Remaja disyaki pandu melulu dalam nahas maut 4 sekeluarga direman

Remaja disyaki pandu melulu dalam nahas maut 4 sekeluarga direman

Suspek berusia 19 tahun yang juga penuntut sebuah universiti di Singapura direman dua hari hingga esok.

kemalangan johor
Remaja 19 tahun yang disyaki memandu secara melulu dan berbahaya hingga berlaku kemalangan meragut nyawa empat sekeluarga di Simpang Renggam direman dua hari bagi membantu siasatan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Remaja 19 tahun yang disyaki memandu secara melulu dan berbahaya hingga berlaku kemalangan meragut nyawa empat sekeluarga di Jalan Renggam-Simpang Renggam, Kluang direman dua hari bermula hari ini.

Perintah reman hingga esok ke atas suspek yang juga penuntut sebuah universiti di Singapura dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno di Mahkamah Majistret Batu Pahat.

Ia bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000 jika sabit kesalahan.

Suspek dipercayai individu yang memandu Mercedes Benz secara berbahaya bersama abangnya berusia 22 tahun yang memandu BMW 530e hingga menyebabkan kemalangan pada 1.15 tengah hari semalam, lapor Berita Harian.

Dalam kejadian itu, empat sekeluarga dikenali Semek Mat Soh, 73, anak dan menantu, Aiman Mohd Rashid, 36; Nor Azlina Abd Latip, 33, serta Nur Airish Syifa Sidek, 10, maut dalam nahas terbabit.

Kesemua mereka yang maut dilaporkan dalam perjalanan dari Melaka untuk pulang ke Kota Tinggi.

Pemandu BMW 530e terbabit turut dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital bagi mendapat rawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.