Pembunuh pengasas Ambank dijatuhkan hukuman gantung

Pembunuh pengasas Ambank dijatuhkan hukuman gantung

Koong Swee Kwan, seorang penarik kereta, sebelum ini dijatuhkan 18 tahun penjara atas cubaan membunuh isteri Hussain Ahmad Najadi.

Koong-Swee-Kwan
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang penarik kereta yang dituduh membunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian (AmBank), Hussain Ahmad Najadi, 4 tahun lepas.

Koong Swee Kwan, 48, didakwa membunuh Hussain, 75, di tempat letak kereta Tokong Cina Kuan Yin di No 4, Lorong Ceylon di sini antara 1.30 tengah hari dan 2.00 petang pada 29 Julai 2013, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, membawa hukuman mati mandatori.

Koong sebelum ini dipenjarakan 18 tahun atas pertuduhan cubaan membunuh isteri Hussain, Cheong Mei Kuen, 50, di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman mengarahkan tempoh hukuman itu dikira daripada penahanannya pada 22 September 2013.

Karim berkata peguambela Datuk Michael K L Chee gagal membangkitkan keraguan mengenai dakwaan ke atas Koong, dan menolak alasan tertuduh bahawa orang yang membunuh Najadi adalah pemandu teksi.

“Alasan yang dibuat tertuduh tidak munasabah dan mahkamah dapati bahawa cerita yang dibawa orang tertuduh adalah suatu yang direka.

“Ini adalah perbuatan paling kejam, kepentingan awam mengatasi segala-galannya,” katanya.

Sebelum ini, pihak pembelaan berkata individu yang menembak mati mangsa adalah seorang pemandu teksi.

Bercakap kepada wartawan, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata alasan itu tidak masuk akal.

“Kenapa tidak masuk akal? Sebab kalau pemandu teksi itu tembak mangsa, kenapa selepas kejadian, mangsa menaiki teksi tersebut. Kalau tertuduh tahu pemandu itu yang menembak mangsa, sepatutnya dia tidak naik dan terus membuat laporan kepada pihak polis yang berada berdekatan,” katanya.

Pada 5 September 2014, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap Koong atas tuduhan membunuh Hussain dan hukuman penjara 18 tahun kerana didapati bersalah cuba membunuh Cheong.

Bagaimanapun pada 14 Disember 2016, panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin mengetepikan sabitan dan hukuman gantung sampai mati terhadap Koong dan memerintahkan kes itu dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi.

Hussain terbunuh manakala isterinya cedera parah setelah ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta sejurus keluar dari tokong berkenaan selepas berunding mengenai urusan perjanjian tanah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.