Anak lemah kerana ibu apa terlalu melindungi mereka

Anak lemah kerana ibu apa terlalu melindungi mereka

Ibu bapa hanya mahukan yang terbaik untuk anak tetapi ada kalanya mereka lupa kesempurnaan itu sebenarnya tidaklah baik sangat untuk anak yang sedang membesar.

Parents

SIRI PERTAMA

Mendidik anak bukan sekadar membesarkan mereka. Pada zaman ini kita sedang melalui satu fasa yang agak rumit, baik selaku ibu bapa atau kanak-kanak. Mungkin ibu bapa itu sendiri tidak sedar apa kesilapan mereka dalam membesarkan anak-anak.

Baru-baru ini dalam sebuah kumpulan laman sosial berpaksi kepada ibu-ibu, seorang ibu bertanya adakah selamat membeli sayur, daging dan ikan di pasar malam untuk dimasak kepada ahli keluarga, khususnya anak-anak.

Jawab seorang lagi ibu, “Saya hanya beli di kedai organik. Mahal tetapi saya tahu ia selamat untuk mereka.”

Ia diikuti pelbagai pasar raya berbintang yang dinamakan semata-mata untuk membeli bahan makanan mentah dan masak.

“Saya tidak pernah benarkan anak saya makan di kantin sekolah. Saya selalu membeli roti di XXX Bakery yang menggunakan gandum organik dari Eropah dan banyak kekacang yang sihat. Saya juga berikan dia makanan terpilih,” kata seorang ibu lagi.

Dalam pada itu, kita juga banyak membaca tentang ibu bapa yang naik angin apabila guru menegur atau mendenda anak mereka, sehingga ada yang menjadikannya viral, memarahi atau menyerang guru.

Ingat lagikah peristiwa sekumpulan pelajar yang didakwa didenda berduduk di atas jalan tar gara-gara lewat hadir ke sekolah sehingga ibu bapa berang dan menyalahkan pihak sekolah kerana terlalu berkeras dan mengenakan denda yang tidak sepatutnya?

Bagaimana pula dengan insiden seorang kanak-kanak yang dihadiahkan kereta mewah Ferrari gara-gara lulus UPSR dengan gred A untuk semua subjek?

Tidak ketinggalan beberapa isu domestik apabila ibu bapa umpama perisai sehingga langsung tidak benarkan anak membuat apa-apa termasuk keputusannya untuk makan, berpakaian atau memilih kawan.

Antara penyebabnya, terlalu menyayangi atau memanjakan anak dan akhirnya mereka hilang arah di antara “good parenting” dan “bad parenting”.

Jadi adakah mereka menjadi ibu bapa yang terlalu melindungi (over protective) yang juga dikenali “helicopter parents” atau sekadar menunaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa yang baik?

Pengarang buku “The Gift of Failure: How the Best Parents Learn to Let Go so their Children can Succeed”, Jessica Lahey berkata, kanak-kanak yang terlalu dilindungi ibu bapa yang menawarkan bantuan untuk hampir semua perkara dan tidak membenarkan anak mereka membuat pilihan sendiri, tidak mahir dalam pembelajaran.

“Mereka tidak bagus dalam menangani kekecewaan. Jika kita mahu anak memiliki motivasi diri, maka anda kena ambil selangkah ke belakang,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa juga perlu tahu waktu mereka sepatutnya melangkah masuk dan membiarkan anak buat keputusan sendiri.

“Pertama, proses pembelajaran lebih penting daripada gred. Kedua, lebihkan sokongan dan kurangkan kawalan. Ketiga, setiap bantuan daripada anda bermakna mereka hilang satu pengalaman untuk belajar. Empat, lihat kegagalan sebagai satu peluang untuk mengembang. Lima, jadi model kebijaksanaan dan keberanian kepada anak anda,” jelasnya.

Dalam pada itu, laman New Health Adviser pula menyenaraikan beberapa perkara yang boleh mengklasifikasikan anda sebagai ibu bapa yang terlalu melindungi.

  1. Menyelesaikan masalah anak
  2. Bekerja keras untuk memastikan anak anda berjaya
  3. Terlalu mengasihani anak jika mereka gagal dalam sesuatu
  4. Asyik menilai tahap kehidupan anak anda
  5. Tidak memberi mereka sebarang kerja di rumah
  6. Tidak membenarkan anak anda mengambil risiko
  7. Gagal mengajar anak anda tentang dunia sebenar

Adakah anda salah seorang daripada mereka? Buat penilaian sendiri. Bercakap mengenai ibu bapa yang berkelakuan ‘over protective’, tabiat ini juga boleh membawa kesan mendalam kepada perkembangan kanak-kanak dan kemudian kepada keluarga dan masyarakat.

Dalam siri kedua, FMT Ohsem akan berkongsi pandangan pegawai pendidikan yang juga pengarang buku motivasi, guru dan beberapa ibu bapa mengenai isu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.