
Sentiasa kasihkan ilmu dan hormat orang sekeliling terutamanya guru menjadi pegangan Azizah Azizul, pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 Selangor, yang diumum hari ini.
Pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang yang memperoleh 11A+ bagi kesemua mata pelajaran yang didudukinya dalam aliran sains tulen turut menjadikan kakaknya sebagai idola.
“Kakak yang sedang menuntut dalam jurusan Farmasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sentiasa berpesan agar jangan pilih kasih dengan ilmu dan belajar dengan ikhlas,” katanya kepada Bernama selepas menerima slip keputusan SPM dan plat kecemerlangan daripada Pengarah Pendidikan Selangor Mohd Salleh Mohd Kassim di sini.
Tan Hann Hsen, 18, pelajar terbaik SPM 2016 Selangor bagi kategori orang kurang upaya (OKU) pula menjadikan aspek konsistensi ketika belajar sebagai “ramuan” utama menghadapi peperiksaan berkenaan.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seafield, Subang Jaya yang memperoleh 9A+ dan 1A- menjadikan kekurangan fizikalnya yang terpaksa bergantung kepada kerusi roda sebagai semangat untuk berjaya.
“Walaupun saya menghidap ‘Spinal Mascular Atrophy’ (gangguan genetik terhadap pergerakan otot) sejak kecil, saya tetap bersemangat…sentiasa pastikan tumpuan dan pelajaran saya konsisten,” katanya.
Terdahulu, Mohd Salleh mengumumkan 1,450 daripada 75,158 calon SPM 2016 di Selangor memperoleh A bagi semua mata pelajaran manakala KISAS dinobatkan sebagai sekolah terbaik SPM 2016 Selangor.
Di Melaka, melihat kepayahan bapa sebagai buruh am mencari rezeki, mendorong Muhammad Syauqi Md Sham belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarganya.
Berjaya mendapat 9A dalam SPM 2016, anak bongsu daripada 3 beradik itu berkata beliau sendiri pernah tidak hadir ke sekolah selama 10 hari akibat masalah resdung yang teruk.
“Apabila diserang resdung, mata saya akan berair dan bengkak selain sukar bernafas, justeru saya mengambil inisiatif untuk memperuntukkan lebih banyak masa mengulang kaji pelajaran,” katanya ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan SPM negeri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.
Sementara itu, Idris berkata kerajaan negeri melalui Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) akan memberikan insentif RM1,000 kepada pelajar cemerlang SPM yang berjaya mendapat A dalam semua mata pelajaran bagi peperiksaan tersebut.
Di Kota Kinabalu, Gan Min Hong, pelajar aliran sains tulen SMK Agaseh Lahad Datu berkata belajar tanpa jadual dan hanya menumpukan kepada subjek tertentu selain belajar secara bijak kunci kejayaan sehingga memperoleh 8A+ dan 3A.
Bercita-cita menjadi doktor pergigian, Gan berkata nasihat dan dorongan kedua-dua kakaknya yang turut cemerlang dalam SPM selain bimbingan guru serta ibu bapa banyak membantu kejayaannya.
Abigail Aswini Murali dari SMK Balung, Tawau yang mendapat 6A+, 3A dan 1A- berkata walaupun tinggal di kawasan luar bandar iaitu di Ladang Sigalu, Tawau, dan kekurangan kemudahan seperti Internet, beliau berjaya membuktikan mampu meraih keputusan cemerlang.
Kegigihan Mohd Syafiz Qayyum Jamihil@Jamal untuk belajar di waktu subuh membuahkan hasil apabila berjaya mendapat keputusan terbaik 10A selain diumum sebagai pelajar terbaik di SMK Tawau.
Di Sibu, Erica Ling Kai Shi dan Joyce Hu Xin Enn dari SMK St Elizabeth, masing-masing memperoleh 11A+ dan 10A+ berkata menumpukan perhatian sepenuhnya di dalam kelas adalah perkara yang paling penting perlu dilakukan semasa sesi pembelajaran.
“Tumpukan perhatian di dalam kelas, apabila pulang ke rumah, ingat kembali apa yang telah diajar dan buat nota sendiri. Pelajar perlu rajin membuat kerja sekolah, sekiranya ragu-ragu, jangan takut untuk bertanyakan rakan,” kata mereka ketika ditemui selepas pengumuman SPM di sekolah itu.
Di Kuala Terengganu, Husna Mardhiyyah Mohd Fauzi yang memperoleh 11A+ akan memastikan beliau menghubungi ibunya yang berada di Sungai Petani, Kedah setiap hari bagi meminta maaf dan mendoakan kejayaannya di dunia dan akhirat.
