
Siaran langsung rancangan pemasaran dalam televisyen, Go Shop tergendala sebentar selepas produk yang dipasarkan, sebuah kuali memasak tiba-tiba meletup.Ketika kejadian, chef yang berdiri di antara 2 pengacara dilihat mengagihkan kuali yang diisi makanan ke atas dapur panas. Selang beberapa saat, penutup kaca kuali itu tiba-tiba meletup.
Kelakarnya ialah tindakan pengacara rancangan yang secara spontan cuba mengawal keadaan tanpa menyalahkan produk itu sebaliknya seolah-olah merapu sebelum kamera dialihkan daripada merakam kejadian di dapur itu.
“Wo dahsyatnya kita punya produk kali ini, yang mana anda boleh lihat sendiri kan…” ulas pengacara itu.
Rakaman itu tular sehingga produk kuali Go Shop dikecam sebagai tidak selamat dan tidak berkualiti.
Bagaimanapun, pihak Go Shop dalam satu status yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya memberi respon, kejadian itu bukan berlaku kerana produk kuali yang tidak berkualiti.
“Berikutan siasatan, Go Shop ingin mengumumkan insiden yang berlaku ketika tayangan LIVE kami mempromosikan alat memasak Cuoco Volcanic Rock pada 27 Mei 2017 di Saluran 118, merupakan kejadian kecil.
Kami ingin memberi jaminan kepada semua pelanggan setia kami bahawa produk tersebut berkualiti tinggi dan selamat untuk digunakan.
“Bagi memastikan keselamatan pelanggan serta penggunaan produk yang betul, kami sedang bekerjasama dengan pengedar produk untuk menyediakan penutup kaca siap dipasang untuk semua pesanan.
Di samping itu, untuk manfaat pelanggan kami, kami juga menyediakan video tutorial panduan langkah-langkah pemasangan produk yang betul di laman ShopAtGoShop Facebook dan YouTube.
“Kami memohon maaf sekali lagi atas sebarang kesulitan yang timbul dan memberi jaminan yang kami akan terus beriltizam dalam menyediakan pengalaman membeli-belah yang terbaik di Go Shop,” petik Go Shop.
Go Shop, antara rancangan pemasaran dalam televisyen yang berjaya menarik pelanggan menerusi demonstrasi barangan secara langsung dan jualan “happy hour” yang menawarkan harga istimewa.
Harap kejadian seumpama itu tidak lagi berulang apatah lagi produk yang dibeli dan diguna pengguna di dapur rumah masing-masing.
https://www.youtube.com/watch?v=cdgxCQbaoW8
Kredit: KokoXmedia