
Apa rancangan hujung minggu anda? Kalau tiada apa-apa, mungkin boleh bertandang ke panggung wayang. Beberapa filem menarik sedang bermain termasuk sebuah filem seram dari Indonesia.Jangan terkeliru dengan tajuknya, “The Doll”, walaupun berbunyi keInggerisan ia sebuah filem Indonesia yang boleh memberikan anda hujung minggu yang menyeramkan.
Filem ini ditayangkan di panggung wayang terpilih di seluruh negara ini sejak 10 November dan dikhabarkan menerima respon baik .
Ia mengisahkan kisah sepasang suami isteri muda di Bandung diserang anak patung yang dirasuk roh seorang kanak-kanak perempuan yang mahu membalas dendam.
Filem, oleh Hitmaker Studios diarahkan oleh Rocky Soraya dibintangi pelakon seperti Shandy Aulia, Danny Sumargo dan Sara Wijayanto.
Seorang anak-kanak perempuan, Uci mati dibunuh bersama-sama seluruh ahli keluarganya secara kejam oleh perompak dan kini dia kembali untuk membalas dendam dalam The Doll.
Adengan awal bermula dengan pasangan muda, Daniel (Danny Sumargo) dan Anya (Shandy Aulia) yang baru sahaja berpindah ke rumah baharu mereka di Bandung.
Ketika menguruskan sebuah projek, Daniel terpaksa membersihkan sebuah tapak justeru dia mengarahkan pekerjanya menebang sebuah pokok. Rupanya, patung Uci berada di atas pokok dan ia menarik perhatian Daniel. Dia membawa patung itu pulang dan diberikan kepada isterinya yang kebetulan seorang pembuat patung.
Namun, Niken (Vitta Mariana) jiran Anya terkejut melihat kelibat patung yang dinamakan sebagai Ghawiah di rumah Anya. Ini kerana Niken tahu patung itu menyimpan kisah silam yang menggerunkan dan mungkin boleh membawa petaka.
Tanpa membuang masa, Niken mendedahkan kisah di sebalik patung Ghawiah dan menggesa Anya serta Daniel supaya mengembalikannya ke tempat asal.
Namun, cerita Niken tidak diendah oleh kedua-dua suami isteri sehinggalah beberapa kejadian anuh mula berlaku dalam hidup mereka.
Kemuncak filem itu bermula di saat ini apabila Anya dan kemudian Daniel berhadapan pelbagai rintangan dan saat yang menggerunkan sepanjang tamatnya filem tersebut.
Bercakap mengenai plot filem, boleh disifatkan agak teratur dengan elemen yang secukupnya untuk bermain dengan emosi penonton. Yang pasti, setiap detik dalam separuh kedua filem itu membuatkan anda tidak senang duduk.
Perjalanan filem itu juga agak pantas, tidak membosankan. Seperti biasa, jangan terlalu mencari logik walaupun filem ini dikatakan berkisar daripada kisah benar.
Menurut beberapa portal dan blog hiburan yang menemuduga pelakon The Doll, para pelakon filem itu langsung tidak berdepan dengan sebarang kejadian pelik.
Filem ini juga dikatakan mengambil masa hampir 2 bulan penggambaran dengan 45% di Bandung, selebihnya di Jakarta.