Pelajar terbaik SPM Terengganu dari Sekolah Menengah Imtiaz Kemaman itu berkata kejayaan beliau juga adalah berkat pergantungan yang tinggi terhadap Allah SWT dan doa ibu bapa selain adab baik bersama guru dan rakan-rakan.
Calon berkeperluan khas (CBK) terbaik SPM 2016 di Terengganu Nur Syuhada Alias, 18, dari SMK Bukit Besar yang memperoleh 4A 1A- 1B+ 1C dan 1E berkata kekurangan dirinya itu menjadi pendorong untuk membuktikan OKU juga mampu melakar kejayaan seperti insan normal.
“Setiap malam, saya mengulang kaji pelajaran selama 2 jam secara berkumpulan dan cuba memahami topik yang agak sukar dengan lebih kerap,” katanya menambah beliau memerlukan bantuan rakan dan guru untuk membacakan nota pelajaran di dalam kelas.
Di Labuan, satu-satunya pelajar yang memperoleh 8A+ dan 1A di pulau bebas cukai itu, Mohd Aiman Hazim Janawe berkata disiplin diri, bijak mengatur masa bersama kawan dan pelajaran merupakan amalannya dalam menghadapi SPM.
Bapa kepada pelajar Sekolah Menengah Sains Labuan itu, Janawe Mijih, 45, berkata beliau tidak memberi tekanan kepada anaknya tetapi setiap minggu sebelum peperiksaan, beliau akan ke Labuan dari Kuala Penyu untuk memberi galakan dan semangat kepada anak sulungnya itu.
Di Kuantan, kehilangan 2 anggota keluarga tahun lepas menjadikan Syaheeda Mohd Shafee bertekad untuk mencatat keputusan cemerlang dalam SPM bagi membela nasib keluarga.
Anak bongsu daripada 5 beradik itu berkata ayahnya, Mohd Shafee Mohd meninggal dunia akibat kemalangan di Sungai Karang di sini pada 1 Feb manakala abangnya, Mohd Syahmi, 28, maut semasa dalam perjalanan ke tempat kerja di Kuala Lumpur pada 19 Sept.
“Saya pernah berjanji dengan ayah untuk cuba mendapat semua A dalam SPM. Abang pula selalu mencabar saya untuk mengikut jejak langkahnya yang berjaya ke universiti.
“Sebak rasanya bila nama saya diumumkan sebagai antara pelajar cemerlang kerana saya berjaya tunaikan janji kepada mereka,” katanya yang memperoleh 9A iaitu 4A+,4A dan 1A- semasa ditemui pemberita di SMK Sultan Abu Bakar di sini, hari ini.
Tan Jasss Key, 18, yang merupakan peminat drama dan muzik dari Korea Selatan atau K-Pop berkata beliau mengamalkan ‘prinsip seimbang’ dalam berhibur dan belajar yang membolehkannya mendapat 11A.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Pahang Datuk Rosdi Ismail berkata seramai 269 pelajar atau 1.14% daripada 18,988 calon SPM di negeri ini memperoleh semua A iaitu A+, A dan A- tahun ini, menurun berbanding 306 calon pada tahun lalu.
Bagaimanapun, Rosdi menambah Gred Purata Sekolah (GPS) meningkat sebanyak 0.06 kepada 4.88 berbanding 4.94 pada tahun 2015.
Di Setemban, kemiskinan dan kematian bapa sejak berusia 5 tahun tidak menjadi penghalang buat Maryam Qanitah Rosli, 18, untuk mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh 11A.
Pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu (SMAPL) itu berkata beliau tidak pernah membeli buku rujukan tambahan, sebaliknya menggunakan buku terpakai selain meminjam dari perpustakaan sekolah.
“Ibu saya hanya bekerja sebagai guru KAFA di Sekolah Kebangsaan Nyatoh, Rantau dan berpendapatan RM900 sebulan, jadi untuk tidak membebankan ibu, saya hanya menggunakan apa yang ada untuk belajar,” kata pelajar di bawah Program Pelajar Projek Khas yang membantu pelajar miskin.
Maryam berkata dia hanya akan belajar dan fokus ketika berada di sekolah, kerana apabila pulang ke rumah, dia pastikan untuk membantu ibunya menguruskan adik-adiknya yang berusia 12 hingga 16 tahun.
Sementara itu, Pengetua SMAPL Dr Abd Jalil Ahmad berkata komitmen dan sokongan ibu bapa pelajar banyak membantu pihak sekolah mencapai kecemerlangan sehingga menjadikan sekolah itu menduduki tempat keempat terbaik di seluruh negeri.
Seramai 29 pelajar daripada 146 calon sekolah tersebut, mencatat semua A dan Gred Purata Nasional sekolah turut meningkat kepada 1.79 berbanding 2.17 pada tahun.