2 maut dalam protes kemudahan Ebola AS di Kenya

2 maut dalam protes kemudahan Ebola AS di Kenya

Protes itu susulan penubuhan pusat kuarantin Ebola milik AS di tengah-tengah wabak Ebola yang sedang menular di Republik Demokratik Congo.

2 maut dalam protes kemudahan Ebola AS di Kenya epa images pic 2626
Penunjuk perasaan melaungkan slogan di luar Kementerian Kesihatan ketika protes membantah pusat kuarantin Ebola di Nairobi, Kenya pada Selasa. (Gambar EPA Images)
NAIROBI:
Dua maut dalam protes membantah kemudahan Ebola milik Amerika Syarikat (AS) di tengah Kenya, menurut pengesahan polis dan penganjur tunjuk perasaan pada Selasa susulan pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan di luar Pangkalan Udara Laikipia, lapor Anadolu Ajansi.

Kematian itu berlaku semasa demonstrasi yang bermula di luar kemudahan berkenaan di Nanyuki, sebelum merebak ke beberapa bahagian di bandar berkenaan, menyaksikan penunjuk perasaan membakar tayar, membuat sekatan jalan raya dan bertempur dengan polis.

Pegawai keselamatan bertindak melepaskan gas pemedih mata dan tembakan amaran ke udara ketika orang ramai cuba mara ke arah pangkalan udara terbabit.

Pihak berkuasa tidak segera mendedahkan identiti mangsa atau punca kematian, manakala media tempatan melaporkan siasatan sedang dijalankan.

Nanyuki, pusat bandar utama di Daerah Laikipia, terletak kira-kira 200km ke utara ibu negara, Nairobi.

Protes itu mencetuskan tentangan terhadap pusat kuarantin Ebola AS yang ditubuhkan di pangkalan berkenaan di tengah-tengah wabak Ebola yang sedang menular di Republik Demokratik Congo.

Pengkritik mempersoalkan mengapa kemudahan itu perlu ditempatkan di Kenya dan membangkitkan kebimbangan terhadap risiko kesihatan awam, ketelusan serta kedaulatan negara.

Demonstrasi itu tetap berlaku walaupun terdapat perintah Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang menggantung sementara operasi berkaitan kemudahan berkenaan, sementara menunggu pendengaran cabaran perlembagaan.

Bercakap pada Isnin malam semasa Meja Bulat Media Timur Laut di Wajir, Presiden William Ruto mempertahankan projek itu dan mendedahkan permintaan berkenaan datang daripada Presiden AS, Donald Trump.

Pegawai kerajaan mengutuk keganasan yang tercetus semasa demonstrasi itu dengan berkata protes secara aman dilindungi di bawah Perlembagaan, namun kemusnahan harta benda dan serangan ke atas anggota keselamatan tidak akan dibiarkan.

Pihak berkuasa berkata, siasatan berhubung kekecohan itu masih diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.