Stress, cinta, atau cuma mahu teman berbual? Hubungi kami

Stress, cinta, atau cuma mahu teman berbual? Hubungi kami

Sukarelawan di Befrienders mendengar setiap keluhan, rintihan, menjadi teman kepada orang yang mereka tidak kenali.

Befrienders_logo
fmt-ohsem-inside-article1Di sebuah pejabat kecil di Petaling Jaya, sekumpulan lelaki dan wanita pelbagai usia dan latar belakang sibuk melayan panggilan telefon.

Mereka sedang berkomunikasi dengan seseorang yang tidak dikenali dan setiap keluhan, rintihan dan aduan perlu dihadam secara baik supaya tidak memberi kesan negatif kepada mana-mana pihak.

Tanpa gaji, mereka bertugas mengikut shif masa, menghulur telinga menjadi teman yang sedia mendengar pelbagai masalah peribadi.

“Kami dilatih untuk mendengar rintihan mereka. Mereka perlukan seseorang untuk mendengar dan fahami keadaan mereka, walaupun orang tersebut ‘asing’ dan tidak dikenali,” kata R. Shageetha, sukarelawan di Befrienders.

Shageetha yang sudah berkhidmat 4 tahun bersama pertubuhan itu berkata niatnya timbul selepas menyedari ramai di luar sana memerlukan bantuan khususnya dari segi sosial dan psikologi.

“Kami tidak memberi sebarang nasihat, malah kami bukan orang sepatutnya menasihati mereka. Kami juga tidak membuat keputusan untuk diri mereka. Kami hanya mendengar. Itulah tindakan terbaik yang boleh kita lakukan memandangkan mereka tiada siapa untuk dengar keluhan itu,” kata Shageetha.

Befrienders adalah sebahagian daripada organisasi Befrienders Sedunia yang kini mempunyai 40 cawangan di seluruh dunia dan 8 cawangan tempatan.

Selepas 45 tahun, ia masih menyebarkan khidmatnya tanpa henti khususnya bagi “generasi Z” yang dianggap lebih genting dan paling memerlukan sokongan.

Menurut bekas Presiden Befrienders, Gangadara Vadivel Sinnadurai yang ditemui di Bengkel Pencegahan Membunuh Diri bersempena Hari Pencegahan Membunuh Diri Sedunia 2016, kira-kira 105 panggilan diterima sehari mencari bantuan sokongan moral. Daripadanya, lebih 25% dikhuatiri berkemungkinan berdasarkan niat bunuh diri. Kebanyakan daripada mereka berusia 16 hingga 30 tahun.

Pada 2014, sejumlah 19,362 orang menghubungi Befrienders dan angka ini meningkat kepada lebih 20,000 tahun berikutnya.

“Ia mungkin berlaku kerana muda-mudi tidak dapat menerima baik fasa transaksi dalam kehidupan mereka. Kerjaya, hubungan, kewangan menjadi faktor utama dan ketidakcekapan mengendali fasa ini menyebabkan mereka tertekan secara mental, fizikal dan psikologi,” katanya.

Kajian Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) dalam Laporan Bunuh Diri 2014 menyatakan kira-kira 800,000 meninggal dunia kerana membunuh diri.

Menurut Gangadara lagi, generasi muda kini harus dibekalkan dengan ilmu untuk mengendali dan kemahiran berfikir secara rasional ekoran kekurangan kebijaksanaan emosi.

“Mereka pandai dari segi akademik tetapi apabila melibatkan emosi, agak terganggu. Remaja dan belia ini perlukan sokongan dan setiap orang termasuk komuniti bertangungjawab menghulur bantuan,” kata Gangadara.

Selain golongan usia yang disebut di atas, warga emas yang keseorangan atau diabaikan ahli keluarga juga dikatakan antara yang terlibat dalam membuat keputusan membunuh diri.

“Berkeseorangan, diabaikan ahli keluarga, penyakit, masalah dalam keluarga dan sebagainya turut mendorong individu dalam usia ini,” kata beliau.

Subjek ini dianggap taboo oleh orang ramai, tetapi Gangadara akui apabila mendekati orang ramai, individu bermasalah sebenarnya rela membuka diri dan bercakap. Ia juga antara sebab lebih banyak panggilan diterima di Befrienders, petanda orang bermasalah mempunyai akses dan rela membuka hati.

“Di Malaysia, jika dilihat dari segi demografi, kaum India adalah paling tinggi terlibat berbuat demikian (membunuh diri), khususnya mereka yang tidak berpelajaran dan tinggal di estet atau mengalami transisi hidup dari estet ke bandar.

“Manakala masalah kewangan yang runcing, hubungan antara suami dan isteri, masalah cinta, antara sebab paling tinggi,” ujar Gangadara.

Di Malaysia, pesalah yang membuat percubaan membunuh diri akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan seksyen 309, hukuman penjara setahun atau denda.

Befrienders boleh dihubungi menerusi 3 saluran, panggilan telefon 24 jam di talian 03-79568145, secara bersemuka dengan membuat temujanji awal atau emel ke [email protected].

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.