Perang Iran: Fomca nasihat pengguna main peranan, belanja berhemah

Perang Iran: Fomca nasihat pengguna main peranan, belanja berhemah

Fomca berkata tingkah laku penguna main peranan penting dalam kestabilan harga dan bekalan terutama ketika krisis.

buying groceries beli barang keperluan
Persekutuan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia menasihatkan pengguna merancang perbelanjaan dan berjimat serta amalkan pengunaan minyak dan elektrik secara cekap. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Walaupun kerajaan melaksanakan pelbagai langkah untuk melindungi rakyat daripada kesan ekonomi susulan perang di Iran, Persekutuan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menegaskan pengguna sendiri perlu memainkan peranan dengan berbelanja secara berhemah.

Presidennya, N Marimuthu, berkata pembelian panik dan tabiat kewangan yang tidak baik boleh mengganggu keseluruhan sistem memandangkan tingkah laku pengguna memainkan peranan penting dalam kestabilan harga dan bekalan.

“Orang ramai tidak seharusnya panik. Itu kata kuncinya. Jika panik, anda akan mengganggu keseluruhan sistem,” katanya kepada FMT.

Marimuthu berkata rakyat Malaysia juga perlu bersedia menyesuaikan tabiat perbelanjaan, sambil menyifatkan perubahan itu sebagai satu keperluan dalam keadaan semasa.

Beliau turut menggesa isi rumah mengurus kewangan dengan lebih baik, dengan menyatakan ia sebagai nasihat biasa yang semakin dilupakan.

“Kita perlu mengutamakan keperluan berbanding kehendak. Saya tahu, ini nasihat biasa, tetapi orang ramai sudah melupakannya.”

Antara langkah yang dicadangkan ialah mengurus kos makanan dengan memasak di rumah serta merancang pembelian secara mingguan berbanding membuat pembelian kerap yang boleh membawa kepada pembaziran.

Marimuthu turut menggalakkan pengguna menyokong produk tempatan, dan berkata pilihan yang lebih mampu milik sering ditawarkan oleh peniaga kecil dan penjaja tepi jalan.

Beliau juga berkata pengurangan penggunaan bahan api adalah penting kerana ia kekal sebagai perbelanjaan utama bagi kebanyakan keluarga, manakala bil elektrik boleh dikurangkan melalui langkah mudah seperti mengelakkan mod sedia dan memastikan peralatan digunakan secara cekap.

“Jangan biarkan peralatan dalam mod sedia. Dan jika mahu membasuh pakaian, pastikan mesin basuh diisi penuh,” katanya.

Marimuthu turut memberi amaran terhadap kebergantungan berlebihan kepada skim beli sekarang bayar kemudian, yang disifatkannya sebagai ‘permainan berbahaya’ yang boleh menjejaskan disiplin kewangan.

Pada masa sama, beliau menggesa pengguna kekal peka terhadap manipulasi harga dan membuat aduan kepada Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sekiranya mengesan unsur pencatutan.

Beliau turut menekankan peranan inisiatif berasaskan komuniti seperti koperasi, yang boleh membantu mengurangkan kos melalui pembelian pukal.

“Perkara ini telah berjaya dilaksanakan di negara seperti Korea dan Jepun,” katanya.

Ketika konflik berlarutan, Marimuthu menggesa pengguna kekal mendapatkan maklumat tetapi tidak bersikap panik, dengan merujuk kepada reaksi orang ramai semasa pandemik Covid-19.

Walaupun mengakui kerajaan tidak sempurna, beliau berkata Malaysia masih berada dalam keadaan lebih baik berbanding banyak negara lain yang berdepan tekanan serupa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.