Tandinglah sendiri kalau kuat sangat, pemimpin Bersatu beritahu PAS

Tandinglah sendiri kalau kuat sangat, pemimpin Bersatu beritahu PAS

Ketua penerangan Bersatu Melaka gesa PAS agar buktikan kekuatannya kepada rakyat tanpa perlu terus perlekeh rakan gabungan PN.

Hishamuddin Abdul Karim
Ketua Penerangan Bersatu Melaka Hishamuddin Abdul Karim tegaskan, PN tidak akan jadi gabungan besar tanpa peranan parti itu dan presidennya, Muhyiddin Yassin. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemimpin Bersatu Melaka mencadangkan PAS agar bertanding sendiri pada pilihan raya bagi membuktikan kekuatan mereka kepada rakyat, susulan serangan berterusan sesama parti komponen utama Perikatan Nasional (PN) itu.

Ketua Penerangan Bersatu Melaka Hishamuddin Abdul Karim berkata, PN dibina atas persefahaman dan kepercayaan bersama, bukan untuk mana-mana parti mendabik dada seolah-olah hanya mereka paling kuat dan paling berjasa.

“Kalau benar PAS terlalu kuat untuk bergerak sendiri, maka buktikan kepada rakyat tanpa perlu terus menyalahkan dan memperlekehkan rakan gabungan sendiri.

“Penyokong PN sudah penat melihat perang ego sesama sendiri, sedangkan lawan politik hanya tersenyum melihat keretakan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan agar PAS dan Bersatu bergerak secara berasingan di pentas pilihan raya, susulan pertikaian mengenai kekuatan jentera parti dalam PN.

Cadangan ketua penerangan PAS itu menyusuli ucapan Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali, yang tular di media sosial, meminta ‘pihak tertentu’ agar ‘buka mata, buka telinga, jangan pekak’ terhadap keupayaan Bersatu.

Hishamuddin hari ini mempersoalkan tindak balas Fadhli yang menurutnya, menunjukkan seolah-olah PAS berada dalam keadaan resah, sedangkan ucapan Azmin itu kenyataan biasa berkaitan kekuatan dan semangat parti sendiri.

“Kalau benar Bersatu lemah seperti didakwa, kenapa (PAS) perlu begitu gelabah setiap kali Bersatu bercakap tentang kekuatan sendiri?” soalnya.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, PN tidak akan menjadi gabungan besar tanpa peranan Muhyiddin Yassin dan Bersatu.

“PAS mempunyai kekuatan jentera akar umbi, namun Bersatu membawa elemen penting yang sukar ditembusi PAS sejak sekian lama, iaitu pengundi atas pagar, golongan profesional, penjawat awam, anak muda bandar dan sebahagian pengundi bukan Melayu.

“Malangnya, kebelakangan ini semakin ramai pimpinan PAS dilihat gemar menyerang dan menyindir rakan sendiri secara terbuka seolah-olah musuh utama mereka bukan lagi PH atau Umno, tetapi Bersatu,” katanya.

Tambahnya, dalam situasi politik semasa, PAS yang sebenarnya dilihat semakin lemah dari sudut kepimpinan apabila sosok Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga naib presiden PAS, hampir tidak dirasai dalam pelbagai isu besar melibatkan hala tuju dan kestabilan gabungan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.