Pelajar 11A+, hafiz Al-Quran digesa sertai program Mara bagi kewangan Islam

Pelajar 11A+, hafiz Al-Quran digesa sertai program Mara bagi kewangan Islam

Fakhrul Iman Zainudin dicadang sertai program khas bagi pelajar tahfiz dalam pertemuan dengan Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki.

Tangkap layar video pertemuan antara pelajar cemerlang, Fakhrul Iman Zainudin, dan Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki.
PETALING JAYA:
Seorang pelajar yang memperoleh 11A+ dalam SPM serta hafiz Al-Quran 30 juzuk dicadang sertai program khas Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi bidang ekonomi dan kewangan Islam di Jordan.

Fakhrul Iman Zainudin dicadang sertai program khas bagi pelajar tahfiz untuk memperdalami bidang syariah, dalam pertemuan dengan Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki, hari ini.

Asyraf berkata beliau amat teruja atas pencapaian Fakhrul, yang pergi ke pejabatnya untuk meneroka peluang pembiayaan pelajaran Mara.

“Saya sempat berkongsi pengalaman saya dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam sebelum terlibat politik, agar Fakhrul lebih terbuka mindanya supaya beliau tidak hanya melihat bidang syariah tetapi perluaskan skop kepada bidang kepakaran kewangan syariah yang diperlukan negara masa depan.

“Apatah lagi Malaysia terkenal sebagai negara peneraju industri perbankan dan kewangan Islam global,” katanya di Facebook.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Telok Kemang di Negeri Sembilan itu mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2025. Fakhrul bertemu Asyraf di ibu pejabat Umno bersama ibu dan bapanya, seorang peniaga yang dikenali dalam kalangan pelanggan sebagai ‘Abang Din Goreng Pisang’.

Asyraf menegaskan bahawa nasib seseorang hanya boleh diubah dengan ilmu.

“Satu hari nanti bila Fakhrul berjaya nanti, jangan lupa ayah dan mak yang memerah keringat hanya dengan hasil jualan pisang goreng membesarkan Fakhrul,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.