Suhakam gesa mansuh peruntukan tahan kanak-kanak bawah Sosma

Suhakam gesa mansuh peruntukan tahan kanak-kanak bawah Sosma

Katanya penahanan seorang gadis 16 tahun tanpa perbicaraan di Kedah melanggar Akta Kanak-kanak 2001 dan mencabuli hak kanak-kanak bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak.

Farah Nini Dusuki
Ketua Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam Farah Nini Dusuki menyambut baik pembebasan gadis 16 tahun pada 23 Jan lalu, tetapi menegaskan penahanannya tidak patut berlaku. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa pemansuhan segera peruntukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang membenarkan penahanan kanak-kanak tanpa perbicaraan susulan kes seorang gadis 16 tahun di Kedah.

Ketua Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam, Farah Nini Dusuki, menyambut baik pembebasan remaja itu pada 23 Jan lalu, tetapi menegaskan penahanan berkenaan tidak patut berlaku.

Menurutnya, penahanan itu melanggar Akta Kanak-kanak 2001, khasnya Seksyen 84 yang menetapkan kanak-kanak perlu dibawa ke Mahkamah Kanak-kanak dalam tempoh 24 jam selepas ditahan – syarat yang jelas tidak dipatuhi.

“Selain itu, Seksyen 83(1) dengan jelas menyatakan Akta Kanak-kanak mengatasi semua undang-undang lain berkaitan penangkapan, penahanan dan perbicaraan kanak-kanak, namun jaminan ini telah diabaikan, sekali gus mengakibatkan pelanggaran hak kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan.

Farah berkata, penahanan itu melanggar Seksyen 85(a) Akta Kanak-kanak dan Artikel 37(c) Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) kerana remaja terbabit ditempatkan di lokap bersama tahanan wanita dewasa.

Jelasnya, kanak-kanak itu dinafikan perlindungan mengikut Seksyen 13 Sosma yang membenarkan ikat jamin, jika pesalah ialah kanak-kanak, wanita, sakit atau uzur.

“Pendirian OCC adalah jelas dan tegas: kanak-kanak tidak boleh ditahan bawah Sosma. Memandangkan Sosma membenarkan penahanan tanpa perbicaraan, ia tidak selaras piawaian hak kanak-kanak.

“Mana-mana peruntukan membenarkan penahanan kanak-kanak bawah Sosma seharusnya dimansuhkan.”

Menurut laporan, remaja itu ditahan dalam sekatan jalan raya dekat Plaza Tol Jitra bersama bapanya dan beberapa individu lain, selepas polis mendakwa kenderaan mereka digunakan untuk menyeludup migran. Sepanjang penahanan selama seminggu, remaja terbabit mengalami alahan kulit dan muntah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.