
Dalam kejadian 8.30 pagi tadi, kenderaan dinaiki mangsa dipercayai sekeluarga hilang kawalan sebelum melanggar sebatang paip air di tepi jalan.
Mangsa maut terdiri seorang lelaki dewasa, tiga wanita dan seorang bayi perempuan, lapor Harian Metro.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 8.41 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian digerakkan ke lokasi kira-kira 12km dari balai dan tiba pada 9.04 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati berlaku kemalangan kendiri membabitkan sebuah kenderaan yang melanggar batang paip air.
“Terdapat lima mangsa dalam kenderaan berkenaan, membabitkan tiga wanita dewasa, seorang lelaki dewasa dan seorang bayi perempuan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, bomba menjalankan operasi mengeluarkan empat mangsa dewasa yang tersepit di dalam kenderaan, manakala bayi perempuan itu ditemui orang awam berhampiran lokasi kejadian.
Menurutnya, bayi berkenaan dipercayai tercampak keluar dari kenderaan akibat impak pelanggaran yang kuat.
Semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.