
Sambutan perayaan Krismas tidak lengkap tanpa memberi dan menerima hadiah. Amalan memberi hadiah merupakan budaya yang merentasi kepercayaan agama dan etnik.
Sempena musim Krismas 2016, Yayasan Generasi Gemilang (GG) mengajak orang ramai untuk bersama menjayakan inisiatif “My Christmas Wish List”.

Inisiatif itu untuk meraikan kanak-kanak yang kurang bernasib baik dengan barangan keperluan sekolah, supaya mereka boleh menyertai semester baharu persekolahan dengan ceria.
“Berbanding amalan membeli dan menukar hadiah sesama orang yang dikenali, inisiatif ini menggalakkan kita memesan hadiah menerusi laman web GG untuk disumbangkan kepada kanak-kanak yang memerlukan,” kata Ketua Komunikasi GG, Cheri Lim kepada FMT Ohsem.

Orang ramai boleh memilih hadiah dalam bentuk sarapan pagi, pakaian seragam sekolah, beg atau kasut sekolah.
“Atau mereka boleh pilih apa sahaja jumlah untuk diderma. Isi borang pemberian hadiah dan tinggalkan mesej Krismas dari anda, atau mewakili saudara-mara dan rakan,” tambah Cheri.

GG ialah diasaskan oleh Daniel Tan kira-kira 6 tahun lalu dengan harapan untuk menjadi pencetus positif dalam menjayakan projek dan kempen berunsur kebajikan dengan penyertaan masyarakat.
Orang ramai yang berminat untuk membuat sumbangan boleh berbuat demikian dengan melayari laman web Give a Gift This Christmas atau mengikut laman sosial Facebook https://www.facebook.com/GenGemilang.org untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai aktiviti yang dianjurkan GG.