
Timbalan Ketua Penerangan PKR Selangor, Khairil Izzat Nordin, menyoal sama ada Pesuruhjaya PAS Halim Tamuri, dan timbalannya, Shafie Ngah, bersetuju dengan kenyataan Azmin.
“Apakah pendirian pimpinan PAS Selangor terhadap kenyataan tersebut. Adakah mereka bersetuju dengan kenyataan yang dilihat memperlekehkan presiden PAS dan mengapa mereka memilih untuk berdiam diri?” menurut kenyataan.
Dilaporkan Azmin dalam video ceramah tular meminta ‘pihak tertentu’ agar ‘buka mata, buka telinga, jalan pekak’ terhadap keupayaan Bersatu.
Kebetulan, pada 22 Mei lalu, Presiden Hadi Awang mendakwa Bersatu menuntut jumlah calon pada PRK dan PRN tetapi tidak mempunyai jentera mencukupi untuk berkempen.
Semalam, Ketua Penerangan PAS Fadhli menyahut video ceramah Azmin itu dengan mencadangkan Bersatu supaya bergerak berasingan.
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa kenyataan ‘buka mata, buka telinga, jangan pekak’ bukan ditujukan kepada PAS, tetapi ‘pihak tertentu’ yang didakwa gagal mendengar penjelasan pimpinan parti.
Khairil berkata pimpinan utama PAS Selangor masih belum menyatakan pendirian secara terbuka, ketika beberapa pimpinan di peringkat lain sudah menempelak Azmin.
“Sekiranya pimpinan PAS Selangor tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut, maka nyatakanlah pendirian secara terbuka.
“Sikap berdiam diri hanya akan menimbulkan persepsi bahawa PAS Selangor tunduk kepada keupayaan politik Bersatu dan gagal mempertahankan maruah kepimpinan parti mereka sendiri,” katanya.
Khairil menambah pihaknya melihat PAS Selangor sebagai peneraju sebenar pembangkang, dan tindakan memperlekehkan kepimpinan parti itu dan jenteranya adalah biadab.