
Anda suka makan? Setiap masa anda dikelilingi makanan dan minuman? Bagaimana pula dengan waktu mandi?Sebuah stor runcit dalam talian di Jepun memperkenalkan serbuk mandi yang mempunyai rasa yang ‘enak’ menggunakan perisa makanan, tetapi ia sama sekali bukan untuk dimakan.
Village Vanguard, kedai menjual buku dan pelbagai barangan peruncitan yang sering memperkenalkan produk unik lagi pelik dan tidak dijangka pengguna, kini tampil dengan serbuk mandi perisa kari dan sup.
Menurut laporan portal berita berpusat di Jepun, RocketNews24, serbuk mandi ini didatangkan dalam pelbagai perisa dan pembungkusan yang seakan produk makanan. Gambar-gambar serbuk mandi tersebut dipetik dari katalog Village Vanguard serta majalah Japan Magazine.
Jika anda berada di Jepun atau merancang melawat negara matahari terbit itu, bolehlah cuba membeli dan menggunakannya. Ataupun, beli sahaja melalui Internet. Selamat mencuba!

Serbuk mandi yang berdasarkan 6 jenis perisa diperkenalkan di laman web runcit Village Vanguard.

Anda hanya perlu mencampur serbuk tersebut di dalam tab mandi untuk merasai pengalaman mandi berperisa makanan.

Jika ramen adalah makanan kegemaran rakyat Jepun, barangkali ia bakal menjadi perisa mandian yang digilai juga!

Mi goreng ala-Jepun (yakisoba) tetapi dalam bentuk serbuk mandi wangi juga dijangka membuatkan si penggunanya lapar sebaik keluar dari tab mandi.

Serbuk mandi ini dijual dengan harga ¥ 324 (AS$3.14 atau RM13.22) bagi setiap paket.
Serbuk mandi ini dijamin membuatkan seseorang lapar, oleh itu pengguna dinasihat supaya menyediakan hidangan sebelum mandi menggunakan paket mandian tersebut.
Terfikir juga jikalau pengguna akan rasa bersih dengan bau kari di badan? Sedangkan menjejak kaki ke kedai makanan atau dapur pun sudah buat kita tidak selesa dengan baunya, bagaimana pula dengan mandian perisa makanan yang akan membasahi seluruh tubuh?
Kredit gambar: Village Vanguard Online