Memori perang dunia, makanan laut jadi tarikan Labuan

Memori perang dunia, makanan laut jadi tarikan Labuan

Terdapat satu plak yang menunjukkan pusara itu milik tentera Australia tidak dikenali bertulis 'An Australian Soldier of the 1939-1945 War. Known unto God.'

labuan

Ketika mendapat tahu Kelab Media Putrajaya bercadang mengadakan lawatan 3 hari 2 malam ke Wilayah Persekutuan Labuan, penulis tertanya-tanya apa yang ada di Labuan?

Selain tidak pernah berkunjung ke pulau itu, tidak banyak artikel mahupun gambar mengenai tarikan pelancongan yang terdapat di Labuan, baik di media arus perdana mahupun yang dikongsi pengguna media sosial.

Berbanding pulau lain di Malaysia, Labuan agak kurang pendedahan. Hanya segelintir yang memilih pulau bebas cukai ini sebagai destinasi percutian walaupun ia mempunyai pantai.

Kumpulan penulis menaiki pesawat Malaysia Airlines MH2608 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.40 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Labuan kira-kira 11 pagi.

Mi sup ikan pembuka selera di Labuan

Hidangan pertama yang kami nikmati sejurus tiba di Labuan ialah mi sup ikan.

Pengunjung boleh memilih sama ada mahu sup ikan biasa, ikan goreng atau mencampurkan kedua-dua jenis ikan dalam sup untuk dimakan bersama mi.

Pengunjung dihidangkan mi dan sup isi ikan dalam mangkuk berasingan untuk digaul sendiri. Bagi mereka yang mahu mi lebih pedas, boleh menambah cili yang disediakan.

Walaupun pertama kali mencuba mi sup ikan, kami semua berpuas hati dengan kelazatan sup ikan ini kerana ia menggunakan ikan segar.

Selepas menikmati mi sup ikan, kumpulan kami mendaftar masuk ke sebuah tempat peranginan yang terletak di Jalan Batu Manikar.

Kolam renangnya terletak hanya beberapa ratus meter dari Pantai Batu Manikar yang mempunyai pasir putih bersih serta air membiru.

Sambil menikmati pemandangan dengan hembusan angin Laut China Selatan, menghayati serta mendengar deruan ombak dengan belaian bayu laut begitu mendamaikan.

Destinasi seterusnya ialah Pantai Layang-Layangan yang dinamakan sebagai United Nations ’08 Beach.

Pengiktirafan berkenaan diterima daripada United Nations Environment Programme (UNEP) pada 20 September 2008 atas kebersihan pantai berkenaan yang bebas daripada pencemaran.

Pantai Layang-Layangan juga disenaraikan dalam 101 Pantai Terbaik Asia.

Sejak pengiktirafan itu, pihak berkuasa tempatan di Labuan sentiasa memastikan pantai berkenaan kekal bersih dan terpelihara.

Di Pantai Layang-Layangan juga terletak Taman Damai yang dibina pihak Jepun.

Ia adalah lokasi seorang komander tentera Jepun menandatangani surat penyerahan Labuan kepada Royal Australian Air Force pada 1945.

Berhampiran Pantai Layang-Layangan terdapat gerai makanan yang menghidangkan sate rusa yang dikenali sebagai sate payau di kalangan masyarakat tempatan selain pelbagai makanan dan minuman seperti air kelapa dan ais batu campur.

Menjamu selera di gerai berhampiran pantai merupakan pengalaman menarik bagi ahli Kelab Media Putrajaya.

Pantai Layang-Layangan yang panjang dan bersih serta bebas dari batu-batan sesuai untuk aktiviti berjalan kaki di waktu petang sambil menyaksikan matahari terbenam.

Hidangan makanan laut pertama yang dinikmati ahli Kelab Media Putrajaya ialah di Anjung Ketam Kampung Tanjung Aru.

Anjung Ketam ialah restoran kayu atas laut yang menghidangkan pelbagai jenis hidangan makanan laut untuk makan malam. Ia biasanya dibuka pada pukul 4 petang.

Ketika mengunjungi Anjung Ketam Kampung Tanjung Aru, kumpulan Kelab Media Putrajaya dihidangkan dengan ketam buttermilk, ketam rebus, udang bercili dan ikan bersama nasi putih.

Semua hidangan itu benar-benar membuka selera kerana ketam, udang dan ikan yang dihidangkan sangat segar. Angin laut yang bertiup dan bunyi air laut turut memberikan kami pengalaman berbeza berbanding makan di restoran makanan laut di ibu kota.

Difahamkan, terdapat banyak restoran kayu atas laut di Labuan dan ada yang dinamakan Anjung Ketam dan Anjung Ikan Bakar.

Kedudukan anjung di kampung yang terletak berhampiran laut di Labuan itu membolehkan pengunjung meninjau suasana dan rumah kampung di pulau bebas cukai itu.

Anjung Ketam adalah lokasi yang wajib dikunjungi penggemar makanan laut apabila berkunjung ke Labuan.

