
Nama itu dipilih sempena nama sekolah di Seksyen 11, Shah Alam di mana Akmal dan 5 lagi rakannya bertemu, berkenalan dan bersahabat hingga kini.
Di ruang persediaan, kelihatan beberapa buku roti sandwic, beberapa bekas inti sardin, telur, ayam dan mayonis. Mereka menyediakan kira-kira 700 kepingan sandwic yang kemudiannya diletakkan dalam peti penyejuk.
Tugas yang bermula seawal 6 petang baru saja selesai, kira-kira 10 malam. Seterusnya, mereka sibuk membersihkan dan mengemas sebelum bersedia untuk keesokan harinya. Mereka perlu tidur awal supaya dapat bangun pagi dan membungkus roti sandwic sebelum mengagihnya mengikut perisa.
Pada 7 pagi, Akmal bersama rakan kongsi niaganya, Ahmad Shamin Norhisham, Azamuddin Omar, Wan Muhammad Iztmir Izzat Wan A Rahim, Ajmal Nahwan, Azam Hamzah dan pekerja lain turun ke lebuh raya.
Masing-masing menjunjung bakul hitam yang diatur dengan roti sandwic digantung pada leher. Sesi jualan bermula dengan menyasar pengguna lebuh raya dalam perjalanan ke tempat kerja yang berhenti seketika kerana lampu merah atau kesesakan lalu lintas.

“Selepas tamat pengajian diploma, kami tak tahu nak buat apa. Bapa saya menasihati kami berniaga kecil-kecilan. Dia yang beri idea ini,” katanya mengenang kisah seorang peniaga sandwic di Bangkok yang kini memiliki kilang roti.
“Pada mulanya kami hanya jual dalam 50 hingga 100 paket, kini berkembang kepada 700 paket sandwic. Kami hanya jual sandwic dan belum ada niat untuk tambah apa-apa kecuali membuka kafe dalam masa terdekat,” katanya.
Melabur kira-kira RM3,000, Eleven Kitchen kini berpuas hati selepas mampu menjana hasil kasar RM1,500 hingga RM1,600 sehari.
“Operasi jualan ditutup pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, lokasi jualan selain dekat Seksyen 22 Shah Alam, kami ada di 2 lagi tempat iaitu berdekatan lebuh raya di Puncak Alam dan Hicom,” katanya.
Walaupun berpuas hati dan gembira dengan perkembangan perniagaan dalam tempoh hanya 3 bulan itu, namun Eleven Kitchen akui hadapi masalah apabila pernah diheret ke balai polis selepas diberi amaran beberapa kali.

“Kami diheret ke balai polis dan diberi saman selain surat hadir ke mahkamah. Hal itu membuatkan kami tidak selesa, dalam masa sama tidak mahu putus asa tinggalkan perniagaan ini,” keluh remaja ini.
Dia juga mempersoalkan kegiatan warga asing meminta sedekah di lebuh raya yang sama pada waktu petang.
Bagaimanapun, Akmal diberi peluang untuk berniaga di jalan bukan lebuh raya utama, dan sedang meneliti pilihan lain yang ada.
“Apa pun kami tetap teruja dengan sambutan dan reaksi pengguna jalan ini. Ada yang sedia menunggu kami, ada menjadi pelanggan tetap, walaupun tidak membeli produk kami, ramai yang penyokong dengan menunjukkan tanda bagus,” kata Akmal.