
Dalam laporan portal Daily Mail, pengembara itu tampil dengan kejutan mengenai industri makanan.
Anthony menyenaraikan beberapa makanan yang perlu diwaspadai kerana ia mungkin memudaratkan kesihatan atau dompet pengguna.
TELUR DENGAN SOS HOLLANDAISE
Jika anda suka telur rebus dengan salmon salai, asparagus atau bayam tetapi bertemankan sos hollandaise, Anthony ada berita buruk untuk anda.
Menurutnya, sos tersebut perlu disimpan pada suhu tertentu supaya ia selamat dimakan.
“Bakteria suka hollandaise,” kata Anthony dalam bukunya, Kitchen Confidential. “Setahu saya, tidak ada chef yang membuat hollandaise ikut tempahan,” katanya menyifatkan ia mungkin disimpan tanpa mengambil kira suhu yang disarankan.
TIRAM
Tiram yang tidak baik dan boleh membuatkan anda sakit jika ia rosak walau sedikit. Jadi seeloknya elak memesan tiram kecuali anda benar-benar tahu ia masih segar.
IKAN
Anthony dalam bukunya pernah berkata: “Saya tidak pernah pesan ikan pada hari Isnin, kecuali saya makan di restoran berbintang di mana saya tahu mereka membeli ikan secara langsung dari sumber segar.” Ini kerana katanya, kebanyakan restoran akan menghentikan tempahan ikan segar pada hari Khamis. Ia bererti pada hari Isnin, ikan tersebut mungkin sudah disimpan beku sejak empat atau lima hari yang lepas.
WAGYU DAN DAGING KOBE
Wagyu dan daging lembu kobe adalah daging yang paling mahal di dunia. Jadi jika ada menu mengatakan menggunakan daging tersebut sebagai bahan asas untuk burger, ia mungkin tidak benar.
Ia biasanya dihidang dalam bahagian atau kuantiti kecil seperti steak kerana kebanyakan chef tidak mahu membazir produk mewah tersebut dengan mengisar atau dicincang untuk digunakan sebagai isi burger.
MAKANAN LAUT
Makanan laut hilang keenakan, kesegaran dan kualiti sebaik keluar dari laut. Jika anda memilih makanan laut, pastikan ia bukan disimpan beku terlalu lama, jika boleh pastikan anda tahu restoran itu mempunyai pesanan harian daripada sumber laut supaya hasilnya masih boleh dikategorikan sebagai segar.
PESANAN KHAS
Pesanan yang terlalu banyak “do’s and dont’s” adalah paling menjengkelkan pelayan serta chef. Ia sekali gus menyebabkan makanan yang disediakan kurang kualiti atau tidak mesra pelanggan.
Seorang pengguna Reddit yang juga seorang tukang masak mendakwa, “Setiap kali seseorang memesan sesuatu di luar menu, pihak penyedia kecewa. Ini kerana makanan tersebut perlukan penyediaan yang sangat khusus, mengambil masa yang lama dan akhirnya mungkin bukan mesra pelanggan.