Pusara 3,908 Tentera Bersekutu

kubur

Pada hari kedua di Labuan, Kelab Media Putrajaya melawat Tugu Peringatan Perang Dunia II yang terbesar di Malaysia.

Ia menempatkan pusara 3,908 askar dari Tentera Bersekutu iaitu dari Australia, United Kingdom, New Zealand, India dan unit pertahanan tempatan yang gugur di Borneo semasa Perang Dunia II.

Tugu peringatan ini mempunyai lanskap indah menghijau umpama taman bunga dengan plak tertera nama tentera terkorban yang tersusun kemas dan diasingkan mengikut agama masing-masing.

Terdapat satu plak menunjukkan pusara itu milik tentera Australia tidak dikenali bertulis ‘An Australian Soldier of the 1939-1945 War. Known unto God.’

Tugu peringatan berkenaan dibina dan diselenggara Suruhanjaya Tanah Perkuburan Perang Komanwel. Difahamkan, tugu peringatan itu masih dikunjungi veteran perang negara terlibat serta waris tentera yang disemadi di tugu peringatan tersebut.

Setiap November, Hari Peringatan akan disambut di tugu ini mengikut tradisi ketenteraan.

Hari Peringatan diadakan bagi memperingati pengorbanan wira perang dan tahun ini, ia berlangsung pada 13 November lepas.

Antara acara yang berlangsung pada Hari Peringatan termasuk meletakkan kalungan bunga, menyandarkan senjata secara terbalik, dendangan lagu “The Last Post” dan bertafakur selama 1 minit.

Ketika berada di Labuan, ‘cenderamata’ untuk dibawa pulang semestinya hasil laut, sama ada dalam bentuk kering mahupun sejuk beku.

Untuk itu, kami dibawa ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) Labuan kerana banyak makanan kering dan basah dijual di sana.

Ikan bilis dan udang kering cenderamata Labuan

ikan-bilis

Produk yang menjadi tumpuan untuk dibawa pulang ke Putrajaya ialah ikan bilis, udang kering dan snek berasaskan ikan.

Di UTC Labuan, pengunjung mempunyai banyak pilihan ikan bilis seperti ikan bilis mata biru, ikan bilis halus, ikan bilis yang sudah dibuang kepala atau ikan bilis biasa.

Dari UTC kami dibawa ke pusat makanan laut sejuk beku. Pengunjung yang datang secara berkumpulan boleh memilih pelbagai makanan laut seperti udang harimau, ikan, ketam dan ikan bersalut tepung.

Pembeli hanya perlu membuat bayaran terlebih dahulu dan memaklumkan tarikh serta masa penerbangan pulang. Semua makanan laut itu akan dibungkus rapi secara sejuk beku dan dihantar ke Lapangan Terbang Labuan kepada pembeli.

Selepas puas membeli-belah, kami menikmati hidangan istimewa iaitu udang kara di sebuah restoran makanan laut yang terletak tidak jauh dari Terminal Feri Antarabangsa Labuan.

Pada malam kedua dan terakhir di Labuan, kami menjamu selera di Anjung Ketam Kampung Nagalang yang menghidangkan pelbagai makanan laut seperti ketam masak cili, butter prawn dan sotong goreng ikan masin.

Pada hari terakhir di Labuan, Kelab Media Putrajaya melawat Pulau Rusukan Besar. Pulau ini sebahagian daripada ialah Taman Laut Labuan dan perjalanan bot mengambil masa 20 minit dari jeti Marina Labuan.

Berkeluasan 14 hektar, pulau ini terletak berhampiran destinasi menyelam kapal karam di Labuan.

Pantainya bersih, air laut jernih dan di lokasi tertentu, kami berpeluang melihat ikan dan terumbu karang.

Pulau Rusukan Besar juga adalah tempat pendaratan penyu dan tumpuan beberapa jenis burung pantai.

Pengurus Emma Glorious Tours and Travel Sdn Bhd, Lee Kun Fung berkata, beliau menyediakan kemudahan chalet, peralatan snorkeling dan menyelam untuk pengunjung yang datang secara berkumpulan ke Pulau Rusukan Besar, sama ada untuk bersantai atau meraikan majlis tertentu.

Ketika mencuba aktiviti snorkeling di Pulau Rusukan Besar, kami dapat melihat kepelbagaian terumbu karang dan spesies ikan berwarna-warni.

Pulang dari Pulau Rusukan Besar, masanya sudah tiba buat ahli Kelab Media Putrajaya bersiap sedia untuk penerbangan pulang.

Pengalaman menarik 3 hari 2 malam di Labuan benar-benar membuka mata ahli Kelab Media Putrajaya mengenai keistimewaan pulau bebas cukai itu.

Labuan sememangnya tempat tumpuan bagi penggemar hidangan makanan laut dan mereka yang ingin bersantai di pantai indah, bersih, tenang serta jauh daripada hiruk-pikuk kehidupan kota.

Rombongan Kelab Media Putrajaya meninggalkan Labuan pada 13 November dengan penerbangan MH2635.

Nampak gayanya penulis perlu ke Labuan lagi kerana tidak puas menikmati makanan laut serta menghayati keindahan suasana pantainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.