
Sambutan Krismas memberikan satu lagi pengalaman berbeza bagi masyarakat majmuk di Malaysia.Antara lokasi yang meraikan kedatangan perayaan tersebut dalam skala mega ialah pusat beli-belah.
Salah sebuah pusat beli-belah terkenal di Lembah Klang, 1 Utama Shopping Centre di Bandar Utama tidak pernah ketinggalan mempersembahkan konsep hiasan unik, meriah dan penuh fantasi setiap kali tiba perayaan ini.
Bertemakan, “Chrismas Is Here”, hiasan kali ini juga menampakkan ciri segar dan baharu berlatarkan taman bunga poinsettia dengan bebola kristal unik.
Pengurus Besar 1 Utama, Patrick So berkata inspirasi kali ini diambil daripada gambar seekor labah-labah sedang membina sarang pada musim sejuk.
“Gambar itu menunjukkan seekor labah-labah mengumpul titisan air kristal yang jelas dalam sarangnya. Kami menggunakan elemen itu untuk membuat pokok Krismas,” Patrick.
Hiasannya menggunakan bebola lutsinar berwarna putih dan merah yang diatur seakan pokok Krismas dengan labah-labah tergantung di atasnya.
Rekaan ini didirikan sejak 28 November dan dijangka berterusan sehingga 26 Disember.
Selain hiasan utama di Centre Court, 1 Utama juga menyediakan gerai kecil dan menarik untuk memeriahkan lagi sambutan di situ.
“Kami ada lebih 20 gerai di sini dan 700 stor untuk menyempurnakan kemahuan beli-belah pelanggan sempena Krismas,” katanya.
Patrick juga akui pihaknya tidak pernah ketinggalan menyediakan dekorasi yang gah untuk semua perayaan besar di Malaysia kerana selain menjadi tarikan, ia menunjukkan komitmen mereka untuk bersama-sama meraikan perayaan tersebut.
Di samping itu, pihaknya juga menyediakan hadiah bagi setiap nilai yang dibelanjakan.
“Bagi setiap RM200 yang dibelanjakan, anda akan menerima setem yang boleh ditebus untuk mendapatkan barangan disediakan, bergantung pada jumlah setem berjaya dikumpul,” tambahnya lagi.
1 Utama menyasarkan peningkatan pelanggan sekitar 15% hingga 30% tahun ini berbanding tahun lepas.