Sheikh Muszaphar cari lima angkasawan muda

Sheikh Muszaphar cari lima angkasawan muda

Program yang akan dilancarkan pada Mac bakal menyediakan peluang kepada pelajar terpilih untuk melawat Pusat Penyelidikan Saintifik dan Latihan Angkasawan Ujian Negara Yuri Gagarin (GCTC) di Russia.

syeih-muszafar,angkasawan

PETALING JAYA:
Mahu menjejak langkah angkawasan pertama Malaysia, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor? Bersiap sedia kerana angkasawan pertama itu sedang mencari lima pelajar berpotensi untuk menyertai program ‘Cabaran Angkasawan Muda’.

Menurut Dr Sheikh Muszaphar, program yang akan dilancarkan pada Mac itu bakal menyediakan peluang kepada pelajar terpilih untuk melawat Pusat Penyelidikan Saintifik dan Latihan Angkasawan Ujian Negara Yuri Gagarin (GCTC) di Star City, Rusia, menjelang hujung tahun ini.

“Program itu akan memilih pelajar terbaik dari seluruh Malaysia yang mempunyai sifat dan sikap menjadi seorang angkasawan,” katanya selepas upacara penyerahan pakaian angkasa SOKOL di sini pada Isnin, menurut laporan BERNAMA.

Program itu juga diilhamkan untuk mencetus minat generasi muda menceburi bidang sains.

Dengan harapan mendapat bekerjsama dengan Kementerian Belia dan Sukan serta penaja lain, Dr Sheikh Muszaphar berkata, cabaran itu bertujuan menguji kemampuan mental, fizikal dan psikologi pelajar dalam mendapatkan calon terbaik.

“Saya membina ikatan persahabatan yang cukup erat dengan rakan angkasawan saya di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

“Namun, pakaian angkasa SOKOL yang telah melindungi diri saya lebih dekat di hati daripada ikatan persahabatan itu.

“Pakaian itu yang dicipta khusus untuk saya dibentuk di bumi dan dimeteri dalam lompangan ruang angkasa, segalanya disaksikan bintang-bintang,” kata beliau.

Pakaian angkasa itu akan dipamerkan di Menara MBMR di Kuala Lumpur, sebelum dibawa dalam penjelajahan ke seluruh negara pada Februari, bermula di Negeri Sembilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.