Kedalaman pinggiran karang di bahagian timur adalah antara 10m dan 25m manakala di barat pula antara 15m dan 50m. Tahap sesuatu kedalaman diukur dengan menggunakan pemerum gema (echo sounder) yang terdapat di dalam bot nelayan yang membawa para penyelam ke lokasi berkenaan.
Kumpulan itu melakukan 6 terjunan dalam tempoh 2 hari dan hanya berjaya meneroka sebahagian kecil tapak Vernon Bank. Dalam kawasan terumbu besar seumpama itu, seperti yang diduga, mereka berpeluang melihat ikan laut pelagik termasuk ikan pari manta di permukaan air dan satu lagi di dasar laut.
Barangkali, kata Lee, penghuni laut itu belum pernah melihat penyelam di situ, jadi mereka malu dan terus berenang pergi. Lee juga tidak berpeluang merakam gambar haiwan laut danmemandangkan Vernon Bank terbentuk seperti atol, beliau percaya ia akan menjadi stesen pembersihan untuk ikan pari manta dan penyu.
“Kami terlihat tuna dan ikan pelagik lain berenang-renang di situ. Saya pasti jerung juga boleh dilihat di sekitar sana terutamanya di bahagian hujung yang kedalamannya sehingga 70m.
“Saya juga percaya terdapat dinding karang di situ dan dengan adanya arus atas membawa nutrient ke kawasan air yang lebih cetek, ikan pelagik lebih besar seperti jerung tukul dan lain-lain akan turut berada di situ,” kata Lee.
Kejutan untuk penyelam
Bagi haiwan yang lebih kecil, terdapat hidupan seperti nudibranch, ketam porselin, Coral Goby, ikan batu dan ikan Scorpion selain karang kipas laut serta kuda laut pigmi.
Sesuatu yang menarik di kawasan lebih cetek (8-10 m) adalah buih kelihatan keluar berterusan dari dasar laut.
Penemuan itu adalah sesuatu yang mengejutkan dan ia diyakini menjadi tarikan sebenar kepada penyelam. Tidak dapat memikirkan apa sebenarnya dan kenapa ia berlaku, Lee memberitahu bahawa beberapa rakannya yang merupakan ahli geologi akan menyelidik penemuan itu.
Selepas 6 terjunan di Vernon Bank, Lee yakin lokasi itu berpotensi untuk dibangunkan sebagai tapak selaman popular.
“Saya berpendapat Vernon Bank boleh menjadi sebuah ‘mini Layang-Layang 2’, dengan adanya atol air yang lebih besar (13km panjang dan 3 km diameter),” kata beliau.
Pulau Layang-Layang terletak kira-kira 300km di barat laut Kota Kinabalu di Sabah, bagaikan sebutir permata kecil di dalam laut biru yang lebih dikenali sebagai ‘The Jewel of the Borneo Banks’.
Penyelam skuba antarabangsa terpesona dengan Vernon Bank
Seorang jurugambar bawah air dan penyelam skuba antarabangsa Rudy Whitworth amat terpesona dengan tapak selaman Vernon Bank.
Rudy yang berpangkalan di Michigan, Amerika Syarikat berkata, “Saya tidak pernah melihat Bubble Goby yang sememangnya jarang ditemui sejak 39 tahun menyelam di mana-mana tempat menyelam di dunia ini, namun ditemui hanya di Vernon Bank ini, ikan ini sememangnya berwarna-warni dan cantik.
Sebagai pengasas Seahorse Production, LLC, yang menguruskan persembahan fotografi bawah air dan tapak selaman kepada pemain industri pelancongan, Rudy mempunyai pengalaman menyelam yang luas dan pernah melihat pelbagai jenis hidupan laut sepanjang kerjayanya.
Antara lokasi menyelam di seluruh negara ini yang telah diterokainya ialah di Pulau Tioman, Miri, Kuching, Pulau Layang-layang dan bangkai kapal di Labuan.
“Saya akan membantu mempromosi tapak selaman baharu ini kepada rakan-rakan saya,” kata Rudy.